Gagah ertinya kuat, kuat, perkasa, berani dan menang. Orang yang gagah ditakuti oleh orang yang lemah. Haiwan yang lemah menjadi mangsa haiwan yang gagah. Ayam misalnya, menjadi makanan ular sawa yang lebih kuat daripadanya.
Jika adik-adik seorang pelajar yang gagah, jangan sekali-kali tunjuk kuat dengan guru atau kawan-kawan. Tidak boleh gunakan keberanian untuk melawan guru-guru atau ibu bapa. Begitu juga menindas kawan yang lemah.
Kegagahan dan kekuatan yang dimiliki adalah anugerah Allah Yang Maha Gagah. Ia dipinjamkan untuk sementara sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Gunakan ia untuk membela diri jika diganggu dan untuk memberi pertolongan jika diminta.
Allah adalah Yang Maha Perkasa. Dia dapat menakluki sesiapa sahaja. Dia berkuasa menjadikan alam semesta ini dan menghancurkannya menurut kemahuan-Nya. Allah telah menunjukkan sifat gagah perkasa-Nya dengan menimpakan azab ke atas kaum yang derhaka. Kaum Nabi Nuh yang ingkar mati ditenggelami banjir besar. Kaum Nabi Lut hancur binasa dimusnahkan gempa bumi dan pekikan guruh yang kuat. Dan banyak lagi peristiwa dasyat yang menimpa golongan yang ingkar kepada Allah.
Oleh sebab itu, sebagai hamba Allah yang lemah dan sangat mengharapkan-Nya, kita mestilah sentiasa membesarkan dan memuji Allah Yang Maha Gagah. Tanamkan rasa gerun dan takut kepada kemurkaan-Nya. Mudah-mudahan dapat membantu serta menyelamatkan kita daripada terlibat dengan amalan yang tidak baik dan berdosa.
No comments:
Post a Comment