-->

Terapi Jiwa Dan Hati

Daripada 'Abu Darda' ra ; bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (akhirat) daripada budi pekerti yang mulia." (Riwayat Abu Daud dan At - Tirmizi)

Thursday, 31 May 2012

KENAL ALLAH - Al-'Afuwwu: Maha Pemaaf


Adik-adik, kali ini Kenal Allah ingin berkongsi mengenai nama Allah SWT yang ke-82 iaitu 'Al-'Afuwwu yang bermaksud Tuhan Yang Maha Pemaaf. Kita sebagai hamba tentunya tidak lepas dari melakukan kesalahan. Namun, sekiranya kita bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT yang bersifat 'Pemaaf', nescaya akan diampunkan, kecuali dosa-dosa syirik dan juga sesama manusia.
Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT itu bersifat Maha Pemaaf. Jika ada kawan kita yang bersalah terhadap kita hendaklah kita memaafkan dan sebaliknya jika yang bersalah dengan orang lain maka bersegera minta maaf. Kita jangan malu untuk mengucapkan maaf dan mengakui salah. Ini kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa sesama manusia kecuali manusia sendiri yang menyelesaikannya. Jika tidak, dosa sesama manusia akan menjadi halangan yang besar di akhirat untuk mendapat keampunan Allah SWT.
Dalam sebuah Hadis, Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata"Mintalah kepada Allah kemaafan, kesihatan dan jiwa yang suka memaafkan kesalahan orang lain, kerana yang pertama (kemaafan) akan berperanan sebagai penghapus dosa. Kedua, (kesihatan), ertinya Allah akan menyembuhkanmu dari penyakit atau menyelamatkanmu dari bahaya. Sedangkan yang ketiga, agar engkau menjadi orang yang pemaaf dan mereka juga akan memaafkanmu. Atau dengan kata lain, agar Allah akan menghindarkanmu dari menyakiti orang lain, sekaligus akan menghindarkanmu dri sikap jahat orang lain."

Etika Perhubungan
Berikut adalah etika perhubungan harian yang diriwayatkan oleh Jabir bin Salim dari Rasulullah SAW:
  • Menjaga ketakwaan kepada Allah dan jangan sekali-kali menghina atau memperkecilkan suatu kebaikan walau sekecil mana sekalipun.
  • Ketika bertemu dengan saudara, hendaklah berusaha untuk tersenyum.
  • Jangan sekali-kali menolak untuk memberi minum orang yang sedang kehausan.
  • Ketika seseorang menghinamu kerana beberapa hal yang tidak diketahui, maka janganlah engkau balas menghunanya dengan sesuatu yang kamu ketahui kerana Allah akan memberikan pahala bagi kesabaranmu terhadap sikapnya yang telah menghinanya.
  • Jangan sekali-kali menghina sesuatu yang telah diberikan Allah kepadamu.
Jadi sempena bulan Rejab yang mulia ini, ambil peluang untuk menziarahi dan kunjung-mengunjung. Pada kesempatan ini juga, apa kata kita semua tidak kira tua, muda sama-sama menghulurkan tangan memohon maaf agar silaturrahim atau persaudaraan yang terputus dapat dijalin semula. Seperti  yang diperkatakan oleh Jibril sewaktu menemui Nabi SAW:"Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah menyuruhmu untuk memaafkan orang-orang yang menganiayamu, memberi atau melakukan kebaikan bagi orang yang enggan melakukan kebaikan bagimu dan menyambungkan silaturrahim dengan orang-orang yang memutuskan."

Kelebihan Zikir Al-'Afuwwu'
  • Akan dibuka pintu redha Tuhan dan cenderung menyukai akhlak yang baik.
  • Allah juga memberinya rasa aman dari perkara-perkara yang ditakutinya, lebih-lebih lagi apabila ia mengiringi nama Allah al-'Afuwwu' dan al-Ghafur.
  • Apabila kita sentiasa berzikir dengan 'Al-'Afuwwu akan menyedarkan diri kita terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Dengan ini akan tercetus di dalam hati rasa sesal dan berazam untuk memperbaiki diri.
Posted by Welcome To My Blog at 20:42 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 30 May 2012

TIRU NABI - Sembahyang Untuk Ibu Bapa


Nabi Muhammad SAW gemar mengadakan majlis ilmu. Di dalam majlis itu, banyaklah ilmu pengetahuan serta tunjuk ajar tentang agama Islam yang Nabi sampaikan. Tidak hanya menyampaikan ilmu dan nasihat, Nabi SAW turut memberikan kefahaman tentang masalah-masalah dalam agama Islam.
Dalam satu majlis ilmu, baginda memberitahu tentang bakti anak-anak terhadap ke dua ibu bapa. Betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu dan bapa. Sebab itu, jangan sekali-kali menyakiti hati mereka atau menyusahkan mereka. Berikan khidmat yang terbaik kepada mereka.
Setelah selesai majlis, sebelum bersurai, Nabi SAW memberi peluang kepada hadirin jika ada yang hendak bertanyakan masalah. Mungkin ada yang kurang faham tentang apa yang telah baginda sampaikan tadi. Atau bertanya perkara lain yang tidak bersangkutan dengan majlis itu.
Seorang sahabat seraya bertanya, "Wahai Rasulullah, aku telah berbuat baik kepada kedua ibu bapaku mengikut kemampuan yang dapat aku lakukan.  Aku ingin tahu, apakah yang boleh aku buat sesudah mereka tidak ada lagi. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucurkan rahmat-Nya ke atas ke atas mereka."
Nabi SAW berasa senang sekali mendengar soalan begitu. Sambil membetulkan duduknya, Nabi menjawab. "Ya, kamu boleh sembahyang untuk ke dua-dua ibu bapa mu dan meminta keampunan kepada Allah untuk mereka, menunaikan wasiat mereka dan selalulah menghubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang dahulunya mereka lakukan. Dan juga memuliakan kawan-kawan mereka."
"Sembahyang untuk ibubapa? Macam mana tu, wahai Rasulullah?" terdengar suara lagi bertanya.
Nabi pun memahamkan mereka - sembahyang untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia maksudnya mendoakan mereka semoga Allah memberikan rahmat, ampunan dan tempat yang mulia kepada mereka di alam barzakh dan di akhirat kelak.
Pesanan Nabi SAW itu bertepatan sekali dengan sepotong hadis baginda;"Apabila seseorang manusia telah meninggal dunia, maka putuslah (terhentilah) segala amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan doa anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Demikianlah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Menyuruh kita berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibubapa, walaupun setelah mereka meninggal dunia. Lebih-lebih lagilah kalau kedua-dua mereka masih hidup. Nabi sendiripun menziarahi makam ibu bapanya dan berdoa untuk mereka.
Posted by Welcome To My Blog at 03:08 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 26 May 2012

KENAL ALLAH - Baik Sangka Kepada Allah


Kebaikan bersangka baik ialah bukan sahaja diberi pahala oleh Allah SWT, kita boleh mengawal sifat mazmumah seperti marah, benci dan seumpamanya. Kita tidak mudah melatah atau bertindak tanpa berfikir panjang. Kita boleh menerima takdir Allah dengan senang hati.
Misalnya apabila berdepan dengan kawan yang tidak menepati janji, bersangka baiklah mungkin kawan itu terlupa. Mungkin dia ada urusan lain.yang lebih mustahak atau kes kecemasan. Mungkin juga dia tidak sihat.
Dengan Allah SWT pun begitu jugalah. Kita kena bersangka baik kepada-Nya. Misalnya apabila ditimpa musibah, rasakan bahawa Allah mahu mengampuni dosa-dosa kita. Allah mahu tingkatkan iman serta kesabaran kita. Dia mahu beri keinsafan kepada kita. Jangan sekali-kali bersangka buruk kepada Allah SWT.
Berdosa bersangka buruk. Nanti Allah akan nyata apa yang kita sangka itu. Katakanlah kita sudah gagal beberapa kali dalam peperiksaan. Terdetik di dalam hati kita, agaknya memang Allah sudah takdirkan aku begini. Aku memang tidaka ada harapan untuk berjaya. Itu merupakan sangka-sangka yang tidak baik kepada Allah SWT. Tanpa kita sedari, sebenarnya sangka-sangka kita itu menjadi doa atau permintaan kita sendiri.
Posted by Welcome To My Blog at 22:14 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 24 May 2012

KENAL ALLAH - Hanya Dia Yang Maha Gagah


Gagah ertinya kuat, kuat, perkasa, berani dan menang. Orang yang gagah ditakuti oleh orang yang lemah. Haiwan yang lemah menjadi mangsa haiwan yang gagah. Ayam misalnya, menjadi makanan ular sawa yang lebih kuat daripadanya.
Jika adik-adik seorang pelajar yang gagah, jangan sekali-kali tunjuk kuat dengan guru atau kawan-kawan. Tidak boleh gunakan keberanian untuk melawan guru-guru atau ibu bapa. Begitu juga menindas kawan yang lemah.
Kegagahan dan kekuatan yang dimiliki adalah anugerah Allah Yang Maha Gagah. Ia dipinjamkan untuk sementara sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Gunakan ia untuk membela diri jika diganggu dan untuk memberi pertolongan jika diminta.
 Allah adalah Yang Maha Perkasa. Dia dapat menakluki sesiapa sahaja. Dia berkuasa menjadikan alam semesta ini dan menghancurkannya menurut kemahuan-Nya. Allah telah menunjukkan sifat gagah perkasa-Nya dengan menimpakan azab ke atas kaum yang derhaka. Kaum Nabi Nuh yang ingkar mati ditenggelami banjir besar. Kaum Nabi Lut hancur binasa dimusnahkan gempa bumi dan pekikan guruh yang kuat. Dan banyak lagi peristiwa dasyat yang menimpa golongan yang ingkar kepada Allah.
Oleh sebab itu, sebagai hamba Allah yang lemah dan sangat mengharapkan-Nya, kita mestilah sentiasa membesarkan dan memuji Allah Yang Maha Gagah. Tanamkan rasa gerun dan takut kepada kemurkaan-Nya. Mudah-mudahan dapat membantu serta menyelamatkan kita daripada terlibat dengan amalan yang tidak baik dan berdosa.
Posted by Welcome To My Blog at 07:05 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, 21 May 2012

KENAL ALLAH - Mulailah Dengan Berbuat Kebaikan


Selalunya orang  yang menjadi pencetus kepada sesuatu perkara akan mencatat nama di dalam sejarah. Namun kita tidak boleh berbangga dengan mendahului atau menjadi orang yang pertama kerana ada kuasa yang menjadikannya, iaitu Allah Tuhan kita. Dialah permulaan segala-galanya. Dia bersifat Al-Awwal iaitu Maha Permulaan. Allah adalah permulaan segala yang ada di alam ini. Dialah yang sedia ada sebelum wujud sesuatu. Sebelum bumi dan langit ini diciptakan, Allah telah sedia wujud terlebih dahulu mendahului segala yang wujud.
 Permulaan Allah tidak didahului dengan kejadiaan dan permulaan-Nya tiada akhirnya. Tiada yang menjadikan-Nya dan tiada yang merupakan-Nya. Sebaliknya Allah sendiri yang menjadikan segala permulaan dan menentukan setiap permulaan kejadian dan ciptaan-Nya.
Untuk mencontohi sifat Allah yang terkandung di dalam nama Al-Awwal, kita perlu menjadi orang yang pertama sekali mendahului dalam sebarang kerja kebaikan. Kita perlu menjadi orang yang mula-mula mengutamakan hak-hak Allah.
Kita hendaklah menjadi orang yang mula-mula beribadah. Misalnya, sembahyang awal waktu. Kita juga perlu mendahului sedekah dan sebagainya.
Semoga menjadi orang yang mengutamakan ketaatan dan kebaikan, kita akan menjadi orang yang awal mendapat balasan kebaikan dan mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.

FAKTA
Bahagianya Hidup Di Syurga
Bahagia macam mana pun kita semasa hidup di dunia, sekali-sekala kita akan berasa sedih. Bahagia dan derita pasti silih berganti. Syurgalah satu-satunya tempat di mana kita akan merasa bahagia berpanjangan.
Di syurga , penghuni-penghuninya akan diberi kesenangan walaupun sewaktu di dunia mereka hidup susah. Sedikitpun mereka tidak akan susah hati, sedih atau takut.
Mereka juga tidak megalami keadaan tidak selesa, apa lagi sakit. Selepas makan dan minum, mereka tidak akan berasa sakit perut. Tidak perlu membuang air besar dan air kecil.
Suasana di syurga akan membuatkan hati kita sentiasa gembira, tenang dan seronok, sambil setiap penghuni-penghuninya memuji Allah. Setiap kali mereka bertemu, mereka akan mengucpkan selamat sejahtera di antara satu sama lain. Mereka bersyukur dengan nikmat Allah itu sambil berkata; "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita daripada kami. Sesungguhnya Tuhan kami  itu pengampun dan pembalas amalan yang baik."
Posted by Welcome To My Blog at 07:02 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 20 May 2012

KENAL ALLAH - Allah Suka Tunaikan Permintaan


Terlalu banyak perkara yang kita perlukan untuk membina kehidupan yang baik dan cemerlang. Apabila berhadapan dengan sebarang masalah atau kesukaran, mengadulah kepada Allah. Walaupun Allah sudah sedia tahu apa saja masalah kita, tetapi kita tetap perlu mengadukan kepada-Nya. Allah suka mendengar pengaduan daripada hamba-hamba-Nya . Mengadu sambil meminta daripada-Nya.
Kalau kita meminta pertolongan daripada manusia, kadang-kadang ada ketikanya permintaan itu tidak dapat ditunaikan. Tetapi Allah SWT tidak begitu. Cuma, ditunaikan permintaan kita itu bergantung sebanyak mana kita mentaati perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Jika kita masih cuai dan selalu mengabaikan perintah Allah, tidak mustahillah permintaan kita sukar terkabul.
Namun begitu, Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dengan Rahmat-Nya Yang Maha Luas, Dia akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya yang banyak berdoa kepada-Nya. Dalam 99 nama-nama Allah yang mulia, ada nama 'Al-Mujib' iaitu Maha Mengabulkan. Apatah lagi permintaan dan permohonan daripada orang-orang beriman yang taat dan patuh perintah-Nya.
Kerana itu, banyakkan berdoa kepada-Nya. Berdoalah apa saja, asalkan jangan berdoa yang merosakkan diri atau orang lain. Misalnya kita menghadap masalah kewangan. Kita boleh mengadu dan berdoa meminta pertolongan daripada Allah. Cara Allah membantu, mungkin didatangkan dengan seorang kawan dan memberi pinjaman wangnya kepada kita. Atau mungkin kita diberi kemudahan berniaga kecil-kecilan.
Berdoa meminta ampun terhadap dosa-dosa kita, lebih disukai Allah. Hidup kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Allah tidak mahu kita mengekalkan dosa-dosa itu. Sebab itulah Dia menyuruh kita berdoa meminta keampunan dan bertaubat. Berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan di akhirat. Selain berdoa untuk diri kita sendiri, kita juga berdoa untuk ke dua ibubapa kita, kawan-kawan atau siapa saja yang kita mahu.
Berdoalah dan mintalah apa saja. Minta diampunkan dosa, diselamatkan daripada api neraka, diberi ilmu yang bermanfaat, dimurahkan rezeki, dimudahkan kerja, dipelihara daripada bahaya dan sebaginya. Cuma masanya saja kita tidak tahu. Mungkin cepat dan mungkin juga lambat. Mungkin juga Allah simpan (tangguhkan) untuk ditunaikan-Nya di hari akhirat nanti.
Sambil itu, latih-latihlah diri kita menjadi seorang yang suka menunaikan permintaan orang lain, kerana kita tentu tidak mahu permintan kita tidak diperkenankan Allah. Ditakuti jika kita kedekut hendak menolong orang lain, Allah juga akan bersikap kedekut kepada kita. Hal ini sangat berbahaya lagi menakutkan.
Bermurah hatilah dengan kawan-kawan. Orang yang pemurah dekat dengan Allah, dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka. Sedangkan orang kedekut pula jauh daripada manusia, jauh daripada Allah, jauh daripada syurga dan dekat dengan neraka.
Posted by Welcome To My Blog at 07:27 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 19 May 2012

KENAL ALLAH - Kaya Allah Tidak Terbatas


Allah SWT menjadikan kehidupan manusia di muka bumi-Nya ini tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Sebab itulah ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Tujuannya supaya yang kaya membantu yang miskin. Yang kuat menolong yang lemah. Begitulah seterusnya.
Jika ditakdirkan Allah adik menjadi seorang yang kaya dan berharta, bantulah mereka yang tidak bernasib baik. Malah pertolongan itu boleh diberikan pada bila-bila masapun, tidak tunggu menjadi kaya dahulu. apa yang penting ialah keikhlasan hati kita menghulurkan bantuan tersebut.
Ikhlas itulah yang dinilai oleh Allah SWT untuk diberi ganjaran pahala yang besar. Allah tidak melihat pada banyak atau sedikit bantuan yang kita beri. Allah tidak lihat kita kaya atau miskin. Mana yang termampu, kadar itulah kita berikan. Kalau bukan wang ringgit, mungkin pakaian, makanan atau keperluan lain.
Jangan berkira-kira memberikan bantuan atau sedekah. Kerana apa yang kita miliki hakikatnya semua milik Allah. Dia pinjamkan kepada kita atas belas kasihan dan rahmat-Nya. Jika kita berlebihan, agih-agihkanlah kepada mereka yang memerlukan. mudah-mudah rezeki kita itu akan lebih diberkati.
jangan berkira-kira dalam memberikan sedekah atau bantuan. Sebab, ditakuti kelak Allah akan berkira-kira juga dengan kita. Allah Yang Maha Kaya memiliki segala-galanya. kalau Dia berkira-kira hendak memberikan setitis saja daripada lautan nikmat-Nya kepada kita, alangkah malangnya kita.
Kekayaan Allah SWT, Dia tidak berhajatkan bantuan sedikitpun. Segala isi langit dan bumi serta seluruh makhluk adalah kepunyaan-Nya. kaya seseorang manusia, dia tetap memerlukan pertolongan dan khidmat orang lain untuk membantu kehidupannya. Untuk mendapatkan makanan perlukan petani, nelayan, peniaga dan sebagainya.
Selain itu, kekayaan yang Allah kurniakan merupakan ujian yang harus dilalui dengan sebaik mungkin. Apakah diperolehi dengan jalan yang diredhai Allah SWT atau sebaliknya? Adakah dibelanjakan ke jalan yang dituntut oleh Allah atau sebaliknya? Jika semuanya bertepatan dengan kehendak Allah, orang kaya berkenaan telah memperoleh markah yang tinggi di sisi Allah SWT sepanjang menduduki ujian itu.
Tetapi jika terjadi di sebaliknya, kekayaan itu pula akan mengutuk dan melaknat si pemiliknya. Dialah orang yang rugi kerana lupa bahawa kekayaan yang dimiliki untuk sementara saja. Bila-bila masa saja Allah boleh tarik sehingga perniagaan yang sedang berkembang maju pun boleh menjadi rugi dan bankrap.
Oleh itu, bersyukurlah kalau dikurniakan dengan kekayaan. jangan bakhil, sombong dan bermegh-megah. Allah yang Maha Kaya sangat kasih kepada makhluk-Nya yang pemurah, berkasih-sayang dan sentiasa tolong menolong antara satu sama lain.
Posted by Welcome To My Blog at 06:38 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)
 Online Users

Followers

Blog Archive

  • ▼  2012 (66)
    • ▼  December (4)
      • WASIAT RASULULLAH KE 21 - Tidak Berpaling Ketika S...
      • WASIAT RASULULLAH KE 20 - Keutamaan Dua Rakaat Sol...
      • WASIAT RASULULLAH KE 19 - Tinggalkan Maksiat Teguh...
      • WASIAT RASULULLAH KE 18 Akhlak Terhadap Diri Sendiri
    • ►  November (6)
    • ►  October (3)
    • ►  September (3)
    • ►  August (1)
    • ►  July (5)
    • ►  June (10)
    • ►  May (18)
    • ►  April (16)
Cuteki greetings

Travel theme. Theme images by piskunov. Powered by Blogger.