-->

Terapi Jiwa Dan Hati

Daripada 'Abu Darda' ra ; bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (akhirat) daripada budi pekerti yang mulia." (Riwayat Abu Daud dan At - Tirmizi)

Monday, 11 June 2012

TIRU NABI - Rasul Gudang Ilmu


Setiap masa Rasulullah s.a.w. menyampaikan ilmu dan pengetahuan tentang pengetahuan agama Islam yang betul kepada kaum Muslimin; kadang-kadang dalam majlis-majlis ilmu yang baginda adakan, kadang-kadang semasa bermusafir, dan kadang-kadang semasa berbual dan bermesra dengan para Sahabat baginda.

Jangan Mengutuk
Pada suatu masa, ketika Rasulullah s.a.w. dalam satu musafir, seorang wanita Ansar mengenderai unta berasa kesal terhadap untanya, lalu dia mengutuk untanya itu. Rasulullah mendengar kutukan wanita itu seraya bersabda; "Turunkan wanita itu dan tinggalkan dia. Kerana sebenarnya dialah yang terkutuk." Perempuan itu berjalan kaki tanpa seorangpun yang membantunya.  (Hadis Riwayat Muslim)

Siapakah Orang Yang Muflis?
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sekelompok para Sahabat."muflis menurut kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta." Sabda Rasulullah,"Muflis adalah umatku, akan datang kelak di Hari Kiamat membawa solat, puasa dan zakat. Dan membawa dosa kerana dia pernah memaki orang, pernah menuduh-nuduh orang, pernah memakan harta orang dan pernah memukul orang. Maka diberikan pahala kebaikannya kepada orang-orang yang dizaliminya. Jika kebaikan pahalanya habis sebelum dibayar kepada orang-orang yang dizaliminya, maka diambil dosa-dosa mereka yang dizaliminya lalu ditimpakan pula kepadanya. kemudian dia dilemparkan ke neraka." (Riwayat Muslim)

Pahala Sedekah Untuk Ibu
Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal denga tiba-tiba dan tidak sempat berwasiat. Menurut dugaanku, seandainya dia sempat berbicara, mungkin dia akan bersedekah . Dapatkah dia pahalanya jika aku bersedekah atas namanya?" Lalu Rasulullah menjawab,"Ya. Dapat." (Hadis Riwayat Muslim)
Posted by Welcome To My Blog at 06:32 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 10 June 2012

BELAJAR DENGAN ALAM - Cicak Yang Kreatif


Anak-anak, kali ini mari kita belajar daripada cicak. Tapi apa yang kita pelajari bukan imaginasi 'manusia cicak' yang tidak berpijak di bumi nyata itu. Itu hanya kreativiti imaginasi manusia yang kadang-kadang tidak mengingatkan kita kepada Yang Maha Pencipta. Ingat, segala sesuatu tidak Allah ciptakan sia-sia, melainkan ada pengajaran buat manusia.
Cuba perhatikan cicak yang melekat di syiling atau di dinding. Cicak memiliki kaki yang cukup unik.. dapat melekat, melompat dan mendakap begitu kuat dan cekap. Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil, nyamuk dan seumpamanya. kalau difikirkan secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding dan di syiling mampu 'memburu' mangsanya yang boleh terbang.
Tentulah begitu sukar, bukan? Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap yang juga mampu terbang bagi memburu mangsanya? Barulah adil.

Cicak Tidak Mengeluh.
Tapi Allah SWT Maha Mengetahui, sungguhpun cicak tidak dikurniakan sayap, Allah kurniakannya lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapatkan rezekinya.
Seolah-olah cicak tidak 'mengeluh' kerana tidak bersayap. Sebaliknya mengurniakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki. Secara mudah, bolehlah dikatakan cicak tidak fokus pada kekurangannya. Sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Hasilnya, cicak tetap dijamin rezekinya.
Anak-anak juga perlu belajar daripada kegigihan cicak. Sebagai manusia ada kelebihan dan kita juga ada kekurangan. Untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan kita. Mungkin kita pelajar miskin, tapi itu bukan penghalang untuk berjaya. Tumpukan pada kerajinan kita. Mungkin fizikal kita agak lemah, tetapi pertajamkanlah fikiran kita.
Mungkin kita anak yatim, tetapi kita masih boleh membina hubungan yang baik dengan ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan teman-teman kita. Tegasnya, jangan jadikan kekurangan sebagai satu alasan....tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!

Cari Kelebihan Kita.
Jadi apabila anak-anak melihat cicak, jangan pandang begitu sahaja. Jangan hanya melayan imaginasi minta diberi sepasang kaki dan tangan seperti cicak. Sedarlah, kita lebih mulia daripada cicak. Pandang kelebihan yang ada pada kita manusia.
Pandanglah kekuatan kita sebagai individu yang punya pelbagai keistimewaan. Allah Maha Kaya, ada kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita. Ingatlah ungkapan yang berbunyi:"Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza."
Jika cicak pun ada kelebihannya, anak-anak yang hebat tentu punya lebih daripada itu. Temui kelebihan itu. Kemudian tumpuan, gunakan dan tingkatkan untuk berjaya!
Posted by Welcome To My Blog at 04:06 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 6 June 2012

KENAL ALLAH - As-Sami' Maha Mendengar


As-Sami' bererti Allah Yang Maha Mendengar dan tidak tersembunyi dari-Nya suara-suara ciptaan-Nya baik di langit mahupun di bumi serta mengetahui semua bentuk bahasa ataupun percakapan.
Allah SWT mendengar doa orang yang berada dalam kesukaran, sebagaimana firman Allah: "Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesukaran apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati-Nya."(Surah an-Naml:62)
Sebagaimana Dia mendengar doa orang-orang yang dalam kesukaran dan memerlukan, Dia juga mendengar pujian orang-orang yang memuji-Nya.Dengan kekuasaan-Nya Allah mendengar munajat hati-hati hamba-Nya, juga apa yang tersirat di dalam hati para ciptaan-Nya.
Justeru, sebagai hamba, kita hendaklah sentiasa berdoa setelah berusaha dan bertaakal kepada-Nya. Dengan kesungguhan dan keyakinan kita berharap dan bergantung pada-Nya, tidak mustahil suatu hari segala doa yang kita panjatkan akan dimakbulkan oleh Allah Yang Maha Mendengar, Allah SWT berfirman;
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) dan serulah (berdoa) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama-Nya itu."(al-A'raf:180)
Kita juga perlu ingat bahawa, setiap perlakuan kita sebenarnya diketahui Allah SWT kerana kita senantiasa berada di bawah pengawasan-Nya. Ini kerana Allah mendengar apa yang digerakkan dalam diri kita serta apa yang terdetik di dalam fikiran. Allah berfirman:"Ya Tuhan kami, sesungguhnya Kami mendenar (seruan) yang menyeru kepada iman (iaitu):"Berimanlah kamu kepada Tuhanmu maka kamu akan beriman." (Ali Imran: 193)
Sebenarnya kita semua berasakan Allah itu jauh dan kita lupa firman Allah;"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya engkau (Wahai Muhammad) tentang-Ku, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiap yang berdoa kepada-Ku apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintah-Ku) dan beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka selalu berada di atas petunjuk."(al-Baqarah:186).
Adik-adik, berdoa itu adalah suatu ibadah. JIka kita sentiasa berdoa kepada Allah, kita dianggap melakukan kebaktian dan ibadah, sama ada sesuatu doa dimakbulkan atau  tidak, pahala pasti ada di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda"Doa itu adalah ibadah."(Riwayat Tirmizi). Malah, baginda SAW juga bersabda:"Tidak ada ssuatu yang lebih mulia di sisi Allah melebihi doa." (Riwayat at-Tirmizi Ibnu Majah)

Kelebihan Zikir as-Sami'
  • Sekiranya inginkan doa kita dimakbulkan dan pendengaran kita tajam, biasakan zikir ini setiap hari mengikut kemampuan, terutama setiap kali selepas solat Dhuha, insyaalah doa akan mustajab.
Posted by Welcome To My Blog at 14:03 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, 4 June 2012

FAHAM FIKAH - Solat Dengan Baju Bergambar


Solat baru saja selesai. Tetapi Saiful tidak puas hati. Sejak awal solat tadi dia rasa kurang selesa. Dia terpaksa berdiri di belakang seorang pemuda yang memakai kemja-T bergambar lukisan seekor harimau.
Apabila bergerak untuk bertukar rukun, sekali-sekala pandangan Saiful singgah juga pada lukisan itu. Dan sudah tentu ia mengganggu tumpuan Saiful di dalam solatnya. Pulang ke rumah selepas berdoa dan bersalaman, Saiful menceritakan hal itu kepada emaknya.
"Allah nak uji Saiful tu. Nak tengok Saiful boleh solat betul-betul atau tidak," jelas emaknya, mengulas aduan yang dibuat oleh Saiful. 
"Tapi boleh ke mak solat pakai baju bergambar tu?" tanya Saiful. "Makruh solat pakai baju yang ada gambar,"jawab emak."Makruh tu ertinya Allah benci.Jadi, janganlah buat."
Sah atau tidak solat seseorang tidak bergantung kepada pakaian yang dipakai. Asalkan menutup aurat, berwuduk, menghadap kiblat dan sempurna rukunnya, maka sahlah solat. Hanya perbuatannya yang memakai pakaian yang dicuri itu haram dan berdosa. Solatnya tidak peroleh pahala.
Seperti kata emak Saiful, hukumnya seseorang yang solat dengan memakai pakaian bergambar atau berwarna-warni. Apatah lagi gambar manusia, haiwan atau kartun amat tidak digalakkan.
Rasulullah SAW pernah menyuruh isteri baginda Sayidatina Aisyah r.a. mengalihkan tabir dalam rumahnya yang terdapat padanya gambar burung. Kata baginda, "Pindahkan tabir ini kerana setiap kali aku masuk pasti aku melihatnya menyebabkan aku ingatkan dunia."
Bersihkan hati, fikiran dan perasaan semasa bersolat iaitu dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Allah SWT.
Posted by Welcome To My Blog at 19:15 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 3 June 2012

FAHAM FIKAH - Solat Hajat Selepas Asar


Basikal Mardiah hilang. Puas dia mencari sambil bertanya kawan-kawan, tapi tak jumpa. Dia tak mahu berputus asa. Akhirnya Mardiah mengambil keputusan meminta pertolongan Allah SWT melalui solat hajat.
Oleh kerana berasa sangat terdesak, Mardiah mengajak ayah sama-sama mengerjakan solat hajat dengannya. Kebetulan ayahnya baru pulang dari masjid selepas menunaikan solat fardu Asar. Tetap ayah Mardiah tersenyum sahaja.
"Kenapa ayah senyum pula?" tanya Mardiah. "Mardiah serius ni." "Ya, ayah tahu. Ayah faham perasaan Mardia,"jawab ayahnya. "Mardiah sayangkan basikal tu," rengek Mardiah lagi.

Antara waktu-waktu yang ditegah/dilarang solat sunat ialah selepas solat Asar. Ia termasuk juga solat hajat. Larangan solat sunat pada waktu tersebut agar tidak menyerupai kaum Majusi atau penyembah-penyembah matahari yang mengadakan upacara penyembahan mereka waktu matahari hampir terbenam.
Kecuali sekiranya ada perkara-perkara tertentu yang memerlukan kita solat seperti solat tahyatul masjid bagi orang yang baru masuk masjid atau solat jenazah apabila ada kematian. Solat jenazah perlu dilaksanakan sebaik sahaja jenazah selesai diuruskan dan pengebumiannya pula perlu dipercepatkan.
Termasuk juga solat yang dibolehkan selepas Asar ialah solat sunat gerhana matahari. Ia perlu dilaksanakan semasa matahari sedang melalui proses gerhana.
Mengenai solat hajat pula, waktu yang sangat digalakkan ialah pada waktu malam. Walaupun seseorang itu mempunyai hajat yang sangat besar/mustahak, solat hajat tidak termasuk dalam kategori solat yang terikat dengan waktu khusus seperti solat gerhana, solat jenazah dan solat tahyatul masjid.
Oleh sebab itu, seeloknya Mardiah mengajak ayahnya atau seluruh ahli keluarganya menunaikan solat hajat pada malam hari. Elakkan melakukannya pada waktu-waktu yang dilarang. Solat dua rakaat dengan lafaz niat,"Sahaja aku solat hajat dua rakaat kerana Allah Taala." Selepas Fatihah pada rakaat pertama bacalah Surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua selepas Fatihah baca surah al-Ikhlas. Wallahualam.
Posted by Welcome To My Blog at 19:06 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 2 June 2012

FAHAM FIKAH- Kejahatan Rosakkan Pahala


Apabila masuk waktu Maghrib, Saiful tidak pernah melepaskan peluang solat berjemaah di masjid. Itu waktu yang agak lapang untuknya ke masjid. Pada siang hari dia sibuk dengan jadual persekolahan. Dia pergi bersama ayahnya. Solat berjemaah mendapat ganjaran pahala lebih banyak berbanding solat seorang diri.
Suatu hari, ayah Saiful tidak dapat pergi masjid kerana tidak sihat. Saiful mengajak Hazlan menemaninya. Hazlan tidak menolak. Dapat juga dia solat berjemaah. Sepanjang jalan Hazlan tidak berhenti bercerita. Hingga akhirnya Hazlan mencurahkan rasa tidak puas hatinya terhadap seorang kawan yang bernama Syahrul.
"Nanti dulu, Hazlan. Saya rasa yang awak hendak ceritakan ini perkara yang tidak elok tentang Syahrul,"kata Saiful.
"Ya, sebab saya sakit hati tengok..."
"Hazlan,"pantas Saiful memotong cakap Hazlan. "Kita hendak pergi buat ibadah. Tidak baik kita bercerita tentang keburukan orang lain."
"Tapi saya tidak puas hati." "Bercerita mengenai seseorang yang dia tidak suka, itu mengumpat namanya. Berdosa. Kita ini hendak pergi masjid buat ibadah. Nanti semua pahala ibadah musnah disebabkan kesalahan mengumpat dan berhasad dengki," panjang lebar Saiful bersyarah.
"Betulkah begitu? Adakah hasad dengki, khianat dan mazmumah yang lain boleh merosakkan pahala ibadah?"
Hasad dengki, khianat dan sifat-sifat mazmumah yang lain boleh merosakkan dan melupuskan pahala ibadah. Rasulullah SAW mengingatkan menerusi sebuah hadis, "Jaga-jagalah kamu dari hasad dengki, kerana sesungguhnya hasad dengki itu memakan segala kebaikan (menghapuskan pahala), sebagaimana api memakan kayu." Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan nasib malang bagi mereka yang berhasad dengki serta menyakiti orang lain semasa hidup di dunia. Orang itu disebut orang yang muflis (papa kedana) di akhirat. Dia datang menghadap Allah SWT dengan segala amalan kebaikan yang dikerjakan semasa hidupnya. Namun dalam masa yang sama dia juga ada mencaci, memukul, serta menyakiti orang lain. Maka diberikan segala pahala kebaikannya itu kepada orang yang dipukul, caci dan maki itu. Sekiranya habis segala pahala kebaikannya, dicampakkan pula kesalahan dan dosa orang yang dipukul, dicaci dan dimaki itu kepadanya. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa hasad dengki, khianat dan sifat-sifat mazmumah yang lain boleh merosakkan pahala ibadah. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita dan menjadikan kita orang yang ikhlas dalam beramal.

Posted by Welcome To My Blog at 07:49 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 31 May 2012

KENAL ALLAH - Al-'Afuwwu: Maha Pemaaf


Adik-adik, kali ini Kenal Allah ingin berkongsi mengenai nama Allah SWT yang ke-82 iaitu 'Al-'Afuwwu yang bermaksud Tuhan Yang Maha Pemaaf. Kita sebagai hamba tentunya tidak lepas dari melakukan kesalahan. Namun, sekiranya kita bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT yang bersifat 'Pemaaf', nescaya akan diampunkan, kecuali dosa-dosa syirik dan juga sesama manusia.
Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT itu bersifat Maha Pemaaf. Jika ada kawan kita yang bersalah terhadap kita hendaklah kita memaafkan dan sebaliknya jika yang bersalah dengan orang lain maka bersegera minta maaf. Kita jangan malu untuk mengucapkan maaf dan mengakui salah. Ini kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa sesama manusia kecuali manusia sendiri yang menyelesaikannya. Jika tidak, dosa sesama manusia akan menjadi halangan yang besar di akhirat untuk mendapat keampunan Allah SWT.
Dalam sebuah Hadis, Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata"Mintalah kepada Allah kemaafan, kesihatan dan jiwa yang suka memaafkan kesalahan orang lain, kerana yang pertama (kemaafan) akan berperanan sebagai penghapus dosa. Kedua, (kesihatan), ertinya Allah akan menyembuhkanmu dari penyakit atau menyelamatkanmu dari bahaya. Sedangkan yang ketiga, agar engkau menjadi orang yang pemaaf dan mereka juga akan memaafkanmu. Atau dengan kata lain, agar Allah akan menghindarkanmu dari menyakiti orang lain, sekaligus akan menghindarkanmu dri sikap jahat orang lain."

Etika Perhubungan
Berikut adalah etika perhubungan harian yang diriwayatkan oleh Jabir bin Salim dari Rasulullah SAW:
  • Menjaga ketakwaan kepada Allah dan jangan sekali-kali menghina atau memperkecilkan suatu kebaikan walau sekecil mana sekalipun.
  • Ketika bertemu dengan saudara, hendaklah berusaha untuk tersenyum.
  • Jangan sekali-kali menolak untuk memberi minum orang yang sedang kehausan.
  • Ketika seseorang menghinamu kerana beberapa hal yang tidak diketahui, maka janganlah engkau balas menghunanya dengan sesuatu yang kamu ketahui kerana Allah akan memberikan pahala bagi kesabaranmu terhadap sikapnya yang telah menghinanya.
  • Jangan sekali-kali menghina sesuatu yang telah diberikan Allah kepadamu.
Jadi sempena bulan Rejab yang mulia ini, ambil peluang untuk menziarahi dan kunjung-mengunjung. Pada kesempatan ini juga, apa kata kita semua tidak kira tua, muda sama-sama menghulurkan tangan memohon maaf agar silaturrahim atau persaudaraan yang terputus dapat dijalin semula. Seperti  yang diperkatakan oleh Jibril sewaktu menemui Nabi SAW:"Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah menyuruhmu untuk memaafkan orang-orang yang menganiayamu, memberi atau melakukan kebaikan bagi orang yang enggan melakukan kebaikan bagimu dan menyambungkan silaturrahim dengan orang-orang yang memutuskan."

Kelebihan Zikir Al-'Afuwwu'
  • Akan dibuka pintu redha Tuhan dan cenderung menyukai akhlak yang baik.
  • Allah juga memberinya rasa aman dari perkara-perkara yang ditakutinya, lebih-lebih lagi apabila ia mengiringi nama Allah al-'Afuwwu' dan al-Ghafur.
  • Apabila kita sentiasa berzikir dengan 'Al-'Afuwwu akan menyedarkan diri kita terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Dengan ini akan tercetus di dalam hati rasa sesal dan berazam untuk memperbaiki diri.
Posted by Welcome To My Blog at 20:42 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)
 Online Users

Followers

Blog Archive

  • ▼  2012 (66)
    • ▼  December (4)
      • WASIAT RASULULLAH KE 21 - Tidak Berpaling Ketika S...
      • WASIAT RASULULLAH KE 20 - Keutamaan Dua Rakaat Sol...
      • WASIAT RASULULLAH KE 19 - Tinggalkan Maksiat Teguh...
      • WASIAT RASULULLAH KE 18 Akhlak Terhadap Diri Sendiri
    • ►  November (6)
    • ►  October (3)
    • ►  September (3)
    • ►  August (1)
    • ►  July (5)
    • ►  June (10)
    • ►  May (18)
    • ►  April (16)
Cuteki greetings

Travel theme. Theme images by piskunov. Powered by Blogger.