Selamat bercuti di hujung minggu adik-adik sekalian. Pasti banyak aktiviti bermanfaat yang telah dirancang bersama ibu bapa seperti balik kampung, atau berkelah. Walau apapun aktiviti yang adik-adik lakukan, jaga akhlak dan kesihatan. Selepas Subuh jangan banyak tidur hingga tinggi hari nanti kita akan jadi pemalas. Apabila malas, kita akan selalu bercakap kasar. Ibu bapa tidak suka kita bercakap kasar. Tuhan kita, Allah SWT sangat benci kepada orang yang bercakap kasar.
Tahukah adik-adik kenapa Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kasar? Jawapannya ialah kerana Allah SWT itu bersifat penyantun. Sifat ini disebut Al-Halim. Al-Halim sangat sayang kepada orang yang bersifat lemah-lembut.
Siapakah manusia yang paling penyantun dan lemah-lembut di dunia ini? Dia adalah Nabi Muhammad SAW, Rasul akhir zaman. Rasulullah sentiasa bercakap dengan lemah-lembut dengan semua umatnya. Baginda tidak mudah marah. Rasulullah tidak pernah maki hamun orang dengan kata-kata kesat. Sebaliknya Baginda suka tersenyum dan sangat sabar dengan orang yang membencinya. Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Al-Halim, Tuhan yang memiliki sifat lemah-lembut agar musuh-musuhnya diberi petunjuk dan memeluk Islam. Akhirnya ramai orang Arab memeluk Islam.
Kepada adik-adik yang dikasihi sekalian, Al-Halim memerintahkan kita supaya bersopan-santun dengan ibu bapa. Jangan melawan cakap ibu bapa. Apabila bercakap dengan mereka, gunakanlah bahasa yang baik dengan nada yang lemah-lembut. Apabila ibu bapa meminta tolong untuk mengemas rumah, membasuh pinggan atau menyapu sampah, jawablah dengan lemah-lembut.
Apabila ibu dan ayah memanggil, kita datang dekat dengan mereka. Jawab soalan yang ditanya mereka dengan sopan-santun. Jangan bercakap kasar atau terjerit-jerit dari jauh. Jangan sekali-kali menengking mereka, kerana dalam Al-Quran Allah telah memberitahu jika seseorang anak itu berkata,"Ah! kepada ibu bapa mereka, maka hukumnya berdosa. Allah sangat benci kepada anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa. Orang yang derhaka akan masuk neraka.
Adik-adik yang dikasihi sekalian, Al-Halim sangat suka apabila kita dapat mengamalkan akhlak baik dengan semua orang.
Jika ada kawan-kawan yang bercakap kasar, maka doakanlah untuknya,"Ya Halim! Jadikanlah hamba-Mu ini berakhlak baik. Jadikanlah kawan-kawanku juga berakhlak baik. Semoga kami menjadi anak yang soleh."
No comments:
Post a Comment