Anak-anak pernah tengok bot tunda menarik kapal besar? Biasanya di pelabuhan atau di kawasan perairan tertentu. Ini kerana had kedalaman air atau keluasan perairan tersebut tidak membolehkan kapal besar bergerak sendiri. Pada situasi begitu, kapal perlu ditunda dengan bot penunda.
Di satu tempat yang lain pula, ada sebuah kapal baru saja berlabuh agak jauh dari pantai. Di pantai itu tidak ada jeti atau dermaga seperti di pelabuhan. Pekerja-pekerja kapal menurunkan beberapa buah perahu atau bot kecil untuk membawa para penumpang serta anak-anak kapal ke pantai.
Kenapa ya, anak-anak...mereka menggunakan perahu? Ya, kerana kapal besar yang cukup gagah membelah gelombang lautan rupa-rupanya tidak boleh bergerak sampai ke tepi pantai. Ia perlu bantuan perahu untuk',menyudahkan' tugasnya iaitu menghantar para penumpang ke daratan dengan selamat.
Tidak Ada Beza
Baiklah, anak-anak. Mari kita sama-sama kita cungkil ilmu dan pengajaran daripada kedua-dua kejadian itu tadi. Apakah pengajarannya? Pengajarannya ialah sehebat mana sekalipun seseorang itu, tetap ada kelemahannya.
Begitu jugalah, selemah mana sekalipun seseorang itu, telah Allah SWT bekalkan kepadanya dengan kelebihan yang tersendiri. Jadi, tidak ada bezanya sama ada kita ini hebat atau lemah. Sebab, kelebihan atau kekurangan itu lazim-melazimi dalam kehidupan.
Walaupun hebat, akan ada masanya dia akan perlukan juga kepada yang lemah. Begitu jugalah yang lemah, memerlukan bantuan daripada yang hebat. Misalnya, anak-anak seorang yang hebat dalam pelajaran tetapi tidak mahir dalam semua mata pelajaran.
Tentu ada pelajaran yang anak-anak kurang cekap dan kurang minat. Di kalangan rakan anak-anak pula, tentu ada yang menonjol dalam pelajaran yang anak-anak tidak kuasai itu.
Jadi, di sinilah letaknya 'persamaan' itu. Sama yang bagaimanakah itu, anak-anak? Sama dalam erti kata saling memerlukan bantuan dan pertolongan. Atau dalam istilah yang lebih mudah iaitu saling perlu-memerlukan.
Kelebihan dan Kekurangan
Kalau seseorang yang hebat dalam pelajaran, bantulah rakan-rakan lain yang kurang menyerlah. Percayalah, rakan anak-anak yang kurang hebat itu ada kebolehan atau hebat di bidang lain. Mungkin dia pandai melukis. atau mungkin dia mahir mengendalikan komputer. Atau mungkin juga dia berkebolehan dalam kerja-kerja kemahiran kraf tangan.
Sebaliknya, jika anaka-anak pula yang kurang hebat, jangan malu meminta tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang lebih pintar atau lebih tahu. Tak perlu berasa rendah diri kerana soal kelemahan atau kelebihan adalah perkara biasa.
Jangan Sesali Nasib
Sekiranya tidak menyerlah dalam bidang tertentu, mungkin bakat atau kemampuan anak-anak menyerlah di bidang yang lain. Allah SWT telah berikan kebolehan atau kepandaian lain kepada anak-anak. Di sebabkan kebolehan atau kepandaian itu, kemungkinan satu hari nanti anak-anak diperlukan oleh orang lain.
Apa yang perlu anda lakukan ialah jangan menyesali nasib. Sebaliknya banyakkan bersyukur kepada Allah SWT kerana Allah memberi peluang untuk kita berbuat sesuatu yang sepadan dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.
Seperti bot penunda atau sampan penumpang itu tadi tidak berupaya mengharungi gelombang ombak di tengah lautan, pastinya sangat 'bersyukur' kerana kerana dapat memberi khidmat kepada kapal besar tatkala sampai di kawasan pinggiran pantai.
Ingat anak-anak, Allah SWT menjadikan manusia dengan kelebihan dan kelemahan tersendiri. Yang lebih jangan berbangga-bangga, dan yang lemah jangan berasa hina. Yang lebih harus selalu memberi mengikut kemampuan, dan yang lemah selain meminta bantuan hendaklah juga berusaha mengatasi kelemahan.
No comments:
Post a Comment