Allah bersifat dengan Al-Fattah, ertinya Yang Maha Pembuka. Dialah yang membuka pintu hati seseorang untuk dilimpahkan petunjuk iaitu kesedaran, dorongan serta bimbingan dalam mentaati-Nya. Mudah mengerjakan suruhan-Nya dan dapat pula menjauhi larangan-Nya.
Allah yang membuka fikiran yang tertutup atau susah menerima pelajaran. Oleh sebab itu, sebelum belajar kita disuruh berdoa minta supaya hati dan minda mudah menerima apa yang diajarkan. Kita tidak mampu memaksa hati menerima ilmu, melainkan dengan kehendak Allah jua.
Ilmu dan petunjuk sifatnya sangat indah dan suci. Ia hanya masuk ke dalam hati yang bersih dan suci juga. Berusahalah bersungguh-sungguh membersihkan hati kita daripada sifat-sifat tercela. Di samping berusaha mintalah pertolongan Allah agar dimudahkan kita membuang perangai dan sifat-sifat buruk daripada diri kita.
Membuka Jalan Menyelesaikan Masalah.
Apabila fikiran buntu kerana menghadapi sesuatu masalah yang berat pula, mengadulah kepada Allah Al-Fattah. Minta agar dibukakan pintu hati dan fikiran mencari jalan keluar. Allah Maha Pembuka. Dia yang membuka minda yang 'tersekat' dek belenggu masalah.
Allah membuka dan mencurahkan rahmat kepada makhluk-Nya. Allah Al- Fattah ertinya Dialah Penyelesai segala masalah rintangan. Allah Yang Maha Pembuka menghuraikan masalah yang dihadapi hamba-hamba-Nya.
Harus diingat bahawa orang yang tidak berbesar diri lebih mudah mendapat 'pembukaan' berupa petunjuk daripada Allah SWT. Allah berfirman, bermaksud;"Aku akan memalingkan daripada ayat-ayat-Ku orang-orang yang takabur dan di muka bumi tanpa alasan yang benar."(Surah Al-Araf:146)
Allah Al-Fattah membuka pintu rezeki- manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Allah membuka pintu rezeki seseorang yang hidup melarat menjadikan hidupnya berkecukupan. Atau menjadi seorang yang hartawan.
Dalam bekerja dan berusaha, kita disuruh banyak berdoa kepada Allah SWT. Gigih dan tekun bekerja bukan syarat untuk mendapat kelapangan rezeki. Ia hanyalah jalan yang perlu ditempuh kerana rezeki seseorang tidak datang bergolek, perlu berusaha untuk mendapatkannya.
Yakin Dengan Al-Fattah Allah
Apabila berasa terbeban, tertekan atau kecewa dengan masalah atau kegagalan, ingatlah bahawa hanya Allah SWT sahaja Pembuka segala'pintu' yang berkaitan dengan hidup kita. Dia yang mengatur dan menentukan segala-galanya. Banyakkan berdoa, minta petunjuk dan pertolongan-Nya.
No comments:
Post a Comment