Setiap orang tentu ada perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan orang lain. Dia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Apatah lagi perkara yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada ibu bapa atau kawan yang paling rapat.
Tahukah adik-adik... pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang , orang itu akan berasa malu yang amat sangat. Diriwayatkan, oleh kerana tersangat malu, luruhlah daging-daging di muka. Pada waktu itu tidak ada tempat lagi untuk bersembunyi.
Lidah menjadi kelu. Tidak boleh menafikan kesalahan yang telah kita lakukan. Seluruh anggota badan pula akan menjadi saksi, mengakui serta menceritakan segala yang kita perbuat sewaktu hidup di dunia. Tidak sedikitpun boleh disembunyikan, walaupun sebesar habuk.
Namun begitu, sementara masih hidup kita ini boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dasyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan selalu bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah. Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain. Orang yang menutup aib orang lain, insya-Allah akan ditutup pula aibnya di akhirat kelak.
Jangan menceritakan keburukan orang. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan, begitu jugalah orang lain. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka diceritakan merata-rata. Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan kawan dan dedahkan kebaikan serta amal kebajikannya.
Bukan saja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang, kita juga tidak boleh memberitahu kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan begitu juga adalah berdosa. Sudahlah berdosa kerana berbuat jahat, berdosa lagi kerana menceritakan perbuatan jahat itu kepada orang lain.
Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita cepat-cepat bertaubat. Kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga? Kita boleh menceritakan kejahatan kita kepada guru kaunseling, ibu bapa atau kawan yang boleh dipercayai dengan tujuan untuk mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar.
Selain daripada mesti merahsiakan aib kawan-kawan, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.
Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan salah satu daripada tiga sifat munafiq iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Mudah-mudahan kita dipeliharakan Allah daripada sifat-sifat keji dan tercela itu.
Pesan Nabi "Tidak akan menutupi seorang hamba (manusia) akan hamba yang lain di dunia, kecuali Allah akan menutupi rahsianya pada hari kiamat .(Riwayat Bukhari & MUslim).
No comments:
Post a Comment