Amin berlari-lari terus masuk ke dalam rumah. Tekaknya begitu haus. Dia terus membuka peti sejuk. Botol air sejuk diambil lalu dihala ke muncung mulut. Guk! Guk! Dia meneguk air sejuk itu tanpa henti."Ah!Leganya,"kata Amin.
Adik-adik begitukah adab kita ketika minum air? Agama Islam agama yang sangat indah. Ia mengajar kita berbudi bahasa dan mengasuh kita memiliki akhlak yang mulia.
Nabi kita mengajar kita adab-adab ketika hendak minum.
1. Minum Beberapa Kali Teguk
Rasulullah SAW tidak menggalakkan seseorang menghabiskan minumannya dengan satu teguk. Hadis diriwayatkan Tirmizi, baginda bersabda,"Jangan kamu habiskan minuman dengan satu teguk seperti unta tetapi minum dengan dua ataupun tiga teguk. Sebut Bismillah apabila kamu hendak mulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai."
2. Ketika Minum Juga, makhruh hukumnya jika kita menghembuskan nafas di dalam gelas atau bekas minuman.
Kita dianjurkan menghembuskan nafas tiga kali di luar bekas minuman. Dalam hadis dari Bukhari dan Muslim, Anas bin Malik meriwayatkan,"Rasulullah SAW minum dengan tiga nafas."
3. Baca Doa sebelum dan selepas minum seperti pesan baginda dalam hadis:"Sebut Bismillah apabila kamu hendak memulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai."(Riwayat Tarmizi)
Doa selepas minum,"Segala puji bagi Allah yang menjadikannya tawar dan sedap dengat rahmat kasih sayang-Nya, dan tidak menjadikannya masin kerana dosa-dosa kami."
4. Menjaga Kebersihan
Agama Islam agama yang memberi penekanan tentang aspek kebersihan. Makanan dan minuman perlu ditutup agar tidak terdedah kepada lalat dan serangga. Islam juga melarang kita membiarkan bekas air, tangki kita menyimpan air dalam keadaan tidak tertutup kerana akan terdedah pada kotoran.
Sabda Nabi SAW:"Kunci pintu rumahnmu, tutup simpan airmu, balikkan bekas-bekas air ataupun tutupkannya dengan sesuatu, dan padamkan pelita sebelum tidur pada waktu malam."
TAHUKAH ADIK-ADIK, APAKAH MINUMAN KEGEMARAN RASULULLAH?
Rasulullah SAW gemar minum susu. Pernah suatu ketika sahabat Nabi iaitu, Abu Bakar as-Siddiq berjalan bersama Rasulullah SAW ketika mereka keluar dari Kota Makkah menuju Madinah. Ketika itu Rasulullah SAW benar-benar berasa haus. Lalu Abu Bakar pun memerahkan sedikit susu untuk baginda. Susu itu kemudian dibawa kepada Nabi dan baginda meminumnya dengan gembira.
No comments:
Post a Comment