Syukur ertinya berterima kasih kepada Allah SWT. Dalam kehidupan seharian kita, terlalu banyak perkara yang perlu kita syukuri. Melahirkan rasa syukur ialah amalan terpuji yang perlu kita amalkan setiap hari. Itulah tandanya kita sentiasa mengingati dan berterima kasih kepada Allah atas nikmat yang diberi. Jika kita setiap masa kita mengingati Allah, insya-Allah, Dia akan menolong dan menambah nikmat dan rahmat untuk kita. Oleh itu, jadikan sifat mahmudah ini sebagai pakaian diri agar hidup mendapat keberkatan dan disenangi oleh semua orang. Sebab itulah kita perlu bersyukur.
"Terima Kasih Ibu"
Balik dari sekolah, sudah tentu kita berasa lapar dan dahaga. Apabila membuka tudung saji didapati tiada makanan untuk dimakan, sudah tentu kita berasa sangat kecewa. Oleh itu, ucapkan terima kasih kepad ibu yang telah menyediakan makanan, pakaian dan keperluan seharian kita sejak kita dilahirkan. Peruntukkan sedikit masa setiap masa untuk membantu ibu membuat kerja rumah dan meringankan kerja-kerjanya. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan seorang ibu yang penyayang.
"Terima kasih Ayah"
Anda berpeluang mengikuti rombongan sekolah untuk melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur. Ucapkan terima kasih kepada ayah kerana memberi peluang kepada kita menambah ilmu dan pengalaman. Sebagai tanda terima kasih kepadanya, berazamlah untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Syukurlah kerana ayah begitu prihatin akan kita.
"Terima Kasih Cikgu"
Dulu kita tidak pandai membaca, menulis dan mengira. Berkat kesungguhan dan tunjuk ajar cikgu, akhirnya kita telah menjadi pelajar yang serba boleh. Sebagai tanda terima kasih kita kepada guru berilah perhatian ketika cikgu mengajr dan buatlah kerja yang diberi. Syukur, alhamdulillah.. kerana kita mempunyai guru yang berdedikasi.
"Terima Kasih Kakak dan Abang"
"Macam mana hendak jawab soalan ini?" Soalan ini sering kita tanya pada kakak dan abang sekiranya kita ada masalah dalam pelajaran. Walaupun mereka ada kerja sekolah untuk disiapkan, mereka tetap meluangkan sedikit masa untuk membantu kita. Oleh itu sentiasalah menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka dan elakkan pertengkaran mengenai perkara-perkara kecil. Syuku, ya Allah.. kerana mengurniakan abang dan kakak yang mengambil berat.
"Alhamdulillah..."
Pernahkah adik memenangi peraduan yang disertai? Atau lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan? Jika pernah, lahirkanlah kesyukuran kepada Allah. Ucapkanlah 'Alhamdulillah' kerana dengan takdirnya adik berjaya setelah berikhtiar. Sebagai tanda kesyukuran gunakan hadiah yang dimenangi dengan cara yang betul. Misalnya jika adik memenangi hadiah wang tunai, sebahagiannya boleh disimpan dalam tabung dan sebahagian lagi digunakan untuk membeli bahan bacaan yang bermanfaat. Adik juga boleh berkongsi nikmat kemenangan itu dengan membeli sedikit buah tangan untuk adik-beradik yang lain atau kawan-kawan. Mereka turut bersyukur dengan kemenangan dan kejayaan anda itu.
"Syukur Ya Allah..."
Cuba lihat anggota badan kita . Sebenarnya terlalu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, misalnya, mata boleh melihat, lidah boleh merasa makanan dan bercakap, kaki boleh berjalan dan tidak terkata betapa banyak lagi nikmat yang telah Allah kurniakan kepada diri kita. Itu tidak termasuk nikmat yang lain, misalnya udara yang dihirup, makanan yang kita makan, nikmat air dan banyak lagi. Sebagai hamba yang bersyukur sepatutnya setiap detik harus mengingati-Nya. Di samping itu tunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga hidup kita diberkati Allah selalu. Amin!