Dari Annas (r.a.), beliau berkata; Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud;"Wahai anakku, jauhilah dari berpaling semasa solat kerana berpaling semasa solat adalah suatu kehancuran. Hadis riwayat At-Tirmidzi.
Diriwayatkan dari Ibnu Umar (r.a.), beliau berkata bahawa seorang lelaki bertanya:Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amal yang dapat bermanfaat kepadaku. Baginda bersabda bermaksud; Kekalkan kamu mengerjakan dua rakaat solat sunat fajar kerana ianya mempunyai keutamaan. Hadis Riwayat At-Tabrani dalam al-Kabir.
Dari Ummu Anas (r.a), belaiu berkata:Wahai Rasulullah, wasiatlah kepadaku. Rasulullah bersabda: Hijrah (tinggalkan) maksiat kerana ianya adalah hijrah yang paling utama. Jagalah solat fardu kerana ianya adalah jihad yang paling utama. Perbanyaklah zikir kepada Allah kerana tiadalah engkau datang kepada Allah dengan membawa sesuatu yang lebih disukai daripada banyak zikir kepada-Nya. Hadis Riwayat At-Tabrani dengan sanad yang baik.
Dari Zaid al Khair r.a., beliau berkata;"Saya bertanya wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang tanda seseorang yang dikehendakki kebaikan oleh Allah s.w.t. Begitu pula tentang tanda seseorang yang tidak dikehendakki kebaikan oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud;"Bagaimana keadaanmu di waktu pagi wahai Zaid? Saya menjawab, saya cinta kebaikan dan orang yang menegrjakannya. Apabila saya mampu, cepat-cepat saya mengerjakannya. Apabila saya tidak mampu maka saya menyesal dan rindu untuk mengerjakannya. Rasulullah s.a.w. bersabda,; Itulah tanda orang yang dikehendaki kebaikan Allah s.w.t Apabila Dia menghendaki engkau selain daripada itu, maka Dia akan mengatur engkau menuju ke situ. (Hadis Riwayat Ruzain)
Dari Abdullah bin Busri (r.a.), beliau berkata bahawa seorang lelaki berkata;"Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam itu sangat banyak bagi saya. Maka khabarkanlah kepadaku sesuatu yang dapat aku pegangi. Rasulullah (SAW) bersabda; bermaksud;"Janganlah berhenti lidah engkau daripada basah kerana sentiasa mengingati Allah."
Dari Muadz bin Jabal (r.a.), beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. menggandeng tangannya dan bersabda, bermaksud;"Wahai Muadz, demi Allah saya mencintaimu." Berkata Muadz kepada Rasulullah s.a.w., wahai Rasulullah, demi Allah saya uga mencintaimu. Kemudian Rasulullah s.a.w., bermaksud;"Aku wasiatkan kepadamu wahai Muadz, janganlah kamu tinggalkan setiap selepas solat dengan berdoa,"Ya Allah, tolonglah saya untuk mengingati Engkau, bersyukur kepada Engkau dan elokkan ibadahku kepada Engkau."
Dari Abu Darda(r.a.), beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud;"Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amal seseorang hamba pada hari kiamat nanti melebehi dari akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang jahat dan kotor perkataannya." (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)
Dari Abdullah bin Umar (r.a), beliau berkata bahawa suatu hari Nabi (SAW) menerangkan perihal solat, sabdanya, bermaksud: "Sesiapa yang menjaga solat, maka dia akan mendapatkan cahaya, tanda bukti dan kemuliaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak menjaga solat, dia tidak akan memperoleh cahaya, tanda bukti dan kemuliaan di mana pada hari kiamat dia akan dikumpulkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaff.)
Dari Abu Hurairah (r.a), beliau berkata; seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya,"Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya pergauli dengan baik? Belaiu menjawab;"Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi:Kemudian siapa lagi, "Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi.Kemudian siapa? Nabi menjawab;"Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi;Kemudian siapa? Nabi menjawab,"bapamu.".
Dari Muadz bin Jabal (r.a.) beliau berkata; Saya bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan. Suatu hari saya sangat dekat dengan beliau semasa kami berjalan dan aku berkata;"Wahai Rasulullah,khabarkan kepada saya tentang suatu amal yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga dan dapat menjauhkan aku daripada api neraka. Rasulullah sa.a.w. bersabda bermaksud; "Engkau telah menanyakan perkara besar di mana perkara itu akan mudah bagi orang yang dikehendaki Allah SWT. Sembahlah Allah dan janganlah engaku menyekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dirikanlah solat, tunaikan zakat, shaum(puasa) dalam bulan Ramadan dan hailah ke baitullah. kemudian beliau bersabda lagi;"Sukakah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Saya menjawab,'Suka wahai Rasulullah. Beliaupun bersabda;"Shaum itu perisai, sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sepertimana air dapat memadamkan api. Begitu pula halnya dengan solatnya seseorang di tengah malam.
Dari Al Aghari bin Yasar Al Muzany (r.a), beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda; bermaksud: Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampun kepada-Nya kerana aku bertaubat bertaubat tidak kurang dari 100 kali sehari.
Dari Abi Musa, Abdullah ibni Al Asy'ari (r.a.) berkata; Nabi SAW bersabda;"Bahawa Allah membentangkan pengampunan-Nya di waktu malam, supaya taubat orang yang berdosa di waktu siang. Dia membentangkan pengampunan-Nya di waktu siang supaya bertaubat orang yang berdosa di waktu malam sehingga matahari terbit dari sebelah barat.
Dari Abu Ummah (r.a.), beliau berkata; "Saya berkata;"Wahai Rasulullah;, perintahkan kepada saya untuk melakukan suatu perbuatan. Beliau bersabda bermaksud;" Kerjakanlah Shaum(puasa) kerana tidak ada amalan yang setanding dengannya. Hadis Riwayat An-Nasai dan Ibnu Khusaimah)
Dari Abu Fadil Abbas bin Abdul Mutalib (r.a.) beliau berkata:"Saya berkata; Wahai Rasulullah, ajarkan kepada saya tentang apa yang mesti aku minta daripada Allah. Beliau bersabda, bermaksud;" Mintalah kesihatan daripada Allah" Maka saya tinggal di suatu tempat untuk beberapa hari, kemudian saya datang lagi dan bertanya,'Wahai Rasulullah, ajarkan saya tentang apa yang mesti aku minta daripada Allah SWT. Rasulullah bersabda kepadaku: "Wahai Abbas, mintalah kesihatan dunia dan akhirat kepada Allah."
Dari Ibnu Umar (r.a.), beliau berkata, jarang sekali Rasulullah berdiam diri dalam suatu majlis sehingga beliau berdoa untuk sahabat-sahabatnya dengan doa-doa ini:
Ya Allah, berikanlah kepada kami perasaan takut kepada Engkau yang dapat menghantar kami ke dalam syurga-Mu. Berikanlah kepada kami keyakinan yang dapat meringankan musibah-musibah dunia yang menimpa kami. Ya Allah, berikanlah kemaafan kepada pendengaran, penglihatan dan kekuatan kepada kami selama Engkau menghidupkan kami. Jadikanlah ia sebagai pewaris kami. Berilah pembalasan kepada orang-orang yang menganiaya kami. Tolonglah kami atas orang-orang yang memusuhi kami. Janganlah Engkau jadikan dunia ini sebagi cita-cita yang paling besar dan tujuan akhir dari ilmu kami. Janganlah Engkau jadikan orang-orang yang tidak sayang kepada kami sebagai penguasa kami.
Ikrimah daripada Ibnu Abbas (r.a), beliau berkata: Rasulullah (SAW) bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib; bermaksud;"Whai Abbas pamanku..Apakah engkau suka aku memberi hadiah istimewa yakni kuajarkan sepuluh macam perbuatan yang dapat menghapus dosa? Apabila paman mengerjakannya maka Allah akan mengampuni dosa-dosamu, yang awal atau yang akhir, yang lama atau yang baharu, yang sengaja ataupun yang tidak sengaja, maka kecil ataupun besar, yang tersembunyi atau yang nampak. sepuluh perkara tersebut iaitu bahawa engkau solat empat rakaat, setiap rakaat engkau baca al-Fatihah dan sebuah surah. Apabila engkau telah membaca dalam rakaat pertama, tetaplah engkau dalam keadaan berdiri dan bacalah subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illah wallahu akhbar ( Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Agung) , sebanyak lima belas kali, kemudian ruku' dan bacalah kalimah tersebut sepuluh kali semasa dalam keadaan ruku', kemudian engkau bangun dari ruku' dan bacalah kalimah itu sepuluh kali kemudian turun untuk sujud dan bacalah sepuluh kali semasa engkau dalam keadaan sujud. Apabila bangun dari sujud bacalah sepuluh kali kemudian engkau sujud dan bacalah sepuluh kali , selepas itu engkau bangun dan bacalah sepuluh kali. Maka kesemuanya berjumlah tujuh puluh lima dalam setiap rakaat. Kerjakan kesemuanya dalam keempat rakaat. Apabila engkau mampu mengerjakan solat tasbih setiap hari satu kali maka kerjakanlah. Apabila tidak mampu, kerjakanlah seminggu sekali. Apabila tidak mampu, lakukanlah sebulan sekali. apabila engkau tidak mampu juga, kerjakanlah setahun sekali. apabila engkau tidak mengerjakannya, lakukanlah sekali sahaja semasa hidupmu."
Dari Abu Hurairah (ra), beliau berkata; Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur. Hadis riwayat lima Imam Hadis.
Daripada Abu Dzar(r.a) beliau berkata. Rasulullah (SAW) bersabda bermaksud;"Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekah. Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu sedekah. Dan semua itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat dhuha.
Dari Muadz bin Jabal (r.a), beliau berkata:Saya bersama Rasulullah (SAW) dalam satu perjalanan di mana beliau menyebutkan hadis di atas kemudian Nabi SAW bersabda bermaksud;"Maukah engkau aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan...? Say menjawab:ya, mahu wahai Rasulullah. Beliau bersabda:Shaum itu perisai, sedekah itu menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api.
Dari Ma'dan bin Abi Tlhah, beliau berkata; Saya bertemu dengan Tsauban, hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW dan saya berkata;Khabarkan kepada saya tentang amal yang dapat saya lakukan sehingga Allah akan memasukkan saya ke syurga atau khabarkan kepada aku tentang amal yang paling disukai Allah. Maka dia (Tsauban) diam, kemudian saya bertanya lagi, dia pun tetap berdiam diri. saya bertanya lagi untuk kali ketiga, maka dia berkata:Saya telah bertanyakan hal itu kepada rasulullah SAW, maka baginda bersabda; bermaksud' Tetaplah kamu untuk memperbanyakkan sujud. Ini kerana tidaklah engkau sujud sekali kepada Allah melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjah dan akan menghapuskan satu kesalahan.
Dari Abu Huraairah (r.a), beliau berkata bahawa Baginda S.A.W. bersabda bermaksud;"Sesiapa menghilangkan kesusahan orang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan menghilangkan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Dan sesiapa memudahkan kesulitan orang miskin, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Sesiapa menutupi kesalahan orang Islam maka Allah akan menutupi (kesalahan)nya di dunia di akhirat. Dan Allah akan selalu menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya.Sesiapa yang berjalan di atas jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam salah satu rumah Allah (masjid) yang akan mempelajari dan membaca kita Allah melainkan akan diturunkan ketenangan atas mereka dan rahmat akan meliputi mereka serta para malaikat akan mengelilingi mereka. Allah akan membanggakan mereka di hadapan (malaikat) yang ada di sisi-Nya. Sesiapa yang lambat amal perbuatannya maka tidak dapat dipercepat oleh nasab keturunannya. (Hadis Riwayat Muslim)
Dari Qubaishah bin Mukhariq (r.a.), beliau berkata: Saya datang kepada Rasulullah dan beliau bersabda: "Wahai Qubaishah, bagaimana keadaamu?" Saya menjawab:Umurku sudah tua dan tulang-tulangku sudah lemah, maka saya datang agar tuan mengajarkan apa yang dapat memberi manfaat kepada saya. Rasulullah pun bersabda;"Wahai Qubaishah, tidaklah engkau melewati sebauh batu, pokok dan tanah liat melainkan semuanya memintakan ampun bagimu. Wahai Qubaishah, apabila engkau solat subuh, bacalah tiga kali; bermaksud"Maha Suci Allah Yang Maha Agung dan aku memuji-Nya) maka ia akan menjagamu dari penyakit buta, kusta dan lumpuh.
Dari Ibnu Abbas (r.a) beliau berkata: Suatu hari saya berada di belakang Rasullullah SAW dan beliau bersabda:
Bermaksud;" Wahai budak kecil. Aku akan mengajar engaku beberapa ayat:Jagalah Allah maka Dia akan menjagamu. Jagalah Allah maka engkau akan mendapatkan-Nya sebagai penerangmu. Jika engkau minta, mintalah kepada Allah. Apabila engkau mengehndaki pertolongan, mintalah pada-Nya. Ketahuilah seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat melainkan sesuatu yang telah dipastikan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berkumpul untuk membahayakan engkau tentang sesuatu, maka tidaklah dapat mereka membahayakanmu melainkan sesuatu yang telah dipastikan oleh Allah bagimu kerana pena telah terangkat dan kertas yang ditulis pun telah kering. Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Dari Abu Hurairah (r.a) beliau berkata: Saya bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling bahagia mendapatkan syafaatmu pada hari kiamat nanti? Rasulullah SAW menjawab;"Wahai Abu Hurairah, sungguh saya menduga tidak ada seorang pun yang mendahului engkau untuk menanyakan perkara ini, kerana aku melihat minatmu terhadap hadis. Manusia yang paling berbahagia mendapatkan syafaatku pada hari kiamat nanti adalah orang yang mengucapkan kalimah 'La Illaha Ilallah' dengan ikhlas dari hati dan jiwanya. Hadis Riwayat Bukhari
Anisah baru pulang dari sekolah. Selepas memberi salam, dia pun masuk ke dalam rumah. Semasa melangkah ke biliknya, Anisah terpandang adiknya sedang membelek-belek al-Quran. Anisah berasa kurang senang melihat tingkah laku adiknya itu. Sudah tentu adiknya yang berusia tiga tahun itu tidak berwuduk. Orang yang tidak berwuduk tidak boleh menyentuh al-Quran. "Adik, jangan main Quran kakak, nanti koyak," Anisah menasihati adiknya. Namun adiknya masih membelek-belek Quran 'muqaddam' itu.
"Letak semula atas meja. Adik tidak boleh pegang al-Quran ini,"tegur Anisah lagi. "Kenapa, Anisah? Adik buat apa?' tanya emak yang datang dari dapur.
Al-Quran adalah kalam Allah, Tuhan semesta alam. Al-Quran merupakan petunjuk dan hidayah bagi kehidupan manusia. Allah yang menurunkan al-Quran iaitu kitab yang paling mulia kepada Rasulullah SAW, hamba-Nya yang paling mulia. Oleh kerana kemuliaan al-Quran serta penghormatan terhadap al-Quran, para ulama berpendapat bahawa haram menyentuh al-Quran bagi orang yang sedang berhadas, sama ada hadas kecil lebih-lebih lagi hadas besar.
Hadas kecil iaitu orang yang tidaka ada wuduk ataupun dia bukan dalam keadaan berwuduk, sama ada wuduknya telah terbatal atau memang tidak mengambil wuduk. Hadas besar pula iaitu orang yang telah berlaku kepadanya perkara-perkara yang mewajibkan mandi. Selagi mana dia belum mandi wajib, hadas besarnya tidak akan terangkat.
Namun begitu, bagi kanak-kanak yang belum baligh diharuskan (tidak diharamkan) menyentuh al-Quran dalam keadaan tidak berwuduk. Kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan atasnya dengan kewajipan dan kefarduan sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang yang telah akil baligh. Selain dari itu, ia bagi menimbulkan minat dan kesukaan kanak-kanak kepada al-Quran.
'Malik' secara umum bererti raja atau penguasa. Al-Malik - Allah Yang Maha Penguasa/Maha Raja. Kebesaran kerajaan Allah meliputi langit dan bumi. Kekuasaan bukan sahaja untuk alam nyata, tetapi menguasai alam yang tidak terjangkau oleh panca indera (alam malakut). Malah kekuasaan kerajaan-Nya menguasai sampai ke hari akhirat kelak. Dlam sebaris firman dari Surah al-Hajj ayat 56 bermaksud;"Kerjaan pada hari itu (kiamat) adalah milik Allah."
Allah Yang Maha Penguasaha menjadi tempat seluruh makhluk Allah mengadu dan berharap kepada-Nya. Malah raja-raja dan para penguasa di dunia pun berharap kepada Allah tidak pula mengharapkan sesiapa pun untuk menguruskan pentadbiran kerajaan-Nya. Dialah yang memberikan kuasa dan kerajaan kepada para pemerintah dan penguasa yang ada di dunia ini.
Dalam Surah al-Imran ayat 26, firman Allah bermaksud;"Katakanlah, Ya Allah! Yang Memiliki kerajaan, Engkau yang memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki."
Allah Yang Maha Penguasa dan Maha Memiliki tidak seperti manusia memiliki. Allah memiliki secara hak dan mutlak kerana Dia yang mencipta, mentadbir, mengatur dan menguruskan alam ini pada keseluruhannya. Sedangkan kita memiliki sesuatu dengan membeli atau dihadiahkan oleh orang lain atau seumpamanya. Allah s.w.t. bebas melakukan apa saja terhadap apa saja yang dikuasainya. Tetapi kita tidak begitu.
Seorang ketua atau pengurus syarikat berkuasa ke atas orang bawahannya pada waktu bekerja atau pada waktu-waktu tertentu saja. Seorang ibu dan ayah berkuasa ke atas anaknya. Tetapi tidak sepanjang masa. Semasa anak tidur di tengah malam, dia tidak tergamak lagi mengejutkan anaknya untuk disuruh melakukan sesuatu pekerjaan.
Malah terhadap barangan tidak bernyawa yang kita miliki sekalipun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya. Jika kita lakukan perbuatan yang salah, pasti akan ditegur atau dicemuh oleh orang lain. Contohnya, adik cuba rosakkan basikal kepunyaan adik. Tentu ibu bapa akan marah. Ertinya, pemilikan atau penguasaan kita bukan sepenuhnya.
Sedangkan Allah tidak begitu. Dia berkuasa ke atas segala-galanya. Bukan saja ke atas batang tubuh, malah hati dan perasaan hamba-Nya pun Dia kuasai. Dia boleh membolak-balikkan hati manusia. Dia boleh menghentikan denyut nafas makhluk yang dimiliki-Nya. Dia boleh memberkan sakit demam ke atas makhluk yang dimiliki-Nya.
Tidak ada siapa yang boleh mengecam tindakan Allah s.w.t. Dia adalah raja yang berkuasa dan bebas melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Sebaliknya manusia akan dipertanggungjwabkan dan disoal di akhirat kelak. Allah berfirman bermaksud;"Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa-apa yang dilakukan-Nya, sedang mereka (manusia) ditanya."(Surah al-Anbia 23)
Firman ini pun sudah cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya kebesaran Allah. Manusia tidak harus berasa megah dan takbur dengan apa yang dimiliki kerana semua yang dimiliki tidak kekal. Akan hilang bila-bila masa jika Allah kehendaki. Ia boleh berlaku dengan dua cara:
- kematian yang sekaligus menyebabkan apa yang dimiliki akan ditinggalkan kepada waris-waris yang masih hidup
- Kehilangan atau barang yang dimiliki itu bertukar tangan dengan sebab-sebab tertentu.
Setiap orang tentu ada perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan orang lain. Dia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Apatah lagi perkara yang berbentuk aib atau seumpamanya. Dia tidak akan menceritakan kepada orang lain, walaupun kepada ibu bapa atau kawan yang paling rapat.
Tahukah adik-adik... pada hari kiamat kelak, apabila Allah mendedahkan aib seseorang , orang itu akan berasa malu yang amat sangat. Diriwayatkan, oleh kerana tersangat malu, luruhlah daging-daging di muka. Pada waktu itu tidak ada tempat lagi untuk bersembunyi.
Lidah menjadi kelu. Tidak boleh menafikan kesalahan yang telah kita lakukan. Seluruh anggota badan pula akan menjadi saksi, mengakui serta menceritakan segala yang kita perbuat sewaktu hidup di dunia. Tidak sedikitpun boleh disembunyikan, walaupun sebesar habuk.
Namun begitu, sementara masih hidup kita ini boleh menyelamatkan diri daripada keadaan yang amat dasyat itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan selalu bertaubat, mudah-mudahan segala kesalahan kita dihapuskan oleh Allah. Kita juga hendaklah menutup aib atau keburukan orang lain. Orang yang menutup aib orang lain, insya-Allah akan ditutup pula aibnya di akhirat kelak.
Jangan menceritakan keburukan orang. Kalau kita tidak suka keburukan kita dihebahkan, begitu jugalah orang lain. Mereka juga tidak suka aib atau keburukan mereka diceritakan merata-rata. Begitulah Islam mengajar kita menjaga akhlak dalam bergaul dan berkawan. Tutup keburukan kawan dan dedahkan kebaikan serta amal kebajikannya.
Bukan saja tidak boleh mendedahkan kejahatan orang, kita juga tidak boleh memberitahu kejahatan yang kita lakukan dengan tujuan berbangga-bangga. Perbuatan begitu juga adalah berdosa. Sudahlah berdosa kerana berbuat jahat, berdosa lagi kerana menceritakan perbuatan jahat itu kepada orang lain.
Allah tutup kejahatan yang kita lakukan daripada diketahui umum agar kita cepat-cepat bertaubat. Kenapa pula kita menceritakannya sambil berbangga-bangga? Kita boleh menceritakan kejahatan kita kepada guru kaunseling, ibu bapa atau kawan yang boleh dipercayai dengan tujuan untuk mendapatkan nasihat serta tunjuk ajar.
Selain daripada mesti merahsiakan aib kawan-kawan, kita juga mesti menjaga rahsia yang diamanahkan kepada kita. Tidak kiralah sama ada perkara itu kecil atau remeh sahaja, tetapi kalau diamanahkan supaya merahsiakannya, kita tidak boleh menceritakan kepada orang lain.
Jika kita ingkar, ertinya kita sudah berbuat khianat. Khianat merupakan salah satu daripada tiga sifat munafiq iaitu berbohong, mungkir janji dan khianat. Mudah-mudahan kita dipeliharakan Allah daripada sifat-sifat keji dan tercela itu.
Pesan Nabi "Tidak akan menutupi seorang hamba (manusia) akan hamba yang lain di dunia, kecuali Allah akan menutupi rahsianya pada hari kiamat .(Riwayat Bukhari & MUslim).
Adik-adik, memiliki akhlak yang mulia bukan sahaja dituntut dalam Islam tetapi amat diperlukan untuk amalan seharian kita. Akhlak itu sekalugus memberi kesan kepada diri kita, bahkan juga kepada orang lain. Bukan mudah memiliki akhlak yang terpuji, kecuali bagi mereka yang sentiasa ingin mengubah dirinya menjadi lebih baik, oleh itu, mari adik-adik kita lihat dan cuba mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang sangat terpuji ini.
Ibadah
Rasulullah menunjukkan contoh perlaksanaan ibadah sedemikian banyak untuk kita contohi, tidak kira yang wajib mahupun yang sunat. Ketahuilah adik-adik, ibadah mampu mengukuhkan iman dan menjadi benteng dalam kehidupan kita. Ibadah bukan sahaja mendekatkan diri kita pada Allah tetapi juga menyedarkan kita perihal hakikat kehidupan kita di dunia dan agar kita tidak lalai dan alpa.
Aspek Berpakaian
Tahukah adik-adik, Nabi Muhammad SAW suka memilih pakaian yang berwarna putih. Pakaian tersebut dikenali sebagi jubah dan jubah baginda menutupi sehingga paras buku lali. Setiap kali baginda memakai pakaian baginda memulakannya dari kanan dan membaca doa. Ketika menanggalkan pakaian pula baginda memulakan dari sebelah kiri. pakaian Rasulullah sentiasa bersih dan harum meskipun pakaian tersebut sudah lama. Rasulullah juga sangat mementingkan kebersihan. Oleh itu, adik-adik juga mestilah sentiasa bersih dan kelihatan kemas.
Beradab Ketika Makan
Sebelum makan, Rasulullah tidak pernah lupa berdoa. Sebagai orang Islam yang pastinya sudah diajar mengenai etika di meja makan, seharusnya mengamalkan akhlak tersebut. Rasulullah juga menggunakan tangan kanan dan menyuap makanan dan sentiasa memilih lauk yang terdekat dahulu. Ketika makanan masih penuh di mulut, adik-adik tidak seharusnya bercakap, takut makanan tersembur.
Tutur Kata
Rasulullah SAW seorang yang fasih dalam berkata-kata. Tutur kata baginda dihiasi denga kata-kata yang manis dan bersopan. Ketika berbicara, baginda menggunakan ayatayat yang padat, lengkap, ringkas dan mudah difahami oleh orang-orang yang mendengarnya. Baginda tidak bercakap jika dirasakan tidak perlu dan hanya meninggikan suara apabila menyatakan sesuatu yang hak dan benar sahaja. Persoalan-persoalan yang dikemukakan pula dijawab dengan jawapan-jawapan dan nasihat yang mudah diterima para hadirin. Kata-kata baginda juga tidak menyakitkan hati dan mudah untuk diterima.
Kasih Sayang
Kita digalakkan mengasihi sahabat kita yang dikenali dan tidak dikenali dengan ikhlas dan bukan terpakasa. Seperti Raasulullah SAW, apabila dua atau tiga hari baginda tidak nampak salah seorang sahabatnya atau tidak bertemu di mana-mana, Rasulullah akan bertanya dan berziarah ke rumah sahabat tersebut tanpa rasa sombong. Malah baginda solat, makan dan duduk bersama para sahabat.
Kesimpulannya, memiliki akhlak yang mulia menjadikan kita manusia yang berbeza dari yang lain. Yakinlah, apapun yang digariskan agama, bukanlah sia-sia. Malah ia amat diperlukan dan menjadikan kita manusia berguna.
Najwa sangat sedih. Sepupunya yang bernama Nadia tidak mahu berkawan dengannya. Semasa bertemu pada hari raya yang lalu, Nadia menjauhkan diri daripada Najwa. Beberapa kali Najwa cuba hendak berbual dengan Nadia tetapi tidak berjaya.Beberapa hari selepas itu pun Nadia masih tidak mahu mendekati Najwa. Najwa tidak tahu, apakah kesalahan yang telah dilakukannya hingga menyebabkan Nadia menjauhkan diri. Akhirnya Najwa mengadu kepada ibunya.
Kita hendaklah sentiasa memelihara hubungan silaturrahim. Hubungan silaturrahim ialah hubungan kekeluargaan sama ada sebelah bapa atau ibu. Bapa saudara, ibu saudara, adik-beradik, sepupu-sepakat dan seumpamanya. Mereka semua adalah kaum kerabat terdekat yang mempunyai hubungan istimewa dan hukum-hukum tertentu dalam Islam. Memelihara serta mengeratkan ikatan silaturrahim bukanlah tertumpu pada hari perayaan atau hari-hari tertentu sahaja. Ia menjadi tuntutan sepanjang masa. Baik dengan kaum kerabat yang berada jauh, apatah lagi yang dekat. Apa yang sangat perlu difahami ialah memutuskan silaturrahim mengundang laknat serta kemurkaan Allah SWT. Malah menjadi satu faktor yang menyebabkan doa seseorang tidak diterima oleh Allah SWT.Dalam masalah Najwa ini, mari kita rujuk satu kisah yang berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah SAW. Sahabat tersebut datang menghadap Rasulullah SAW lalu mengadu hal,"Wahai Rasulullah, aku mempunyai beberapa kaum keluarga. Aku sentiasa menghubungkan mereka kerana mereka adalah kaum keluargaku. Malangnya mereka tidak menghiraukan dan memutuskan hubungan denganku. Aku berbuat baik kepada mereka sedangkan mereka sentaiasa menyakiti hatiku. Aku berlemah-lembut terhadap mereka tetapi mereka tidak menghiraukan aku. Apa yang harus aku lakukan?" Rasulullah SAW menjawab;"Sekiranya engkau betul dan benar sebagaimana engkau nyatakan, maka seolah-olah mereka memakan debu-debu panas, engkau akan sentiasa mendapat pertolongan daipada Allah ke atas mereka selama mana engkau berterusan atas sifat engkau yang demikian itu." Najwa jangan berputus asa. Cubalah kaedah yang lain pula, umpamanya dengan memberi hadiah kepada sepupunya itu. Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang bersedekah kepada kerabatnya itu mendapat dua pahala, pahala hubungan silaturrahim dengan kerabatnya dan pahala sedekah." (Riwayat Bukhari Muslim)