Di mana saja kita berada, ada peraturan yang mesti kita patuhi. Ini termasuklah di sekolah, di rumah, di masjid, di jalan raya, di perpustakaan, di hospital, di pusat membeli-belah, di taman permainan dan sebagainya. Peraturan bukan untuk menyusahkan kita tetapi untuk kebaikan kita.
Kita perlu kepada peraturan kerana:
Peraturan dapat mengingatkan kita supaya melakukan perkara-perkara yang sesuai di sesuatu tempat. Kita akan sedar bahawa perkara yang tidak boleh dibuat di tempat tertentu walaupun perkara itu boleh dilakukan di tempat lain. Misalnya, kita boleh belari-lari di taman permainan, tetapi mesti berjalan dengan tertib di dalam masjid.
Peraturan dapat membantu kita mengawal tingkah laku kita. Kalau kita mempunyai sifat terburu-buru, kita akan cuba bertenang untuk mematuhi peraturan di tempat tertentu. Misalnya, kita akan menunggang basikal dengan tenang dan mematuhi peraturan lampu isyarat di jalan raya. Orang yang biasa buat jahat pula akan mengawal tingkah lakunya demi mematuhi peraturan.
Dengan adanya peraturan, kehidupan kita akan lebih selesa dan tenang. Misalnya, dengan adanya peraturan di perpustakaan, kita akan dapat membaca dalam suasana tenang. Kita tidaka kan terganggu dengan suara perbualan.
Peraturan juga menjadikan kita berdisiplin. Misalnya, jika peraturan sekolah menghendaki kita hadir di kelas pukul 7.30 pagi, kita akan bangkit dan bersiap lebih awal untuk sampai di sekolah tepat pada waktunya.
Jika sudah biasa, kita akan dapat mendisiplinkan diri bangkit awal setiap hari walaupun pada hari cuti.
Adanya peraturan membolehkan kita mengekalkan satu-satu tabiat atau amalan yang baik. Misalnya, ramai ibu bapa di rumah menetapkan waktu lepas Maghrib sebagai waktu mengaji al-Quran. Jika kita patuh kepada peraturan yang ibu bapa tetapkan, tentu kita akan adapat mengekalkan amalan membaca al-Quran setiap hari. Apabila kita sudah dewasa nanti, amalan baik yang sudah sebati ini mampu kita kekalkan walaupun sudah tinggal berjauhan daripada ibu bapa.
Peraturan juga memudahkan kita berurusan di tempat-tempat tertentu. Misalnya, peraturan yang terdapat di pejabat Pendaftaran Negara memudahkan kita berurusan untuk mendapatkan kad pengenalan. Kita akan tahu bila tibanya giliran kita untuk berurusan, di mana hendak mengambil gambar foto dan bila untuk datang semula bagi mendapatkan kad pengenalan yang sudah siap.
Itulah antara sebab-sebab mengapa kita perlu kepada peraturan. Rasanya, bolehkah kita menjalani kehidupan yang baik, aman dan selesa tanpa adanya sebarang peraturan?
No comments:
Post a Comment