Anak-anak, kali ini mari kita belajar daripada cicak. Tapi apa yang kita pelajari bukan imaginasi 'manusia cicak' yang tidak berpijak di bumi nyata itu. Itu hanya kreativiti imaginasi manusia yang kadang-kadang tidak mengingatkan kita kepada Yang Maha Pencipta. Ingat, segala sesuatu tidak Allah ciptakan sia-sia, melainkan ada pengajaran buat manusia.
Cuba perhatikan cicak yang melekat di syiling atau di dinding. Cicak memiliki kaki yang cukup unik.. dapat melekat, melompat dan mendakap begitu kuat dan cekap. Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil, nyamuk dan seumpamanya. kalau difikirkan secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding dan di syiling mampu 'memburu' mangsanya yang boleh terbang.
Tentulah begitu sukar, bukan? Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap yang juga mampu terbang bagi memburu mangsanya? Barulah adil.
Cicak Tidak Mengeluh.
Tapi Allah SWT Maha Mengetahui, sungguhpun cicak tidak dikurniakan sayap, Allah kurniakannya lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapatkan rezekinya.
Seolah-olah cicak tidak 'mengeluh' kerana tidak bersayap. Sebaliknya mengurniakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki. Secara mudah, bolehlah dikatakan cicak tidak fokus pada kekurangannya. Sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Hasilnya, cicak tetap dijamin rezekinya.
Anak-anak juga perlu belajar daripada kegigihan cicak. Sebagai manusia ada kelebihan dan kita juga ada kekurangan. Untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan kita. Mungkin kita pelajar miskin, tapi itu bukan penghalang untuk berjaya. Tumpukan pada kerajinan kita. Mungkin fizikal kita agak lemah, tetapi pertajamkanlah fikiran kita.
Mungkin kita anak yatim, tetapi kita masih boleh membina hubungan yang baik dengan ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan teman-teman kita. Tegasnya, jangan jadikan kekurangan sebagai satu alasan....tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!
Cari Kelebihan Kita.
Jadi apabila anak-anak melihat cicak, jangan pandang begitu sahaja. Jangan hanya melayan imaginasi minta diberi sepasang kaki dan tangan seperti cicak. Sedarlah, kita lebih mulia daripada cicak. Pandang kelebihan yang ada pada kita manusia.
Pandanglah kekuatan kita sebagai individu yang punya pelbagai keistimewaan. Allah Maha Kaya, ada kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita. Ingatlah ungkapan yang berbunyi:"Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza."
Jika cicak pun ada kelebihannya, anak-anak yang hebat tentu punya lebih daripada itu. Temui kelebihan itu. Kemudian tumpuan, gunakan dan tingkatkan untuk berjaya!
No comments:
Post a Comment