Terlalu banyak perkara yang kita perlukan untuk membina kehidupan yang baik dan cemerlang. Apabila berhadapan dengan sebarang masalah atau kesukaran, mengadulah kepada Allah. Walaupun Allah sudah sedia tahu apa saja masalah kita, tetapi kita tetap perlu mengadukan kepada-Nya. Allah suka mendengar pengaduan daripada hamba-hamba-Nya . Mengadu sambil meminta daripada-Nya.
Kalau kita meminta pertolongan daripada manusia, kadang-kadang ada ketikanya permintaan itu tidak dapat ditunaikan. Tetapi Allah SWT tidak begitu. Cuma, ditunaikan permintaan kita itu bergantung sebanyak mana kita mentaati perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Jika kita masih cuai dan selalu mengabaikan perintah Allah, tidak mustahillah permintaan kita sukar terkabul.
Namun begitu, Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dengan Rahmat-Nya Yang Maha Luas, Dia akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya yang banyak berdoa kepada-Nya. Dalam 99 nama-nama Allah yang mulia, ada nama 'Al-Mujib' iaitu Maha Mengabulkan. Apatah lagi permintaan dan permohonan daripada orang-orang beriman yang taat dan patuh perintah-Nya.
Kerana itu, banyakkan berdoa kepada-Nya. Berdoalah apa saja, asalkan jangan berdoa yang merosakkan diri atau orang lain. Misalnya kita menghadap masalah kewangan. Kita boleh mengadu dan berdoa meminta pertolongan daripada Allah. Cara Allah membantu, mungkin didatangkan dengan seorang kawan dan memberi pinjaman wangnya kepada kita. Atau mungkin kita diberi kemudahan berniaga kecil-kecilan.
Berdoa meminta ampun terhadap dosa-dosa kita, lebih disukai Allah. Hidup kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Allah tidak mahu kita mengekalkan dosa-dosa itu. Sebab itulah Dia menyuruh kita berdoa meminta keampunan dan bertaubat. Berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan di akhirat. Selain berdoa untuk diri kita sendiri, kita juga berdoa untuk ke dua ibubapa kita, kawan-kawan atau siapa saja yang kita mahu.
Berdoalah dan mintalah apa saja. Minta diampunkan dosa, diselamatkan daripada api neraka, diberi ilmu yang bermanfaat, dimurahkan rezeki, dimudahkan kerja, dipelihara daripada bahaya dan sebaginya. Cuma masanya saja kita tidak tahu. Mungkin cepat dan mungkin juga lambat. Mungkin juga Allah simpan (tangguhkan) untuk ditunaikan-Nya di hari akhirat nanti.
Sambil itu, latih-latihlah diri kita menjadi seorang yang suka menunaikan permintaan orang lain, kerana kita tentu tidak mahu permintan kita tidak diperkenankan Allah. Ditakuti jika kita kedekut hendak menolong orang lain, Allah juga akan bersikap kedekut kepada kita. Hal ini sangat berbahaya lagi menakutkan.
Bermurah hatilah dengan kawan-kawan. Orang yang pemurah dekat dengan Allah, dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka. Sedangkan orang kedekut pula jauh daripada manusia, jauh daripada Allah, jauh daripada syurga dan dekat dengan neraka.
No comments:
Post a Comment