-->

Terapi Jiwa Dan Hati

Daripada 'Abu Darda' ra ; bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (akhirat) daripada budi pekerti yang mulia." (Riwayat Abu Daud dan At - Tirmizi)

Thursday, 31 May 2012

KENAL ALLAH - Al-'Afuwwu: Maha Pemaaf


Adik-adik, kali ini Kenal Allah ingin berkongsi mengenai nama Allah SWT yang ke-82 iaitu 'Al-'Afuwwu yang bermaksud Tuhan Yang Maha Pemaaf. Kita sebagai hamba tentunya tidak lepas dari melakukan kesalahan. Namun, sekiranya kita bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT yang bersifat 'Pemaaf', nescaya akan diampunkan, kecuali dosa-dosa syirik dan juga sesama manusia.
Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT itu bersifat Maha Pemaaf. Jika ada kawan kita yang bersalah terhadap kita hendaklah kita memaafkan dan sebaliknya jika yang bersalah dengan orang lain maka bersegera minta maaf. Kita jangan malu untuk mengucapkan maaf dan mengakui salah. Ini kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa sesama manusia kecuali manusia sendiri yang menyelesaikannya. Jika tidak, dosa sesama manusia akan menjadi halangan yang besar di akhirat untuk mendapat keampunan Allah SWT.
Dalam sebuah Hadis, Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata"Mintalah kepada Allah kemaafan, kesihatan dan jiwa yang suka memaafkan kesalahan orang lain, kerana yang pertama (kemaafan) akan berperanan sebagai penghapus dosa. Kedua, (kesihatan), ertinya Allah akan menyembuhkanmu dari penyakit atau menyelamatkanmu dari bahaya. Sedangkan yang ketiga, agar engkau menjadi orang yang pemaaf dan mereka juga akan memaafkanmu. Atau dengan kata lain, agar Allah akan menghindarkanmu dari menyakiti orang lain, sekaligus akan menghindarkanmu dri sikap jahat orang lain."

Etika Perhubungan
Berikut adalah etika perhubungan harian yang diriwayatkan oleh Jabir bin Salim dari Rasulullah SAW:
  • Menjaga ketakwaan kepada Allah dan jangan sekali-kali menghina atau memperkecilkan suatu kebaikan walau sekecil mana sekalipun.
  • Ketika bertemu dengan saudara, hendaklah berusaha untuk tersenyum.
  • Jangan sekali-kali menolak untuk memberi minum orang yang sedang kehausan.
  • Ketika seseorang menghinamu kerana beberapa hal yang tidak diketahui, maka janganlah engkau balas menghunanya dengan sesuatu yang kamu ketahui kerana Allah akan memberikan pahala bagi kesabaranmu terhadap sikapnya yang telah menghinanya.
  • Jangan sekali-kali menghina sesuatu yang telah diberikan Allah kepadamu.
Jadi sempena bulan Rejab yang mulia ini, ambil peluang untuk menziarahi dan kunjung-mengunjung. Pada kesempatan ini juga, apa kata kita semua tidak kira tua, muda sama-sama menghulurkan tangan memohon maaf agar silaturrahim atau persaudaraan yang terputus dapat dijalin semula. Seperti  yang diperkatakan oleh Jibril sewaktu menemui Nabi SAW:"Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah menyuruhmu untuk memaafkan orang-orang yang menganiayamu, memberi atau melakukan kebaikan bagi orang yang enggan melakukan kebaikan bagimu dan menyambungkan silaturrahim dengan orang-orang yang memutuskan."

Kelebihan Zikir Al-'Afuwwu'
  • Akan dibuka pintu redha Tuhan dan cenderung menyukai akhlak yang baik.
  • Allah juga memberinya rasa aman dari perkara-perkara yang ditakutinya, lebih-lebih lagi apabila ia mengiringi nama Allah al-'Afuwwu' dan al-Ghafur.
  • Apabila kita sentiasa berzikir dengan 'Al-'Afuwwu akan menyedarkan diri kita terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Dengan ini akan tercetus di dalam hati rasa sesal dan berazam untuk memperbaiki diri.
Posted by Welcome To My Blog at 20:42 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 30 May 2012

TIRU NABI - Sembahyang Untuk Ibu Bapa


Nabi Muhammad SAW gemar mengadakan majlis ilmu. Di dalam majlis itu, banyaklah ilmu pengetahuan serta tunjuk ajar tentang agama Islam yang Nabi sampaikan. Tidak hanya menyampaikan ilmu dan nasihat, Nabi SAW turut memberikan kefahaman tentang masalah-masalah dalam agama Islam.
Dalam satu majlis ilmu, baginda memberitahu tentang bakti anak-anak terhadap ke dua ibu bapa. Betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu dan bapa. Sebab itu, jangan sekali-kali menyakiti hati mereka atau menyusahkan mereka. Berikan khidmat yang terbaik kepada mereka.
Setelah selesai majlis, sebelum bersurai, Nabi SAW memberi peluang kepada hadirin jika ada yang hendak bertanyakan masalah. Mungkin ada yang kurang faham tentang apa yang telah baginda sampaikan tadi. Atau bertanya perkara lain yang tidak bersangkutan dengan majlis itu.
Seorang sahabat seraya bertanya, "Wahai Rasulullah, aku telah berbuat baik kepada kedua ibu bapaku mengikut kemampuan yang dapat aku lakukan.  Aku ingin tahu, apakah yang boleh aku buat sesudah mereka tidak ada lagi. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucurkan rahmat-Nya ke atas ke atas mereka."
Nabi SAW berasa senang sekali mendengar soalan begitu. Sambil membetulkan duduknya, Nabi menjawab. "Ya, kamu boleh sembahyang untuk ke dua-dua ibu bapa mu dan meminta keampunan kepada Allah untuk mereka, menunaikan wasiat mereka dan selalulah menghubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang dahulunya mereka lakukan. Dan juga memuliakan kawan-kawan mereka."
"Sembahyang untuk ibubapa? Macam mana tu, wahai Rasulullah?" terdengar suara lagi bertanya.
Nabi pun memahamkan mereka - sembahyang untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia maksudnya mendoakan mereka semoga Allah memberikan rahmat, ampunan dan tempat yang mulia kepada mereka di alam barzakh dan di akhirat kelak.
Pesanan Nabi SAW itu bertepatan sekali dengan sepotong hadis baginda;"Apabila seseorang manusia telah meninggal dunia, maka putuslah (terhentilah) segala amalannya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan doa anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Demikianlah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Menyuruh kita berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibubapa, walaupun setelah mereka meninggal dunia. Lebih-lebih lagilah kalau kedua-dua mereka masih hidup. Nabi sendiripun menziarahi makam ibu bapanya dan berdoa untuk mereka.
Posted by Welcome To My Blog at 03:08 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 26 May 2012

KENAL ALLAH - Baik Sangka Kepada Allah


Kebaikan bersangka baik ialah bukan sahaja diberi pahala oleh Allah SWT, kita boleh mengawal sifat mazmumah seperti marah, benci dan seumpamanya. Kita tidak mudah melatah atau bertindak tanpa berfikir panjang. Kita boleh menerima takdir Allah dengan senang hati.
Misalnya apabila berdepan dengan kawan yang tidak menepati janji, bersangka baiklah mungkin kawan itu terlupa. Mungkin dia ada urusan lain.yang lebih mustahak atau kes kecemasan. Mungkin juga dia tidak sihat.
Dengan Allah SWT pun begitu jugalah. Kita kena bersangka baik kepada-Nya. Misalnya apabila ditimpa musibah, rasakan bahawa Allah mahu mengampuni dosa-dosa kita. Allah mahu tingkatkan iman serta kesabaran kita. Dia mahu beri keinsafan kepada kita. Jangan sekali-kali bersangka buruk kepada Allah SWT.
Berdosa bersangka buruk. Nanti Allah akan nyata apa yang kita sangka itu. Katakanlah kita sudah gagal beberapa kali dalam peperiksaan. Terdetik di dalam hati kita, agaknya memang Allah sudah takdirkan aku begini. Aku memang tidaka ada harapan untuk berjaya. Itu merupakan sangka-sangka yang tidak baik kepada Allah SWT. Tanpa kita sedari, sebenarnya sangka-sangka kita itu menjadi doa atau permintaan kita sendiri.
Posted by Welcome To My Blog at 22:14 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 24 May 2012

KENAL ALLAH - Hanya Dia Yang Maha Gagah


Gagah ertinya kuat, kuat, perkasa, berani dan menang. Orang yang gagah ditakuti oleh orang yang lemah. Haiwan yang lemah menjadi mangsa haiwan yang gagah. Ayam misalnya, menjadi makanan ular sawa yang lebih kuat daripadanya.
Jika adik-adik seorang pelajar yang gagah, jangan sekali-kali tunjuk kuat dengan guru atau kawan-kawan. Tidak boleh gunakan keberanian untuk melawan guru-guru atau ibu bapa. Begitu juga menindas kawan yang lemah.
Kegagahan dan kekuatan yang dimiliki adalah anugerah Allah Yang Maha Gagah. Ia dipinjamkan untuk sementara sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Gunakan ia untuk membela diri jika diganggu dan untuk memberi pertolongan jika diminta.
 Allah adalah Yang Maha Perkasa. Dia dapat menakluki sesiapa sahaja. Dia berkuasa menjadikan alam semesta ini dan menghancurkannya menurut kemahuan-Nya. Allah telah menunjukkan sifat gagah perkasa-Nya dengan menimpakan azab ke atas kaum yang derhaka. Kaum Nabi Nuh yang ingkar mati ditenggelami banjir besar. Kaum Nabi Lut hancur binasa dimusnahkan gempa bumi dan pekikan guruh yang kuat. Dan banyak lagi peristiwa dasyat yang menimpa golongan yang ingkar kepada Allah.
Oleh sebab itu, sebagai hamba Allah yang lemah dan sangat mengharapkan-Nya, kita mestilah sentiasa membesarkan dan memuji Allah Yang Maha Gagah. Tanamkan rasa gerun dan takut kepada kemurkaan-Nya. Mudah-mudahan dapat membantu serta menyelamatkan kita daripada terlibat dengan amalan yang tidak baik dan berdosa.
Posted by Welcome To My Blog at 07:05 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, 21 May 2012

KENAL ALLAH - Mulailah Dengan Berbuat Kebaikan


Selalunya orang  yang menjadi pencetus kepada sesuatu perkara akan mencatat nama di dalam sejarah. Namun kita tidak boleh berbangga dengan mendahului atau menjadi orang yang pertama kerana ada kuasa yang menjadikannya, iaitu Allah Tuhan kita. Dialah permulaan segala-galanya. Dia bersifat Al-Awwal iaitu Maha Permulaan. Allah adalah permulaan segala yang ada di alam ini. Dialah yang sedia ada sebelum wujud sesuatu. Sebelum bumi dan langit ini diciptakan, Allah telah sedia wujud terlebih dahulu mendahului segala yang wujud.
 Permulaan Allah tidak didahului dengan kejadiaan dan permulaan-Nya tiada akhirnya. Tiada yang menjadikan-Nya dan tiada yang merupakan-Nya. Sebaliknya Allah sendiri yang menjadikan segala permulaan dan menentukan setiap permulaan kejadian dan ciptaan-Nya.
Untuk mencontohi sifat Allah yang terkandung di dalam nama Al-Awwal, kita perlu menjadi orang yang pertama sekali mendahului dalam sebarang kerja kebaikan. Kita perlu menjadi orang yang mula-mula mengutamakan hak-hak Allah.
Kita hendaklah menjadi orang yang mula-mula beribadah. Misalnya, sembahyang awal waktu. Kita juga perlu mendahului sedekah dan sebagainya.
Semoga menjadi orang yang mengutamakan ketaatan dan kebaikan, kita akan menjadi orang yang awal mendapat balasan kebaikan dan mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.

FAKTA
Bahagianya Hidup Di Syurga
Bahagia macam mana pun kita semasa hidup di dunia, sekali-sekala kita akan berasa sedih. Bahagia dan derita pasti silih berganti. Syurgalah satu-satunya tempat di mana kita akan merasa bahagia berpanjangan.
Di syurga , penghuni-penghuninya akan diberi kesenangan walaupun sewaktu di dunia mereka hidup susah. Sedikitpun mereka tidak akan susah hati, sedih atau takut.
Mereka juga tidak megalami keadaan tidak selesa, apa lagi sakit. Selepas makan dan minum, mereka tidak akan berasa sakit perut. Tidak perlu membuang air besar dan air kecil.
Suasana di syurga akan membuatkan hati kita sentiasa gembira, tenang dan seronok, sambil setiap penghuni-penghuninya memuji Allah. Setiap kali mereka bertemu, mereka akan mengucpkan selamat sejahtera di antara satu sama lain. Mereka bersyukur dengan nikmat Allah itu sambil berkata; "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita daripada kami. Sesungguhnya Tuhan kami  itu pengampun dan pembalas amalan yang baik."
Posted by Welcome To My Blog at 07:02 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 20 May 2012

KENAL ALLAH - Allah Suka Tunaikan Permintaan


Terlalu banyak perkara yang kita perlukan untuk membina kehidupan yang baik dan cemerlang. Apabila berhadapan dengan sebarang masalah atau kesukaran, mengadulah kepada Allah. Walaupun Allah sudah sedia tahu apa saja masalah kita, tetapi kita tetap perlu mengadukan kepada-Nya. Allah suka mendengar pengaduan daripada hamba-hamba-Nya . Mengadu sambil meminta daripada-Nya.
Kalau kita meminta pertolongan daripada manusia, kadang-kadang ada ketikanya permintaan itu tidak dapat ditunaikan. Tetapi Allah SWT tidak begitu. Cuma, ditunaikan permintaan kita itu bergantung sebanyak mana kita mentaati perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Jika kita masih cuai dan selalu mengabaikan perintah Allah, tidak mustahillah permintaan kita sukar terkabul.
Namun begitu, Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Dengan Rahmat-Nya Yang Maha Luas, Dia akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya yang banyak berdoa kepada-Nya. Dalam 99 nama-nama Allah yang mulia, ada nama 'Al-Mujib' iaitu Maha Mengabulkan. Apatah lagi permintaan dan permohonan daripada orang-orang beriman yang taat dan patuh perintah-Nya.
Kerana itu, banyakkan berdoa kepada-Nya. Berdoalah apa saja, asalkan jangan berdoa yang merosakkan diri atau orang lain. Misalnya kita menghadap masalah kewangan. Kita boleh mengadu dan berdoa meminta pertolongan daripada Allah. Cara Allah membantu, mungkin didatangkan dengan seorang kawan dan memberi pinjaman wangnya kepada kita. Atau mungkin kita diberi kemudahan berniaga kecil-kecilan.
Berdoa meminta ampun terhadap dosa-dosa kita, lebih disukai Allah. Hidup kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Allah tidak mahu kita mengekalkan dosa-dosa itu. Sebab itulah Dia menyuruh kita berdoa meminta keampunan dan bertaubat. Berdoa untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan di akhirat. Selain berdoa untuk diri kita sendiri, kita juga berdoa untuk ke dua ibubapa kita, kawan-kawan atau siapa saja yang kita mahu.
Berdoalah dan mintalah apa saja. Minta diampunkan dosa, diselamatkan daripada api neraka, diberi ilmu yang bermanfaat, dimurahkan rezeki, dimudahkan kerja, dipelihara daripada bahaya dan sebaginya. Cuma masanya saja kita tidak tahu. Mungkin cepat dan mungkin juga lambat. Mungkin juga Allah simpan (tangguhkan) untuk ditunaikan-Nya di hari akhirat nanti.
Sambil itu, latih-latihlah diri kita menjadi seorang yang suka menunaikan permintaan orang lain, kerana kita tentu tidak mahu permintan kita tidak diperkenankan Allah. Ditakuti jika kita kedekut hendak menolong orang lain, Allah juga akan bersikap kedekut kepada kita. Hal ini sangat berbahaya lagi menakutkan.
Bermurah hatilah dengan kawan-kawan. Orang yang pemurah dekat dengan Allah, dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka. Sedangkan orang kedekut pula jauh daripada manusia, jauh daripada Allah, jauh daripada syurga dan dekat dengan neraka.
Posted by Welcome To My Blog at 07:27 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 19 May 2012

KENAL ALLAH - Kaya Allah Tidak Terbatas


Allah SWT menjadikan kehidupan manusia di muka bumi-Nya ini tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Sebab itulah ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Tujuannya supaya yang kaya membantu yang miskin. Yang kuat menolong yang lemah. Begitulah seterusnya.
Jika ditakdirkan Allah adik menjadi seorang yang kaya dan berharta, bantulah mereka yang tidak bernasib baik. Malah pertolongan itu boleh diberikan pada bila-bila masapun, tidak tunggu menjadi kaya dahulu. apa yang penting ialah keikhlasan hati kita menghulurkan bantuan tersebut.
Ikhlas itulah yang dinilai oleh Allah SWT untuk diberi ganjaran pahala yang besar. Allah tidak melihat pada banyak atau sedikit bantuan yang kita beri. Allah tidak lihat kita kaya atau miskin. Mana yang termampu, kadar itulah kita berikan. Kalau bukan wang ringgit, mungkin pakaian, makanan atau keperluan lain.
Jangan berkira-kira memberikan bantuan atau sedekah. Kerana apa yang kita miliki hakikatnya semua milik Allah. Dia pinjamkan kepada kita atas belas kasihan dan rahmat-Nya. Jika kita berlebihan, agih-agihkanlah kepada mereka yang memerlukan. mudah-mudah rezeki kita itu akan lebih diberkati.
jangan berkira-kira dalam memberikan sedekah atau bantuan. Sebab, ditakuti kelak Allah akan berkira-kira juga dengan kita. Allah Yang Maha Kaya memiliki segala-galanya. kalau Dia berkira-kira hendak memberikan setitis saja daripada lautan nikmat-Nya kepada kita, alangkah malangnya kita.
Kekayaan Allah SWT, Dia tidak berhajatkan bantuan sedikitpun. Segala isi langit dan bumi serta seluruh makhluk adalah kepunyaan-Nya. kaya seseorang manusia, dia tetap memerlukan pertolongan dan khidmat orang lain untuk membantu kehidupannya. Untuk mendapatkan makanan perlukan petani, nelayan, peniaga dan sebagainya.
Selain itu, kekayaan yang Allah kurniakan merupakan ujian yang harus dilalui dengan sebaik mungkin. Apakah diperolehi dengan jalan yang diredhai Allah SWT atau sebaliknya? Adakah dibelanjakan ke jalan yang dituntut oleh Allah atau sebaliknya? Jika semuanya bertepatan dengan kehendak Allah, orang kaya berkenaan telah memperoleh markah yang tinggi di sisi Allah SWT sepanjang menduduki ujian itu.
Tetapi jika terjadi di sebaliknya, kekayaan itu pula akan mengutuk dan melaknat si pemiliknya. Dialah orang yang rugi kerana lupa bahawa kekayaan yang dimiliki untuk sementara saja. Bila-bila masa saja Allah boleh tarik sehingga perniagaan yang sedang berkembang maju pun boleh menjadi rugi dan bankrap.
Oleh itu, bersyukurlah kalau dikurniakan dengan kekayaan. jangan bakhil, sombong dan bermegh-megah. Allah yang Maha Kaya sangat kasih kepada makhluk-Nya yang pemurah, berkasih-sayang dan sentiasa tolong menolong antara satu sama lain.
Posted by Welcome To My Blog at 06:38 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 18 May 2012

KENAL ALLAH - Al -Halim: Penyantun


Selamat bercuti di hujung minggu adik-adik sekalian. Pasti banyak aktiviti bermanfaat yang telah dirancang bersama ibu bapa seperti balik kampung, atau berkelah. Walau apapun aktiviti yang adik-adik lakukan, jaga akhlak dan kesihatan. Selepas Subuh jangan banyak tidur hingga tinggi hari nanti kita akan jadi pemalas. Apabila malas, kita akan selalu bercakap kasar. Ibu bapa tidak suka kita bercakap kasar. Tuhan kita, Allah SWT sangat benci kepada orang yang bercakap kasar.
Tahukah adik-adik kenapa Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kasar? Jawapannya ialah kerana Allah SWT itu bersifat penyantun. Sifat ini disebut Al-Halim. Al-Halim sangat sayang kepada orang yang bersifat lemah-lembut.
Siapakah manusia yang paling penyantun dan lemah-lembut di dunia ini? Dia adalah Nabi Muhammad SAW, Rasul akhir zaman. Rasulullah sentiasa bercakap dengan lemah-lembut dengan semua umatnya. Baginda tidak mudah marah. Rasulullah tidak pernah maki hamun orang dengan kata-kata kesat. Sebaliknya Baginda suka tersenyum dan sangat sabar dengan orang yang membencinya. Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Al-Halim, Tuhan yang memiliki sifat lemah-lembut agar musuh-musuhnya diberi petunjuk dan memeluk Islam. Akhirnya ramai orang Arab memeluk Islam.
Kepada adik-adik yang dikasihi sekalian, Al-Halim memerintahkan kita supaya bersopan-santun dengan ibu bapa. Jangan melawan cakap ibu bapa. Apabila bercakap dengan mereka, gunakanlah bahasa yang baik dengan nada yang lemah-lembut. Apabila ibu bapa meminta tolong untuk mengemas rumah, membasuh pinggan atau menyapu sampah, jawablah dengan lemah-lembut.
Apabila ibu dan ayah memanggil, kita datang dekat dengan mereka. Jawab soalan yang ditanya mereka dengan sopan-santun. Jangan bercakap kasar atau terjerit-jerit dari jauh. Jangan sekali-kali menengking mereka, kerana dalam Al-Quran Allah telah memberitahu jika seseorang anak itu berkata,"Ah! kepada ibu bapa mereka, maka hukumnya berdosa. Allah sangat benci kepada anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa. Orang yang derhaka akan masuk neraka.
Adik-adik yang dikasihi sekalian, Al-Halim sangat suka apabila kita dapat mengamalkan akhlak baik dengan semua orang.
Jika ada kawan-kawan yang bercakap kasar, maka doakanlah untuknya,"Ya Halim! Jadikanlah hamba-Mu ini berakhlak baik. Jadikanlah kawan-kawanku juga berakhlak baik. Semoga kami menjadi anak yang soleh."
Posted by Welcome To My Blog at 04:40 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 15 May 2012

KENAL ALLAH - Kebaikan Allah Dalam Perintah-Nya.


Mencintai Allah SWT
Kita dituntut mencintai Allah SWT lebih daripada yang lain. Allah sangat baik dan sangat sayang kepada kita. Jadi, kita mesti mentaati segala perintah-Nya. Ada perintah berbentuk suruhan dan ada pula perintah berbentuk larangan atau tegahan.

Mentaati Perintah-Nya.
Segala perintah suruhan hendaklah kita laksanakan. Manakala perintah tegah hendaklah kita tinggalkan. Kita sudah tahu apa yang Allah suruh iaitu perkara-perkara kebaikan. Perkara yang Allah tegah pula ialah yang berbentuk dan bersifat kejahatan/kemungkaran.

Rahmat Kasih Sayang Allah
Allah SWT menyuruh kita mentaati perintah-Nya kerana Dia tidak mahu kita menerima nasib yang buruk di akhirat nanti. Allah melimpahkan Rahmat dan kebaikan-Nya dari dunia sampai ke akhirat. Orang yang mentaati Allah mudahlah beroleh rahmat dan kasih sayang-Nya.

Anugerah Di Sebalik Perintah-Nya
Jadi, perintah yang Allah beri kepada kita bukan sebagai perintah semata-mata. Sebaliknya merupakan anugerah yang tidak ternilai. Dengan mentaati perintah-perintah Allah, kita akan beroleh keselamatan di dunia dan di akhirat. Allah tidak mengambil sedikit pun manfaat daripada kebaikan dan segala pemberian-Nya.


Posted by Welcome To My Blog at 04:18 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 12 May 2012

TUHAN KITA - Pembuka Segala 'Pintu'


Allah bersifat dengan Al-Fattah, ertinya Yang Maha Pembuka. Dialah yang membuka pintu hati seseorang untuk dilimpahkan petunjuk iaitu kesedaran, dorongan serta bimbingan dalam mentaati-Nya. Mudah mengerjakan suruhan-Nya dan dapat pula menjauhi larangan-Nya.
   Allah yang membuka fikiran yang tertutup atau susah menerima pelajaran. Oleh sebab itu, sebelum belajar kita disuruh berdoa minta supaya hati dan minda mudah menerima apa yang diajarkan. Kita tidak mampu memaksa hati menerima ilmu, melainkan dengan kehendak Allah jua.


Ilmu dan petunjuk sifatnya sangat indah dan suci. Ia hanya masuk ke dalam hati yang bersih dan suci juga. Berusahalah bersungguh-sungguh membersihkan hati kita daripada sifat-sifat tercela. Di samping berusaha mintalah pertolongan Allah agar dimudahkan kita membuang perangai dan sifat-sifat buruk daripada diri kita.

Membuka Jalan Menyelesaikan Masalah.
Apabila fikiran buntu kerana menghadapi sesuatu masalah yang berat pula, mengadulah kepada Allah Al-Fattah. Minta agar dibukakan pintu hati dan fikiran mencari jalan keluar. Allah Maha Pembuka. Dia yang membuka minda  yang 'tersekat' dek belenggu masalah.

Allah membuka dan mencurahkan rahmat kepada makhluk-Nya. Allah Al- Fattah ertinya Dialah Penyelesai segala masalah rintangan. Allah Yang Maha Pembuka menghuraikan masalah yang dihadapi hamba-hamba-Nya.
Harus diingat bahawa orang yang tidak berbesar diri lebih mudah mendapat 'pembukaan' berupa petunjuk daripada Allah SWT. Allah berfirman, bermaksud;"Aku akan memalingkan daripada ayat-ayat-Ku orang-orang yang takabur dan di muka bumi tanpa alasan yang benar."(Surah Al-Araf:146)
Allah Al-Fattah membuka pintu rezeki- manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Allah membuka pintu rezeki seseorang yang hidup melarat menjadikan hidupnya berkecukupan. Atau menjadi seorang yang hartawan.
Dalam bekerja dan berusaha, kita disuruh banyak berdoa kepada Allah SWT. Gigih dan tekun bekerja bukan syarat untuk mendapat kelapangan rezeki. Ia hanyalah jalan yang perlu ditempuh kerana rezeki seseorang tidak datang bergolek, perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Yakin Dengan Al-Fattah Allah
Apabila berasa terbeban, tertekan atau kecewa dengan masalah atau kegagalan, ingatlah bahawa hanya Allah SWT sahaja Pembuka segala'pintu' yang berkaitan dengan hidup kita. Dia yang mengatur dan menentukan segala-galanya. Banyakkan berdoa, minta petunjuk dan pertolongan-Nya.
Posted by Welcome To My Blog at 07:06 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 11 May 2012

MARI BERDOA -Doa Untuk Ibu Bapa


Kita wajib menghormati dan mentaati kedua ibu bapa. Jangan sekali-kali menyakiti hati mereka. Bukan saja dengan perbuatan, dengan perkataan 'uuh!' pun tidak boleh. Tak mungkin kita boleh membalas jasa pengorbanan serta kebaikan mereka. Oleh itu, selalulah berdoa untuk mereka:

Salmi suka menolong ibunya. Dia tidak menunggu ibunya meminta, sebaliknya dia sendiri yang membantu tanpa disuruh. Salmi kasihan melihat ibunya yang terpaksa bekerja untuk meringankan beban ayah menanggung keluarga. Salmi tidak pernah lupa berdoa:
"Ya Allah! Berilah rezeki kepada mereka berdua rezeki yang halal, yang banyak dan yang diberkati."

Ayah Azahari baru saja meninggal dunia. Azahari tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan untuk arwah ayahnya. Ibu dan bapa yang sudah meninggal dunia sangat mengharapkan doa daripada anak-anak. Azahari juga rajin bersedekah. Dia meniatkan pahala sedekah itu untuk arwah ayahnya: Azahari berdoa;"Ya Allah! Sampaikanlah pahala bacaan ku kepada roh ayahku. Ya Allah! Ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia. Maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya. Lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya. Hapuskanlah kesalahannya dengan rahmat-Mu, Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih."

  • Jika berdoa untuk arwah ibu, tukarkan sebutan ayah kepada ibu ('ummi')
Posted by Welcome To My Blog at 19:45 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

TIRU NABI - Jangan Bercakap Kotor

Nabi Muhammad SAW melarang kita bercakap perkara yang kotor. Apatah lagi mencaci, mengherdik, memfitnah, mengejek atau mengata-ngata orang. Orang yang suka bercakap kotor (termasuk mencaci dan sebagainya) adalah orang yang memiliki budi pekerti yang rendah.


Marilah sama-sama kita belajar akhlak nabi Muhammad SAW mengenai perkara ini:


1. Nabi SAW melarang memaki orang-orang kafir yang terbunuh dalam Perang Badar. Kata Baginda;"Janganlah mereka dimaki-maki. Apa yang kamu kata akan sampai kepada mereka. Sebaliknya akan menyakitkan hati orang-orang yang masih hidup. Bercakap kotor adalah perbuatan yang rendah (hina)."


2. Nabi SAW memberi nasihat kepada seorang sahabat,"Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah. Jika ada seorang yang mencelamu dengan sesuatu yang ada padamu, maka janganlah engkau mencela dia dengan apa kamu tahu tentang dirinya.
. Biarlah dia yang menanggung dosa sedang  kamu beroleh pahala. Janganlah sekali-kali kamu mencaci-maki sesuatu."
3. Selepas Peperangan Uhud, ada Sahabat meminta Nabi SAW mendoakan kebinasaan terhadap puak Quraisy. Tetapi Nabi menolak,"Aku diutus olah Allah sebagai pembawa rahmat, bukan melaknat. Ya Allah! Ampunilh kaumku kerana mereka belum mengerti." Sekeras-keras doa Nabi terhadap musuh adalah semasa Peperangan Khandaq. "Ya Allah! Yang menurunkan kitab. Yang cepat menghisab. Ya Allah! Hancurkanlah kekuatan musuh dan goncangkanlah hati mereka."


4. "Jauhilah kata-kata yang kotor. Sesungguhnya Allah tidak suka kata-kata yang kotor dan tidak suka kepada orang yang bercakap kotor."Kata Nabi lagi,"Orang mukmin bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka bercakap keji dan suka yang kotor."


INGATLAH pesan bijak pandai: Berfikir sebelum bercakap. Jangan bercakap apa yang terfikir.
Posted by Welcome To My Blog at 06:45 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 10 May 2012

TIRU NABI - Minum Cara Nabi

Amin berlari-lari terus masuk ke dalam rumah. Tekaknya begitu haus. Dia terus membuka peti sejuk. Botol air sejuk diambil lalu dihala ke muncung mulut. Guk! Guk! Dia meneguk air sejuk itu tanpa henti."Ah!Leganya,"kata Amin.
   Adik-adik begitukah adab kita ketika minum air? Agama Islam agama yang sangat indah. Ia mengajar kita berbudi bahasa dan mengasuh kita memiliki akhlak yang mulia.
   Nabi kita mengajar kita adab-adab ketika hendak minum.


1. Minum Beberapa Kali Teguk
Rasulullah SAW tidak menggalakkan seseorang menghabiskan minumannya dengan satu teguk. Hadis diriwayatkan Tirmizi, baginda bersabda,"Jangan kamu habiskan minuman dengan satu teguk seperti unta tetapi minum dengan dua ataupun tiga teguk. Sebut Bismillah apabila kamu hendak mulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai."


2. Ketika Minum Juga, makhruh hukumnya jika kita menghembuskan nafas di dalam gelas atau bekas minuman.
Kita dianjurkan menghembuskan nafas tiga kali di luar bekas minuman. Dalam hadis dari Bukhari dan Muslim, Anas bin Malik meriwayatkan,"Rasulullah SAW minum dengan tiga nafas."


3. Baca Doa sebelum dan selepas minum seperti pesan baginda dalam hadis:"Sebut Bismillah apabila kamu hendak memulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai."(Riwayat Tarmizi)
Doa selepas minum,"Segala puji bagi Allah yang menjadikannya tawar dan sedap dengat rahmat kasih sayang-Nya, dan tidak menjadikannya masin kerana dosa-dosa kami."


4. Menjaga Kebersihan
Agama Islam agama yang memberi penekanan tentang aspek kebersihan. Makanan dan minuman perlu ditutup agar tidak terdedah kepada lalat dan serangga. Islam juga melarang kita membiarkan bekas air, tangki kita menyimpan air dalam keadaan tidak tertutup kerana akan terdedah pada kotoran.
   Sabda Nabi SAW:"Kunci pintu rumahnmu, tutup simpan airmu, balikkan bekas-bekas air ataupun tutupkannya dengan sesuatu, dan padamkan pelita sebelum tidur pada waktu malam."


TAHUKAH ADIK-ADIK, APAKAH MINUMAN KEGEMARAN RASULULLAH?
Rasulullah SAW gemar minum susu. Pernah suatu ketika sahabat Nabi iaitu, Abu Bakar as-Siddiq berjalan bersama Rasulullah SAW ketika mereka keluar dari Kota Makkah menuju Madinah. Ketika itu Rasulullah SAW benar-benar berasa haus. Lalu Abu Bakar pun memerahkan sedikit susu untuk baginda. Susu itu kemudian dibawa kepada Nabi dan baginda meminumnya dengan gembira.
Posted by Welcome To My Blog at 05:45 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 9 May 2012

TIRU NABI - Mulia Merendah Diri

SIFAT TAWADUK atau rendah diri itu letakkan di hati. Hati yang tawaduk ialah hati yang bebas daripada sifat sombong, ego, takabur, bongkak dan bangga diri. Merendah diri bukan dengan erti meremehkan harga diri hingga menyebabkan orang lain menghinannya dan memperlecehkannya. Nabi Muhammad SAW menunjukkan bagaimana bersifat tawaduk. Contohnya seperti:

  • Berhenti rehat dalam satu perjalanan jauh bersama para Sahabat. Nabi Muhammad SAW menyuruh memasak daging kambing. Dibahagi-bahagikan tugas mengikut keperluan, lalu Nabi memeilih tugas mencari kayu api. Para Sahabat menegah lalu baginda menjawab:"Aku tidak mahu membezakan diriku dengan kamu semua kerana Allah tidak menyukai hamba-Nya yang berbuat begitu."
  • Nabi SAW turut serta bersama-sama kaum Muslimin bertungkus-lumus menggali parit sebagai benteng pertahanan menghadapi gabungan tentera musuh yang datang untuk menyerang Madinah.
  • Apabila bertemu kanak-kanak, Nabi SAW mengucapkan salam sambil mengangkat tangan sebagai tanda penghormatan. Kadang-kadang Nabi mengajak mereka menunggang kenderaan bersamanya.
  • "Jangan kamu berdiri ketika menyambut kedatanganku," pesan Nabi SAW kepada para Sahabat.
  • Pada hari penaklukan kota Makkah, Nabi SAW bersama sejumlah besar tentera Muslimin berarak masuk ke makkah dengan penuh rasa syukur dan rendah diri. Nabi menundukkan kepalanya sambil mulutnya tak henti-henti melafazkan pujian ke hadrat Allah SWT.
  • Seorang lelaki menghadap Nabi SAW dalam keadaan takut. Nabi menyedari hal itu seraya berkata,"Janganlah kamu takut, bertenanglah. Aku bukanlah seorang raja. Sesungguhnya aku hanya putera seorang ibu daripada kaum Quraisy yang biasa makan daging kering."
  • Seorang ibu tua dalam perjalanan pulang dari pasar sambil membawa barnag-barang yang banyak. Tiba-tiba seorang lelaki menghampirinya lalu menegur, "Mak Cik, boleh saya tolong bawakan barang-barang ini?" Dengan besar hati mak cik itu menjawab,"Boleh. Silakanlah."
   Sampai tempat yang dituju, bertanyalah ibu tadi, "Siapa namamu, wahai anak muda yang berhati mulia?" Lelaki itu nampak keberatan untuk memperkenalkan dirinya. Tetapi dia tidak tergamak menghampakan permintaan orang. lantas dia menjawab,"Saya Muhammad, Pesuruh Allah."
  • "Rasulullah juga manusia biasa. Beliau menampal sendiri bajunya yang koyak. Beliau menjahit sendiri kasutnya. Beliau perah sendiri susu kambingnya. Beliau timba air di perigi dan beliau membuat pelbagai kerja yang dibuat oleh orang lain," kata Saiyidina Aisyah r.h.a., menjawab pertanyaan seseorang.
  • Di dalam majlis, Nabi s.a.w. lebih suka duduk di bahagian sudut. Tidak pula baginda melanggar bahu orang lain yang sedang duduk untuk sampai ke tempat duduknya itu atau untuk ke depn. Kata Nabi SAW, "Aku duduk sebagaimana seorang hamba layak duduk."
  • Nabi SAW berasa takut apabila ditanya oleh Saiyidatina Aisyah, "Kenapa begini sekali tuan bersusah-susah beribadah? Sampai bengkak-bengkak kaki. Bukankah tuan telah dijamin selamat di akhirat dan sudah disediakan syurga yang paling tinggi untuk tuan." Lalu Nabi menjawab;"Terpulanglah kepada Tuhan untuk berbuat apa saja kepadaku. Namun aku sebagai hamba-Nya yang hina dan lemah segalanya, amat patut mengemis dan menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhanku."
Posted by Welcome To My Blog at 03:01 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, 7 May 2012

TIRU NABI - Tidur Cara Rasulullah SAW



Tahukah adik-adik, seseorang yang berumur 60 tahun akan menghabiskan masa lebih kurang 20 tahun untuk tidur. Sekiranya dia tidur mengikut sunah Rasulullah SAW, maka tidurnya akan jadi ibadah. Ganjaran Allah SWT untuk orang yang mengamalkan sunah sangat besar. Dalam tidur sendiri ada banyak sunah. Kali ini, kakak ingin mengajak adik-adik untuk mempelajari amalan tidur mengikut sunah Rasulullah.




1.Sunah Nabi SAW Sebelum Tidur

Mengikhlaskan niat.

Tujuannya adalah memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit nanti.




Tidur Dalam Keadaan Bersuci

Sebaik-baiknya, ambil wuduk sebelum tidur dan lakukan solat sunat Taubat dua rakaat "Apabila engkau hendak mendatangi pembaringan(tidur), maka hendaklah berwuduk terlebih dahulu sebagaimana wudukmu untuk melakukan solat."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)




Memaafkanlah

Maafkan semua kesalahan manusia pada kita dan halalkan semua hutang-piutang sebelum tidur.




Niat Untuk Bangun Tahajud

Sekiranya tidak terjaga, Allah SWT akan mengira seolah-olah kita bertahajud sepanjang malam.




Baca Surah Empat Qul

Bacalah Surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Khafirun. Kemudian tiupkan ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir dan niat jahat manusia. Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi SAW sebelum tidur. Menurut Ummul Mukminin Aisyah r.a.:"Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, baginda akan menghimpunkan ke dua-dua tapak telapak tangannya, lalu meniup ke dua-duanya dan dibaca surah Al-Ikhlas, Al-falaq dan An-Nas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. baginda melakukannya sebanyak tiga kali."(Riwayat at-Tirmizi)




Mengimbas Tempat Pembaringan

atau tempat tidur dengan hujung kain dan mengucapkan "Basmalah'(Riwayat at-Tirmizi)




Mengiringkan Badan ke kanan

dan tapak tangan di bawah pipi."berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)




Tidur Pada Awal malam

"Baginda SAW tidur pada awal malam dan menghidupkan akhir malam."




2. Sunah Nabi SAW Selepas Tidur


Berdoa ketika bangun tidur, Rasulullah SAW, apabila bangun tidur baginda berdoa, "Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami mati dan kepada-Nya kami kembali."(Riwayat Muslim)
Mengusap wajah. "Maka bangunlah Rasulullah SAW dari tidurnya kemudian duduk sambil mengusap wajah dengan tangannya." (Riwayat Muslim)
Beristinsyaq, beristintsaar dan bersiwak ketika bangun tidur. Beristinsyaq dan beristintsaar adalah menghirup kemudian mengeluarkan atau menyemburkan kembali air dari hidung. "Apabila salah seorang di antara kalian bangun dari tidurnya, maka beristintsaarlah tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di rongga hidungnya."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Perkara Yang Dilarang Oleh Rasulullah

Elakkan tidur dengan cara menghalakan kaki ke kiblat. Ini adalah kedudukan orang yang telah mati.
Elakkan tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat oleh orang ramai.
Elakkan tidur sewaktu kekenyangan
Elakkan tidur secara meniarap, terutamanya lelaki, "Sesungguhnya posisi tidur tengkurap itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah." (Riwayat Abu Dawud)
4. Waktu Tidak Dibenarkan Tidur
Rasulullah SAW turut menegaskan waktu-waktu yang tidak dibenarkan tidur. Antara waktu tersebut ialah:

Awal-awal pagi setelah terbit matahari
Selepas Waktu Asar
Tidur di bawah cahaya matahari walaupun terkena separuh daripada badan.
'HENDAKLAH KAMU TIDUR SEHINGGA HILANG RASA MENGANTUK."(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Baiklah adik-adik, demikianlah Rasulullah SAW menunaikan hak-hak tidur yang telah diberikan oleh SWT kepada baginda. Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka sepatutnya kita
......Selamat Beramal!....
Posted by Welcome To My Blog at 03:08 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 6 May 2012

KITA PERLU TAHU - Kenapa Perlu Ada Peraturan

Di mana saja kita berada, ada peraturan yang mesti kita patuhi. Ini termasuklah di sekolah, di rumah, di masjid, di jalan raya, di perpustakaan, di hospital, di pusat membeli-belah, di taman permainan dan sebagainya. Peraturan bukan untuk menyusahkan kita tetapi untuk kebaikan kita.


Kita perlu kepada peraturan kerana:


   Peraturan dapat mengingatkan kita supaya melakukan perkara-perkara yang sesuai di sesuatu tempat. Kita akan sedar bahawa perkara yang tidak boleh dibuat di tempat tertentu walaupun perkara itu boleh dilakukan di tempat lain. Misalnya, kita boleh belari-lari di taman permainan, tetapi mesti berjalan dengan tertib di dalam masjid.


   Peraturan dapat membantu kita mengawal tingkah laku kita. Kalau kita mempunyai sifat terburu-buru, kita akan cuba bertenang untuk mematuhi peraturan di tempat tertentu. Misalnya, kita akan menunggang basikal dengan tenang dan mematuhi peraturan lampu isyarat di jalan raya. Orang yang biasa buat jahat pula akan mengawal tingkah lakunya demi mematuhi peraturan.


   Dengan adanya peraturan, kehidupan kita akan lebih selesa dan tenang. Misalnya, dengan adanya peraturan di perpustakaan, kita akan dapat membaca dalam suasana tenang. Kita tidaka kan terganggu dengan suara perbualan.


   Peraturan juga menjadikan kita berdisiplin. Misalnya, jika peraturan sekolah menghendaki kita hadir di kelas pukul 7.30 pagi, kita akan bangkit dan bersiap lebih awal untuk sampai di sekolah tepat pada waktunya.
Jika sudah biasa, kita akan dapat mendisiplinkan diri bangkit awal setiap hari walaupun pada hari cuti.


   Adanya peraturan membolehkan kita mengekalkan satu-satu tabiat atau amalan yang baik. Misalnya, ramai ibu bapa di rumah menetapkan waktu lepas Maghrib sebagai waktu mengaji al-Quran. Jika kita patuh kepada peraturan yang ibu bapa tetapkan, tentu kita akan adapat mengekalkan amalan membaca al-Quran setiap hari. Apabila kita sudah dewasa nanti, amalan baik yang sudah sebati ini mampu kita kekalkan walaupun sudah tinggal berjauhan daripada ibu bapa.


   Peraturan juga memudahkan kita berurusan di tempat-tempat tertentu. Misalnya, peraturan yang terdapat di pejabat Pendaftaran Negara memudahkan kita berurusan untuk mendapatkan kad pengenalan. Kita akan tahu bila tibanya giliran kita untuk berurusan, di mana hendak mengambil gambar foto dan bila untuk datang semula bagi mendapatkan kad pengenalan yang sudah siap.


   Itulah antara sebab-sebab mengapa kita perlu kepada peraturan. Rasanya, bolehkah kita menjalani kehidupan yang baik, aman dan selesa tanpa adanya sebarang peraturan?
Posted by Welcome To My Blog at 04:36 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 4 May 2012

BELAJAR DENGAN ALAM Takunglah Ilmu Dengan Hati yang Merendah.

Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Aliran air tidak akan melawan graviti kecuali ia dipam atau disedut dengan menggunakan mesin atau alat-alat lain.. Itulah aturan Allah pada makhluk-Nya yang bernama air ini.
   Air selalunya turun sebagai hujan menuju ke gunung. Kemudian ia mengalir ke bawah sama ada sebagai sungai ataupun mata air. Begitulah terus-menerus selagi dunia ini belum kiamat.
    Apakah yang boleh kita pelajari daripada aliran air ini? Ya, adik-adik, aliran air samalah juga dengan aliran ilmu. Mengapa kita katakan begitu?
   Cuba tengok dan fikirkan, aliran air adalah dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Dan perhatikanlah tempat yang paling rendah. Tempat itulah yang paling banyak menakung air. Selalunya air akan bertakung di lembah, lurah dan tempat-tempat lain yang rendah. Sebaliknya, air tidak bertakung di tanah yang tinggi.
   Begitu jugalah ilmu. Sebenarnya, semua ilmu yang kita pelajari sama ada di rumah, di sekolah, di madrasah atau di mana saja, adalah berasal daripada Allah s.w.t. Allah adalah Zat Yang Maha Mengetahui. Satu daripada sifat kesempurnaan Allah ialah maha berilmu. Maksudnya, Allah paling berilmu.
  Tegasnya, apa yang ingin diperkatakan ialah ilmu berasal daripada Zat Yang Maha Tinggi iaitu Allah s.w.t. kemudiannya menurunkan ilmu-Nya melalui pelbagai cara. Ada yang diajar melalui para Rasul dan nabi, ada yang datang daripada para ulama, saintis, guru-guru dan sumber lain.


Umpama Aliran Ilmu
   Ya, di sinilah adik-adik perlu perhatikan... aliran ilmu umpama aliran air. Maksudnya, jika tanah yang rendah boleh menakung air yang banyak, begitulah juga hati yang merendah diri, hati itulah yang paling banyak menakung ilmu. Orang yang merendah diri , akan mendapat banyak ilmu berbanding orang yang sombong atau meninggi diri.
   Awas, adik-adik!Jangan jadi orang yang sombong. Nanti kita akan menjadi orang yang bodoh. Jika kita tidak berilmu, amalkan sifat merendah diri untuk belajar.
   Apabila mula belajar, belajarlah dengan rasa rendah diri atau tawaduk..Beri sepenuh perhatian, rajin bertanya, rela ditegur, rajin membuat apa yang diarahkan oleh guru atau pengajar.
   Siapa yang dapat melakukan semua itu, tandanya dia orang yang merendah diri.
   Orang yang merendah diri, Allah akan berikan padanya hati yang lapang, fikiran yang cerdas dan perasaan yang tenang untuk mendapat ilmu yang banyak. Jadi, apabila adik-adik mula belajar, ingatlah selalu pada aliran air. Air akan bertakung di tanah yang rendah. Ilmu akan bertakung di hati yang rendah.
Posted by Welcome To My Blog at 04:05 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 3 May 2012

TIRU NABI - Bertindak Dengan Adil

Satu lagi sifat Nabi Muhammad SAW yang sangat popular ialah sentiasa berlaku adil. Allah SWT mengingatkan di dalam Al Quran, "Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa." (Al-Maidah:8)
  •    Adil ialah memberikan sesuatu (hak) kepada orang yang berhak menerimanya. Memberi dengan tidak membeza-bezakan (tidak melebihkan orang tertentu) di antara orang-orang yang berhak itu.
  • Memberikan/membahagikan sesuatu sepadan dengan orang yang berhak menerima. Misalnya si abang dapat dua dan si adik dapat satu.
  • Bertindak/ menghukum orang yang bersalah sesuai dengan kesalahannya tanpa menyulitkan atau pilih kasih. 
   Antara contoh keadilah Nabi Muhammad SAW:
1. Dalam menyampaikan seruan dakwah, Nabi SAW tidak pernah membezakan sesiapa saja di kalangan kaum kerabat baginda mahupun orang lain.
2. Nabi suka memberi bantuan kepada ahli keluarga terdekat. Nabi menghormati Sayidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a., tetapi tidak pula mengutamalkan bapa saudaranya itu dalam soal pemberian. Siapa yang berhak mendapat lebih akan diberi lebih.
3. Nabi SAW membahagikan kasih sayang di antara isteri-isteri baginda dengan adil.
4. Saiyidina Fatimah r.a., pernah meminta seseorang pembamtu rumah. Tetapi Nabi menolak kerana para sahabat baginda di kalangan ahli suffah yang menghuni di serambi Masjid Nabi selalu berlapar disebabkan tidak ada makanan.
5. Nabi adil dalam menegakkan hukum, Kata baginda, sekiranya didapati anaknya mencuri, dia sendiri yang akan menjalankan hukum Allah terhadap anaknya itu.

   Mari kita lihat beberapa amalan Rasulullah SAW terhadap mereka yang tidak berlaku adil:
  • "Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang yang sebelum kamu ialah apabila seseorang daripada golongan atasan mencuri, mereka dibiarkan sahaja dan apabila golongan yang lemah mencuri dijatuhi hukuman."
  • "Seseorang yang diserahi Allah memimpin rakyat. Kemudian dia tidak memelihara mereka dengan nasihat, maka dia tidak akan mencium bau syurga."
  • "Seseorang muslim adalah saudara orang muslim, dia tidak boleh menganiaya dan tidak boleh mebiarkannya tanpa pertolongan, dan siapa yang memenuhi keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya."
Posted by Welcome To My Blog at 04:05 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)
 Online Users

Followers

Blog Archive

  • ▼  2012 (66)
    • ►  December (4)
    • ►  November (6)
    • ►  October (3)
    • ►  September (3)
    • ►  August (1)
    • ►  July (5)
    • ►  June (10)
    • ▼  May (18)
      • KENAL ALLAH - Al-'Afuwwu: Maha Pemaaf
      • TIRU NABI - Sembahyang Untuk Ibu Bapa
      • KENAL ALLAH - Baik Sangka Kepada Allah
      • KENAL ALLAH - Hanya Dia Yang Maha Gagah
      • KENAL ALLAH - Mulailah Dengan Berbuat Kebaikan
      • KENAL ALLAH - Allah Suka Tunaikan Permintaan
      • KENAL ALLAH - Kaya Allah Tidak Terbatas
      • KENAL ALLAH - Al -Halim: Penyantun
      • KENAL ALLAH - Kebaikan Allah Dalam Perintah-Nya.
      • TUHAN KITA - Pembuka Segala 'Pintu'
      • MARI BERDOA -Doa Untuk Ibu Bapa
      • TIRU NABI - Jangan Bercakap Kotor
      • TIRU NABI - Minum Cara Nabi
      • TIRU NABI - Mulia Merendah Diri
      • TIRU NABI - Tidur Cara Rasulullah SAW
      • KITA PERLU TAHU - Kenapa Perlu Ada Peraturan
      • BELAJAR DENGAN ALAM Takunglah Ilmu Dengan Hati ya...
      • TIRU NABI - Bertindak Dengan Adil
    • ►  April (16)
Cuteki greetings

Travel theme. Theme images by piskunov. Powered by Blogger.