Allah SWT menjadikan kehidupan manusia di muka bumi-Nya ini tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Sebab itulah ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Tujuannya supaya yang kaya membantu yang miskin. Yang kuat menolong yang lemah. Begitulah seterusnya.
Jika ditakdirkan Allah adik menjadi seorang yang kaya dan berharta, bantulah mereka yang tidak bernasib baik. Malah pertolongan itu boleh diberikan pada bila-bila masapun, tidak tunggu menjadi kaya dahulu. apa yang penting ialah keikhlasan hati kita menghulurkan bantuan tersebut.
Ikhlas itulah yang dinilai oleh Allah SWT untuk diberi ganjaran pahala yang besar. Allah tidak melihat pada banyak atau sedikit bantuan yang kita beri. Allah tidak lihat kita kaya atau miskin. Mana yang termampu, kadar itulah kita berikan. Kalau bukan wang ringgit, mungkin pakaian, makanan atau keperluan lain.
Jangan berkira-kira memberikan bantuan atau sedekah. Kerana apa yang kita miliki hakikatnya semua milik Allah. Dia pinjamkan kepada kita atas belas kasihan dan rahmat-Nya. Jika kita berlebihan, agih-agihkanlah kepada mereka yang memerlukan. mudah-mudah rezeki kita itu akan lebih diberkati.
jangan berkira-kira dalam memberikan sedekah atau bantuan. Sebab, ditakuti kelak Allah akan berkira-kira juga dengan kita. Allah Yang Maha Kaya memiliki segala-galanya. kalau Dia berkira-kira hendak memberikan setitis saja daripada lautan nikmat-Nya kepada kita, alangkah malangnya kita.
Kekayaan Allah SWT, Dia tidak berhajatkan bantuan sedikitpun. Segala isi langit dan bumi serta seluruh makhluk adalah kepunyaan-Nya. kaya seseorang manusia, dia tetap memerlukan pertolongan dan khidmat orang lain untuk membantu kehidupannya. Untuk mendapatkan makanan perlukan petani, nelayan, peniaga dan sebagainya.
Selain itu, kekayaan yang Allah kurniakan merupakan ujian yang harus dilalui dengan sebaik mungkin. Apakah diperolehi dengan jalan yang diredhai Allah SWT atau sebaliknya? Adakah dibelanjakan ke jalan yang dituntut oleh Allah atau sebaliknya? Jika semuanya bertepatan dengan kehendak Allah, orang kaya berkenaan telah memperoleh markah yang tinggi di sisi Allah SWT sepanjang menduduki ujian itu.
Tetapi jika terjadi di sebaliknya, kekayaan itu pula akan mengutuk dan melaknat si pemiliknya. Dialah orang yang rugi kerana lupa bahawa kekayaan yang dimiliki untuk sementara saja. Bila-bila masa saja Allah boleh tarik sehingga perniagaan yang sedang berkembang maju pun boleh menjadi rugi dan bankrap.
Oleh itu, bersyukurlah kalau dikurniakan dengan kekayaan. jangan bakhil, sombong dan bermegh-megah. Allah yang Maha Kaya sangat kasih kepada makhluk-Nya yang pemurah, berkasih-sayang dan sentiasa tolong menolong antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment