Jika adik-adik selalu menonton rancangan National Geographic di televisyen, adik-adik akan dapat melihat banyak perkara ajaib yang terdapat di bumi ciptaan Allah ini. dari situ, sepatutnya keyakinan adik-adik kepada kekuasaan dan kebesaran Allah SWT akan semakin mendalam.
Allah menjadikan struktur bumi dengan keadaan yang sangat ajaib. Tiga perempat atau 75 peratus daripada muka bumi diliputi air. Dengan adanya air yang banyak meliputi muka bumi, maka bumi tempat tinggal kita akan terselamat daripada menjadi kering-kontang.
Allah juga menjadikan laut, tasik dan sungai sebagai sumber bagi manusia mendapatkan makan dan minum dan keperluan lain. Ia menjadikan tempat manusia menangkap ikan, menggali minyak dan mencari mutiara sebagai perhiasan. Ia juga menjadikan tempat istirehat seperti untuk mandi-manda, menyelam dan bersiar-siar dengan kapal. Sungai pula menjadi saluran air hujan mengalir ke laut dan tidak membanjiri daratan.
Peranan Tarikan Graviti
Allah telah mewujudkan tarikan graviti di bumi yang menyebabkan air laut, tasik dan sungai tidak tumpah atau berserakan di uadara, sebaliknya bergenang di permukaan bumi yang bulat.
Andainya tidak ada tarikan graviti, tentulah air tidak dapat berkumpul di bumi.
Allah juga tidak menjadikan permukaan bumi rata keseluruhannya. Sebaliknya berbukit dan bergunung-ganang di sesetengah tempat. Dengan adanya bukit dan gunung, bumi menjadi kawasan yang sesuai sebagai tempat kediaman manusia dan haiwan. Bukit dan gunung menahan angin kuat yang akan merosakkan muka bumi.
Ia juga menahan hujan membanjiri muka bumi. Itu pun masih ada kawasan tertentu di muka bumi dilanda ribut taufan serta dilimpahi banjir. Allah mengizinkan hal ini berlaku sebagai dugaan kepada manusia agar manusia mengingati-Nya.
Keindahan Pelbagai Tumbuhan
Alah juga telah menetapkan bumi diliputi tumbuh-tumbuhan yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Ada tumbuh-tumbuhan yang dapat dijadikan makanan, ada yang dibuat ubat, ada yang batangnya dibuat kertas, dijadikan bahan untuk membuat rumah dan sebagainya.
Tumbuh-tumbuhan juga berperanan melindungi muka bumi daripada terhakis kerana akarnya yang kuat mencengkam bumi. Permukaan bumi juga tidak mudah terhakis dengan adanya batu-batan di dalamnya.
Pendek kata, apa sahaja yang Allah jadikan di muka bumi ini tidak sia-sia. Semuanya mempunyai peranan tertentu dan berguna kepada kehidupan seluruh makhluk Allah termasuk manusia.
No comments:
Post a Comment