Lidah, sekeping daging yang tidak bertulang. Awas, andainya tak pandai menjaga nikmat pancaindera ini, kita akan terhumban dalam dosa dan mendapat murka dari Allah. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya sentiasa memberi pesan supaya kita sentiasa menjaga lidah dan tutur bicara. Ingat selalu adik-adik pada pesan Nabi kita. Berfikir sebelum berkata.
1. Bertutur dengan baik itu umpama bersedekah.
Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda;bermaksud:"Pahala tutur yang baik itu sama seperti bersedekah."(Riwayat Bukhari dan Muslim
2. Banyak bercakap banyak salahnya.
Kalau kita sedar kita asyik 'terbabas' dan banyak bercakap perkara sia-sia lebih baik kita kawal lidah dan diam sahaja.
Rasulullah SAW bersabda, bermaksud; "Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari akhirat, dia perlu bercakap yang baik-baik atau diam sahaja."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Jadi orang Islam yang terbaik.Pada suatu ketika sahabat Nabi bernama Abu Musa Asy'ari berkata; "Wahai Rasulullah SAW! Siapakah orang Islam yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW,'Orang yang menyebabkan semua orang Islam selamat daripada lidah dan tangannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga memberi amaran tentang bahaya lidah yang boleh menjadi sebab kita tergelincir dalam neraka. Hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dia pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda, bermaksud;"Hamba yang mengucapkan kata-kata tanpa berfikir baik buruknya boleh menyebabkan dia tergelincir ke arah neraka lebih jauh dari jarak antara timur dan barat."
5. Dalam satu Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Nabi SAW mengatakan tentang empat sifat yang jika ada pada seseorang, dia dianggap munafik sehingga dia meninggalkan sifat itu. Sifat itu adalah, apabila diberi amanah dia khianat, apabila berjanji dia mungkir, apabila bertengkar dia membuat sumpah palsu.
6. Jangan suka 'busy body'
Sifat peka dan prihatin pada kawan-kawan itu sifat yang baik tetapi jangan pula kita asyik mencari kelemahan dan kekurangan mereka. Lebih teruk lagi kita mencanangkan pula pada orang lain. Itu mengumpat namanya.
Jika hendak tahu apa definisi sebenar tentang mengumpat, mari kita baca hadis di bawah.
Rasulullah SAW pernah bertanya sahabat-sahabat baginda,"Saudara-saudara tahu apa itu mengumpat."? Sahabat-sahabat menjawab; "Allah dan utusannya yang lebih tahu."
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, bermaksud; 'Mengumpat itu ialah saudara menyebut hal rakan saudara yang dia tidak suka."
Ada orang bertanya,"Apa pandangan tuan apabila saudara saya itu memang sifatnya seperti yang saya sebutkan?"
Rasulullah SAW menjawab;"Apabila dia memang begitu, maknanya saudara mengumpat kepadanya. Apabila dia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan, bererti saudara memfitnahnya."(Riwayat Tarmizi)
No comments:
Post a Comment