'Malik' secara umum bererti raja atau penguasa. Al-Malik - Allah Yang Maha Penguasa/Maha Raja. Kebesaran kerajaan Allah meliputi langit dan bumi. Kekuasaan bukan sahaja untuk alam nyata, tetapi menguasai alam yang tidak terjangkau oleh panca indera (alam malakut). Malah kekuasaan kerajaan-Nya menguasai sampai ke hari akhirat kelak. Dlam sebaris firman dari Surah al-Hajj ayat 56 bermaksud;"Kerjaan pada hari itu (kiamat) adalah milik Allah."
Allah Yang Maha Penguasaha menjadi tempat seluruh makhluk Allah mengadu dan berharap kepada-Nya. Malah raja-raja dan para penguasa di dunia pun berharap kepada Allah tidak pula mengharapkan sesiapa pun untuk menguruskan pentadbiran kerajaan-Nya. Dialah yang memberikan kuasa dan kerajaan kepada para pemerintah dan penguasa yang ada di dunia ini.
Dalam Surah al-Imran ayat 26, firman Allah bermaksud;"Katakanlah, Ya Allah! Yang Memiliki kerajaan, Engkau yang memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki."
Allah Yang Maha Penguasa dan Maha Memiliki tidak seperti manusia memiliki. Allah memiliki secara hak dan mutlak kerana Dia yang mencipta, mentadbir, mengatur dan menguruskan alam ini pada keseluruhannya. Sedangkan kita memiliki sesuatu dengan membeli atau dihadiahkan oleh orang lain atau seumpamanya. Allah s.w.t. bebas melakukan apa saja terhadap apa saja yang dikuasainya. Tetapi kita tidak begitu.
Seorang ketua atau pengurus syarikat berkuasa ke atas orang bawahannya pada waktu bekerja atau pada waktu-waktu tertentu saja. Seorang ibu dan ayah berkuasa ke atas anaknya. Tetapi tidak sepanjang masa. Semasa anak tidur di tengah malam, dia tidak tergamak lagi mengejutkan anaknya untuk disuruh melakukan sesuatu pekerjaan.
Malah terhadap barangan tidak bernyawa yang kita miliki sekalipun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya. Jika kita lakukan perbuatan yang salah, pasti akan ditegur atau dicemuh oleh orang lain. Contohnya, adik cuba rosakkan basikal kepunyaan adik. Tentu ibu bapa akan marah. Ertinya, pemilikan atau penguasaan kita bukan sepenuhnya.
Sedangkan Allah tidak begitu. Dia berkuasa ke atas segala-galanya. Bukan saja ke atas batang tubuh, malah hati dan perasaan hamba-Nya pun Dia kuasai. Dia boleh membolak-balikkan hati manusia. Dia boleh menghentikan denyut nafas makhluk yang dimiliki-Nya. Dia boleh memberkan sakit demam ke atas makhluk yang dimiliki-Nya.
Tidak ada siapa yang boleh mengecam tindakan Allah s.w.t. Dia adalah raja yang berkuasa dan bebas melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Sebaliknya manusia akan dipertanggungjwabkan dan disoal di akhirat kelak. Allah berfirman bermaksud;"Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa-apa yang dilakukan-Nya, sedang mereka (manusia) ditanya."(Surah al-Anbia 23)
Firman ini pun sudah cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya kebesaran Allah. Manusia tidak harus berasa megah dan takbur dengan apa yang dimiliki kerana semua yang dimiliki tidak kekal. Akan hilang bila-bila masa jika Allah kehendaki. Ia boleh berlaku dengan dua cara:
- kematian yang sekaligus menyebabkan apa yang dimiliki akan ditinggalkan kepada waris-waris yang masih hidup
- Kehilangan atau barang yang dimiliki itu bertukar tangan dengan sebab-sebab tertentu.
Setiap orang tentu ada perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan orang lain. Dia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Apatah lagi perkara yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada ibu bapa atau kawan yang paling rapat.
Tahukah adik-adik... pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang , orang itu akan berasa malu yang amat sangat. Diriwayatkan, oleh kerana tersangat malu, luruhlah daging-daging di muka. Pada waktu itu tidak ada tempat lagi untuk bersembunyi.
Lidah menjadi kelu. Tidak boleh menafikan kesalahan yang telah kita lakukan. Seluruh anggota badan pula akan menjadi saksi, mengakui serta menceritakan segala yang kita perbuat sewaktu hidup di dunia. Tidak sedikitpun boleh disembunyikan, walaupun sebesar habuk.
Namun begitu, sementara masih hidup kita ini boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dasyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan selalu bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah. Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain. Orang yang menutup aib orang lain, insya-Allah akan ditutup pula aibnya di akhirat kelak.
Jangan menceritakan keburukan orang. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan, begitu jugalah orang lain. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka diceritakan merata-rata. Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan kawan dan dedahkan kebaikan serta amal kebajikannya.
Bukan saja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang, kita juga tidak boleh memberitahu kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan begitu juga adalah berdosa. Sudahlah berdosa kerana berbuat jahat, berdosa lagi kerana menceritakan perbuatan jahat itu kepada orang lain.
Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita cepat-cepat bertaubat. Kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga? Kita boleh menceritakan kejahatan kita kepada guru kaunseling, ibu bapa atau kawan yang boleh dipercayai dengan tujuan untuk mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar.
Selain daripada mesti merahsiakan aib kawan-kawan, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.
Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan salah satu daripada tiga sifat munafiq iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Mudah-mudahan kita dipeliharakan Allah daripada sifat-sifat keji dan tercela itu.
Pesan Nabi "Tidak akan menutupi seorang hamba (manusia) akan hamba yang lain di dunia, kecuali Allah akan menutupi rahsianya pada hari kiamat .(Riwayat Bukhari & MUslim).
Adik-adik, memiliki akhlak yang mulia bukan sahaja dituntut dalam Islam tetapi amat diperlukan untuk amalan seharian kita. Akhlak itu sekalugus memberi kesan kepada diri kita, bahkan juga kepada orang lain. Bukan mudah memiliki akhlak yang terpuji, kecuali bagi mereka yang sentiasa ingin mengubah dirinya menjadi lebih baik, oleh itu, mari adik-adik kita lihat dan cuba mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang sangat terpuji ini.
Ibadah
Rasulullah menunjukkan contoh perlaksanaan ibadah sedemikian banyak untuk kita contohi, tidak kira yang wajib mahupun yang sunat. Ketahuilah adik-adik, ibadah mampu mengukuhkan iman dan menjadi benteng dalam kehidupan kita. Ibadah bukan sahaja mendekatkan diri kita pada Allah tetapi juga menyedarkan kita perihal hakikat kehidupan kita di dunia dan agar kita tidak lalai dan alpa.
Aspek Berpakaian
Tahukah adik-adik, Nabi Muhammad SAW suka memilih pakaian yang berwarna putih. Pakaian tersebut dikenali sebagi jubah dan jubah baginda menutupi sehingga paras buku lali. Setiap kali baginda memakai pakaian baginda memulakannya dari kanan dan membaca doa. Ketika menanggalkan pakaian pula baginda memulakan dari sebelah kiri. pakaian Rasulullah sentiasa bersih dan harum meskipun pakaian tersebut sudah lama. Rasulullah juga sangat mementingkan kebersihan. Oleh itu, adik-adik juga mestilah sentiasa bersih dan kelihatan kemas.
Beradab Ketika Makan
Sebelum makan, Rasulullah tidak pernah lupa berdoa. Sebagai orang Islam yang pastinya sudah diajar mengenai etika di meja makan, seharusnya mengamalkan akhlak tersebut. Rasulullah juga menggunakan tangan kanan dan menyuap makanan dan sentiasa memilih lauk yang terdekat dahulu. Ketika makanan masih penuh di mulut, adik-adik tidak seharusnya bercakap, takut makanan tersembur.
Tutur Kata
Rasulullah SAW seorang yang fasih dalam berkata-kata. Tutur kata baginda dihiasi denga kata-kata yang manis dan bersopan. Ketika berbicara, baginda menggunakan ayatayat yang padat, lengkap, ringkas dan mudah difahami oleh orang-orang yang mendengarnya. Baginda tidak bercakap jika dirasakan tidak perlu dan hanya meninggikan suara apabila menyatakan sesuatu yang hak dan benar sahaja. Persoalan-persoalan yang dikemukakan pula dijawab dengan jawapan-jawapan dan nasihat yang mudah diterima para hadirin. Kata-kata baginda juga tidak menyakitkan hati dan mudah untuk diterima.
Kasih Sayang
Kita digalakkan mengasihi sahabat kita yang dikenali dan tidak dikenali dengan ikhlas dan bukan terpakasa. Seperti Raasulullah SAW, apabila dua atau tiga hari baginda tidak nampak salah seorang sahabatnya atau tidak bertemu di mana-mana, Rasulullah akan bertanya dan berziarah ke rumah sahabat tersebut tanpa rasa sombong. Malah baginda solat, makan dan duduk bersama para sahabat.
Kesimpulannya, memiliki akhlak yang mulia menjadikan kita manusia yang berbeza dari yang lain. Yakinlah, apapun yang digariskan agama, bukanlah sia-sia. Malah ia amat diperlukan dan menjadikan kita manusia berguna.
Najwa sangat sedih. Sepupunya yang bernama Nadia tidak mahu berkawan dengannya. Semasa bertemu pada hari raya yang lalu, Nadia menjauhkan diri daripada Najwa. Beberapa kali Najwa cuba hendak berbual dengan Nadia tetapi tidak berjaya.Beberapa hari selepas itu pun Nadia masih tidak mahu mendekati Najwa. Najwa tidak tahu, apakah kesalahan yang telah dilakukannya hingga menyebabkan Nadia menjauhkan diri. Akhirnya Najwa mengadu kepada ibunya.
Kita hendaklah sentiasa memelihara hubungan silaturrahim. Hubungan silaturrahim ialah hubungan kekeluargaan sama ada sebelah bapa atau ibu. Bapa saudara, ibu saudara, adik-beradik, sepupu-sepakat dan seumpamanya. Mereka semua adalah kaum kerabat terdekat yang mempunyai hubungan istimewa dan hukum-hukum tertentu dalam Islam. Memelihara serta mengeratkan ikatan silaturrahim bukanlah tertumpu pada hari perayaan atau hari-hari tertentu sahaja. Ia menjadi tuntutan sepanjang masa. Baik dengan kaum kerabat yang berada jauh, apatah lagi yang dekat. Apa yang sangat perlu difahami ialah memutuskan silaturrahim mengundang laknat serta kemurkaan Allah SWT. Malah menjadi satu faktor yang menyebabkan doa seseorang tidak diterima oleh Allah SWT.Dalam masalah Najwa ini, mari kita rujuk satu kisah yang berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah SAW. Sahabat tersebut datang menghadap Rasulullah SAW lalu mengadu hal,"Wahai Rasulullah, aku mempunyai beberapa kaum keluarga. Aku sentiasa menghubungkan mereka kerana mereka adalah kaum keluargaku. Malangnya mereka tidak menghiraukan dan memutuskan hubungan denganku. Aku berbuat baik kepada mereka sedangkan mereka sentaiasa menyakiti hatiku. Aku berlemah-lembut terhadap mereka tetapi mereka tidak menghiraukan aku. Apa yang harus aku lakukan?" Rasulullah SAW menjawab;"Sekiranya engkau betul dan benar sebagaimana engkau nyatakan, maka seolah-olah mereka memakan debu-debu panas, engkau akan sentiasa mendapat pertolongan daipada Allah ke atas mereka selama mana engkau berterusan atas sifat engkau yang demikian itu." Najwa jangan berputus asa. Cubalah kaedah yang lain pula, umpamanya dengan memberi hadiah kepada sepupunya itu. Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang bersedekah kepada kerabatnya itu mendapat dua pahala, pahala hubungan silaturrahim dengan kerabatnya dan pahala sedekah." (Riwayat Bukhari Muslim)
Setiap masa Rasulullah s.a.w. menyampaikan ilmu dan pengetahuan tentang pengetahuan agama Islam yang betul kepada kaum Muslimin; kadang-kadang dalam majlis-majlis ilmu yang baginda adakan, kadang-kadang semasa bermusafir, dan kadang-kadang semasa berbual dan bermesra dengan para Sahabat baginda.
Jangan Mengutuk
Pada suatu masa, ketika Rasulullah s.a.w. dalam satu musafir, seorang wanita Ansar mengenderai unta berasa kesal terhadap untanya, lalu dia mengutuk untanya itu. Rasulullah mendengar kutukan wanita itu seraya bersabda; "Turunkan wanita itu dan tinggalkan dia. Kerana sebenarnya dialah yang terkutuk." Perempuan itu berjalan kaki tanpa seorangpun yang membantunya. (Hadis Riwayat Muslim)
Siapakah Orang Yang Muflis?
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sekelompok para Sahabat."muflis menurut kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta." Sabda Rasulullah,"Muflis adalah umatku, akan datang kelak di Hari Kiamat membawa solat, puasa dan zakat. Dan membawa dosa kerana dia pernah memaki orang, pernah menuduh-nuduh orang, pernah memakan harta orang dan pernah memukul orang. Maka diberikan pahala kebaikannya kepada orang-orang yang dizaliminya. Jika kebaikan pahalanya habis sebelum dibayar kepada orang-orang yang dizaliminya, maka diambil dosa-dosa mereka yang dizaliminya lalu ditimpakan pula kepadanya. kemudian dia dilemparkan ke neraka." (Riwayat Muslim)
Pahala Sedekah Untuk Ibu
Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal denga tiba-tiba dan tidak sempat berwasiat. Menurut dugaanku, seandainya dia sempat berbicara, mungkin dia akan bersedekah . Dapatkah dia pahalanya jika aku bersedekah atas namanya?" Lalu Rasulullah menjawab,"Ya. Dapat." (Hadis Riwayat Muslim)
Anak-anak, kali ini mari kita belajar daripada cicak. Tapi apa yang kita pelajari bukan imaginasi 'manusia cicak' yang tidak berpijak di bumi nyata itu. Itu hanya kreativiti imaginasi manusia yang kadang-kadang tidak mengingatkan kita kepada Yang Maha Pencipta. Ingat, segala sesuatu tidak Allah ciptakan sia-sia, melainkan ada pengajaran buat manusia.
Cuba perhatikan cicak yang melekat di syiling atau di dinding. Cicak memiliki kaki yang cukup unik.. dapat melekat, melompat dan mendakap begitu kuat dan cekap. Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil, nyamuk dan seumpamanya. kalau difikirkan secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding dan di syiling mampu 'memburu' mangsanya yang boleh terbang.
Tentulah begitu sukar, bukan? Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap yang juga mampu terbang bagi memburu mangsanya? Barulah adil.
Cicak Tidak Mengeluh.
Tapi Allah SWT Maha Mengetahui, sungguhpun cicak tidak dikurniakan sayap, Allah kurniakannya lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapatkan rezekinya.
Seolah-olah cicak tidak 'mengeluh' kerana tidak bersayap. Sebaliknya mengurniakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki. Secara mudah, bolehlah dikatakan cicak tidak fokus pada kekurangannya. Sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Hasilnya, cicak tetap dijamin rezekinya.
Anak-anak juga perlu belajar daripada kegigihan cicak. Sebagai manusia ada kelebihan dan kita juga ada kekurangan. Untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan kita. Mungkin kita pelajar miskin, tapi itu bukan penghalang untuk berjaya. Tumpukan pada kerajinan kita. Mungkin fizikal kita agak lemah, tetapi pertajamkanlah fikiran kita.
Mungkin kita anak yatim, tetapi kita masih boleh membina hubungan yang baik dengan ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan teman-teman kita. Tegasnya, jangan jadikan kekurangan sebagai satu alasan....tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!
Cari Kelebihan Kita.
Jadi apabila anak-anak melihat cicak, jangan pandang begitu sahaja. Jangan hanya melayan imaginasi minta diberi sepasang kaki dan tangan seperti cicak. Sedarlah, kita lebih mulia daripada cicak. Pandang kelebihan yang ada pada kita manusia.
Pandanglah kekuatan kita sebagai individu yang punya pelbagai keistimewaan. Allah Maha Kaya, ada kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita. Ingatlah ungkapan yang berbunyi:"Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza."
Jika cicak pun ada kelebihannya, anak-anak yang hebat tentu punya lebih daripada itu. Temui kelebihan itu. Kemudian tumpuan, gunakan dan tingkatkan untuk berjaya!
As-Sami' bererti Allah Yang Maha Mendengar dan tidak tersembunyi dari-Nya suara-suara ciptaan-Nya baik di langit mahupun di bumi serta mengetahui semua bentuk bahasa ataupun percakapan.
Allah SWT mendengar doa orang yang berada dalam kesukaran, sebagaimana firman Allah: "Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesukaran apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati-Nya."(Surah an-Naml:62)
Sebagaimana Dia mendengar doa orang-orang yang dalam kesukaran dan memerlukan, Dia juga mendengar pujian orang-orang yang memuji-Nya.Dengan kekuasaan-Nya Allah mendengar munajat hati-hati hamba-Nya, juga apa yang tersirat di dalam hati para ciptaan-Nya.
Justeru, sebagai hamba, kita hendaklah sentiasa berdoa setelah berusaha dan bertaakal kepada-Nya. Dengan kesungguhan dan keyakinan kita berharap dan bergantung pada-Nya, tidak mustahil suatu hari segala doa yang kita panjatkan akan dimakbulkan oleh Allah Yang Maha Mendengar, Allah SWT berfirman;
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) dan serulah (berdoa) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama-Nya itu."(al-A'raf:180)
Kita juga perlu ingat bahawa, setiap perlakuan kita sebenarnya diketahui Allah SWT kerana kita senantiasa berada di bawah pengawasan-Nya. Ini kerana Allah mendengar apa yang digerakkan dalam diri kita serta apa yang terdetik di dalam fikiran. Allah berfirman:"Ya Tuhan kami, sesungguhnya Kami mendenar (seruan) yang menyeru kepada iman (iaitu):"Berimanlah kamu kepada Tuhanmu maka kamu akan beriman." (Ali Imran: 193)
Sebenarnya kita semua berasakan Allah itu jauh dan kita lupa firman Allah;"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya engkau (Wahai Muhammad) tentang-Ku, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiap yang berdoa kepada-Ku apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintah-Ku) dan beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka selalu berada di atas petunjuk."(al-Baqarah:186).
Adik-adik, berdoa itu adalah suatu ibadah. JIka kita sentiasa berdoa kepada Allah, kita dianggap melakukan kebaktian dan ibadah, sama ada sesuatu doa dimakbulkan atau tidak, pahala pasti ada di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda"Doa itu adalah ibadah."(Riwayat Tirmizi). Malah, baginda SAW juga bersabda:"Tidak ada ssuatu yang lebih mulia di sisi Allah melebihi doa." (Riwayat at-Tirmizi Ibnu Majah)
Kelebihan Zikir as-Sami'
Sekiranya inginkan doa kita dimakbulkan dan pendengaran kita tajam, biasakan zikir ini setiap hari mengikut kemampuan, terutama setiap kali selepas solat Dhuha, insyaalah doa akan mustajab.
Solat baru saja selesai. Tetapi Saiful tidak puas hati. Sejak awal solat tadi dia rasa kurang selesa. Dia terpaksa berdiri di belakang seorang pemuda yang memakai kemja-T bergambar lukisan seekor harimau.
Apabila bergerak untuk bertukar rukun, sekali-sekala pandangan Saiful singgah juga pada lukisan itu. Dan sudah tentu ia mengganggu tumpuan Saiful di dalam solatnya. Pulang ke rumah selepas berdoa dan bersalaman, Saiful menceritakan hal itu kepada emaknya.
"Allah nak uji Saiful tu. Nak tengok Saiful boleh solat betul-betul atau tidak," jelas emaknya, mengulas aduan yang dibuat oleh Saiful.
"Tapi boleh ke mak solat pakai baju bergambar tu?" tanya Saiful. "Makruh solat pakai baju yang ada gambar,"jawab emak."Makruh tu ertinya Allah benci.Jadi, janganlah buat."
Sah atau tidak solat seseorang tidak bergantung kepada pakaian yang dipakai. Asalkan menutup aurat, berwuduk, menghadap kiblat dan sempurna rukunnya, maka sahlah solat. Hanya perbuatannya yang memakai pakaian yang dicuri itu haram dan berdosa. Solatnya tidak peroleh pahala.
Seperti kata emak Saiful, hukumnya seseorang yang solat dengan memakai pakaian bergambar atau berwarna-warni. Apatah lagi gambar manusia, haiwan atau kartun amat tidak digalakkan.
Rasulullah SAW pernah menyuruh isteri baginda Sayidatina Aisyah r.a. mengalihkan tabir dalam rumahnya yang terdapat padanya gambar burung. Kata baginda, "Pindahkan tabir ini kerana setiap kali aku masuk pasti aku melihatnya menyebabkan aku ingatkan dunia."
Bersihkan hati, fikiran dan perasaan semasa bersolat iaitu dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Allah SWT.
Basikal Mardiah hilang. Puas dia mencari sambil bertanya kawan-kawan, tapi tak jumpa. Dia tak mahu berputus asa. Akhirnya Mardiah mengambil keputusan meminta pertolongan Allah SWT melalui solat hajat.
Oleh kerana berasa sangat terdesak, Mardiah mengajak ayah sama-sama mengerjakan solat hajat dengannya. Kebetulan ayahnya baru pulang dari masjid selepas menunaikan solat fardu Asar. Tetap ayah Mardiah tersenyum sahaja.
Antara waktu-waktu yang ditegah/dilarang solat sunat ialah selepas solat Asar. Ia termasuk juga solat hajat. Larangan solat sunat pada waktu tersebut agar tidak menyerupai kaum Majusi atau penyembah-penyembah matahari yang mengadakan upacara penyembahan mereka waktu matahari hampir terbenam.
Kecuali sekiranya ada perkara-perkara tertentu yang memerlukan kita solat seperti solat tahyatul masjid bagi orang yang baru masuk masjid atau solat jenazah apabila ada kematian. Solat jenazah perlu dilaksanakan sebaik sahaja jenazah selesai diuruskan dan pengebumiannya pula perlu dipercepatkan.
Termasuk juga solat yang dibolehkan selepas Asar ialah solat sunat gerhana matahari. Ia perlu dilaksanakan semasa matahari sedang melalui proses gerhana.
Mengenai solat hajat pula, waktu yang sangat digalakkan ialah pada waktu malam. Walaupun seseorang itu mempunyai hajat yang sangat besar/mustahak, solat hajat tidak termasuk dalam kategori solat yang terikat dengan waktu khusus seperti solat gerhana, solat jenazah dan solat tahyatul masjid.
Oleh sebab itu, seeloknya Mardiah mengajak ayahnya atau seluruh ahli keluarganya menunaikan solat hajat pada malam hari. Elakkan melakukannya pada waktu-waktu yang dilarang. Solat dua rakaat dengan lafaz niat,"Sahaja aku solat hajat dua rakaat kerana Allah Taala." Selepas Fatihah pada rakaat pertama bacalah Surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua selepas Fatihah baca surah al-Ikhlas. Wallahualam.
Apabila masuk waktu Maghrib, Saiful tidak pernah melepaskan peluang solat berjemaah di masjid. Itu waktu yang agak lapang untuknya ke masjid. Pada siang hari dia sibuk dengan jadual persekolahan. Dia pergi bersama ayahnya. Solat berjemaah mendapat ganjaran pahala lebih banyak berbanding solat seorang diri.
Suatu hari, ayah Saiful tidak dapat pergi masjid kerana tidak sihat. Saiful mengajak Hazlan menemaninya. Hazlan tidak menolak. Dapat juga dia solat berjemaah. Sepanjang jalan Hazlan tidak berhenti bercerita. Hingga akhirnya Hazlan mencurahkan rasa tidak puas hatinya terhadap seorang kawan yang bernama Syahrul.
"Nanti dulu, Hazlan. Saya rasa yang awak hendak ceritakan ini perkara yang tidak elok tentang Syahrul,"kata Saiful.
"Ya, sebab saya sakit hati tengok..."
"Hazlan,"pantas Saiful memotong cakap Hazlan. "Kita hendak pergi buat ibadah. Tidak baik kita bercerita tentang keburukan orang lain."
"Tapi saya tidak puas hati." "Bercerita mengenai seseorang yang dia tidak suka, itu mengumpat namanya. Berdosa. Kita ini hendak pergi masjid buat ibadah. Nanti semua pahala ibadah musnah disebabkan kesalahan mengumpat dan berhasad dengki," panjang lebar Saiful bersyarah.
"Betulkah begitu? Adakah hasad dengki, khianat dan mazmumah yang lain boleh merosakkan pahala ibadah?"
Hasad dengki, khianat dan sifat-sifat mazmumah yang lain boleh merosakkan dan melupuskan pahala ibadah. Rasulullah SAW mengingatkan menerusi sebuah hadis, "Jaga-jagalah kamu dari hasad dengki, kerana sesungguhnya hasad dengki itu memakan segala kebaikan (menghapuskan pahala), sebagaimana api memakan kayu." Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan nasib malang bagi mereka yang berhasad dengki serta menyakiti orang lain semasa hidup di dunia. Orang itu disebut orang yang muflis (papa kedana) di akhirat. Dia datang menghadap Allah SWT dengan segala amalan kebaikan yang dikerjakan semasa hidupnya. Namun dalam masa yang sama dia juga ada mencaci, memukul, serta menyakiti orang lain. Maka diberikan segala pahala kebaikannya itu kepada orang yang dipukul, caci dan maki itu. Sekiranya habis segala pahala kebaikannya, dicampakkan pula kesalahan dan dosa orang yang dipukul, dicaci dan dimaki itu kepadanya. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa hasad dengki, khianat dan sifat-sifat mazmumah yang lain boleh merosakkan pahala ibadah. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita dan menjadikan kita orang yang ikhlas dalam beramal.