Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Aliran air tidak akan melawan graviti kecuali ia dipam atau disedut dengan menggunakan mesin atau alat-alat lain.. Itulah aturan Allah pada makhluk-Nya yang bernama air ini.
Air selalunya turun sebagai hujan menuju ke gunung. Kemudian ia mengalir ke bawah sama ada sebagai sungai ataupun mata air. Begitulah terus-menerus selagi dunia ini belum kiamat.
Apakah yang boleh kita pelajari daripada aliran air ini? Ya, adik-adik, aliran air samalah juga dengan aliran ilmu. Mengapa kita katakan begitu?
Cuba tengok dan fikirkan, aliran air adalah dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Dan perhatikanlah tempat yang paling rendah. Tempat itulah yang paling banyak menakung air. Selalunya air akan bertakung di lembah, lurah dan tempat-tempat lain yang rendah. Sebaliknya, air tidak bertakung di tanah yang tinggi.
Begitu jugalah ilmu. Sebenarnya, semua ilmu yang kita pelajari sama ada di rumah, di sekolah, di madrasah atau di mana saja, adalah berasal daripada Allah s.w.t. Allah adalah Zat Yang Maha Mengetahui. Satu daripada sifat kesempurnaan Allah ialah maha berilmu. Maksudnya, Allah paling berilmu.
Tegasnya, apa yang ingin diperkatakan ialah ilmu berasal daripada Zat Yang Maha Tinggi iaitu Allah s.w.t. kemudiannya menurunkan ilmu-Nya melalui pelbagai cara. Ada yang diajar melalui para Rasul dan nabi, ada yang datang daripada para ulama, saintis, guru-guru dan sumber lain.
Umpama Aliran Ilmu
Ya, di sinilah adik-adik perlu perhatikan... aliran ilmu umpama aliran air. Maksudnya, jika tanah yang rendah boleh menakung air yang banyak, begitulah juga hati yang merendah diri, hati itulah yang paling banyak menakung ilmu. Orang yang merendah diri , akan mendapat banyak ilmu berbanding orang yang sombong atau meninggi diri.
Awas, adik-adik!Jangan jadi orang yang sombong. Nanti kita akan menjadi orang yang bodoh. Jika kita tidak berilmu, amalkan sifat merendah diri untuk belajar.
Apabila mula belajar, belajarlah dengan rasa rendah diri atau tawaduk..Beri sepenuh perhatian, rajin bertanya, rela ditegur, rajin membuat apa yang diarahkan oleh guru atau pengajar.
Siapa yang dapat melakukan semua itu, tandanya dia orang yang merendah diri.
Orang yang merendah diri, Allah akan berikan padanya hati yang lapang, fikiran yang cerdas dan perasaan yang tenang untuk mendapat ilmu yang banyak. Jadi, apabila adik-adik mula belajar, ingatlah selalu pada aliran air. Air akan bertakung di tanah yang rendah. Ilmu akan bertakung di hati yang rendah.
No comments:
Post a Comment