-->

Terapi Jiwa Dan Hati

Daripada 'Abu Darda' ra ; bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (akhirat) daripada budi pekerti yang mulia." (Riwayat Abu Daud dan At - Tirmizi)

Monday, 30 April 2012

KITA PERLU TAHU - Kenapa Kita Perlu Bersyukur?

Syukur ertinya berterima kasih kepada Allah SWT. Dalam kehidupan seharian kita, terlalu banyak perkara yang perlu kita syukuri. Melahirkan rasa syukur ialah amalan terpuji yang perlu kita amalkan setiap hari. Itulah tandanya kita sentiasa mengingati dan berterima kasih kepada Allah atas nikmat yang diberi. Jika kita setiap masa kita mengingati Allah, insya-Allah, Dia akan menolong dan menambah nikmat dan rahmat untuk kita. Oleh itu, jadikan sifat mahmudah ini sebagai pakaian diri agar hidup mendapat keberkatan dan disenangi oleh semua orang. Sebab itulah kita perlu bersyukur.

"Terima Kasih Ibu"
Balik dari sekolah, sudah tentu kita berasa lapar dan dahaga. Apabila membuka tudung saji didapati tiada makanan untuk dimakan, sudah tentu kita berasa sangat kecewa. Oleh itu, ucapkan terima kasih kepad ibu yang telah menyediakan makanan, pakaian dan keperluan seharian kita sejak kita dilahirkan. Peruntukkan sedikit masa setiap masa untuk membantu ibu membuat kerja rumah dan meringankan kerja-kerjanya. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan seorang ibu yang penyayang.

"Terima kasih Ayah"
Anda berpeluang mengikuti rombongan sekolah untuk melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur. Ucapkan terima kasih kepada ayah kerana memberi peluang kepada kita menambah ilmu dan pengalaman. Sebagai tanda terima kasih kepadanya, berazamlah untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. Syukurlah kerana ayah begitu prihatin akan kita.

"Terima Kasih Cikgu"
Dulu kita tidak pandai membaca, menulis dan mengira. Berkat kesungguhan dan tunjuk ajar cikgu, akhirnya kita telah menjadi pelajar yang serba boleh. Sebagai tanda terima kasih kita kepada guru berilah perhatian ketika cikgu mengajr dan buatlah kerja yang diberi. Syukur, alhamdulillah.. kerana kita mempunyai guru yang berdedikasi.

"Terima Kasih Kakak dan Abang"
"Macam mana hendak jawab soalan ini?" Soalan ini sering kita tanya pada kakak dan abang sekiranya kita ada masalah dalam pelajaran. Walaupun mereka ada kerja sekolah untuk disiapkan, mereka tetap meluangkan sedikit masa untuk membantu kita. Oleh itu sentiasalah menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka dan elakkan pertengkaran mengenai perkara-perkara kecil. Syuku, ya Allah.. kerana mengurniakan abang dan kakak yang mengambil berat.

"Alhamdulillah..."
Pernahkah adik memenangi peraduan yang disertai? Atau lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan? Jika pernah, lahirkanlah kesyukuran kepada Allah. Ucapkanlah 'Alhamdulillah' kerana dengan takdirnya adik berjaya setelah berikhtiar. Sebagai tanda kesyukuran gunakan hadiah yang dimenangi dengan cara yang betul. Misalnya jika adik memenangi hadiah wang tunai, sebahagiannya boleh disimpan dalam tabung dan sebahagian lagi digunakan untuk membeli bahan bacaan yang bermanfaat. Adik juga boleh berkongsi nikmat kemenangan itu dengan membeli sedikit buah tangan untuk adik-beradik yang lain atau kawan-kawan. Mereka turut bersyukur dengan kemenangan dan kejayaan anda itu.

"Syukur Ya Allah..."
Cuba lihat anggota badan kita . Sebenarnya terlalu banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, misalnya, mata boleh melihat, lidah boleh merasa makanan dan bercakap, kaki boleh berjalan dan tidak terkata betapa banyak lagi nikmat yang telah Allah kurniakan kepada diri kita. Itu tidak termasuk nikmat yang lain, misalnya udara yang dihirup, makanan yang kita makan, nikmat air dan banyak lagi. Sebagai hamba yang bersyukur sepatutnya setiap detik harus mengingati-Nya. Di samping itu tunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga hidup kita diberkati Allah selalu. Amin!
Posted by Welcome To My Blog at 20:40 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

KITA PERLU TAHU - Sahabat Sejati

Salah satu cara hendak mengenali seseorang, lihatlah sahabat yang paling rapat dengannya. Ini menunjukkan sahabat memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup seseorang. Adik-adik perlu tahu, perbezaan antara sahabat dengan kawan. Adik-adik tentu mempunyai ramai kawan. Tetapi tidak semua kawan adik-adik itu boleh dijadikan sahabat. Seorang sahabat adalah orang yang memahami dan sentiasa bersama adik-adik tidak kira pada waktu suka, duka, menangis dan ketawa. Adik-adik perlu ingat, menentukan siapa kawan dan sahabat kita sangat penting kerana mereka akan mempengaruhi kehidupan adik-adik sama ada menjadi manusia yang baik atau sebaliknya.
   Oleh itu berhati-hatilah memilih sahabat. kalau ingin menjadi manusia yang baik dan berguna kepada masyarakat, selalulah bersahabat dengan kawan-kawan yang boleh mendorong adik-adik ke arah kebaikan. Dalam melayani kawan-kawan, adik-adik perlu amalkan hak-hak persahabatan agar ikatan yang telah terjalin itu kekal selamanya dan dirahmati Allah.

  • memberi salam ketika bertemu
  • menziarahi ketika sakit
  • mengucap rahmat ketika bersin (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepadamu)
  • menziarahinya di rumah kerana Allah
  • membantunya ketika susah
  • menerima undangannya jika diundang
  • memberikan ucapan tahniah atas kejayaannya
  • saling bertukar hadiah pada hari-hari tertentu seperti kelahiran atau berjaya dalam peperiksaan
   Sebaliknya pilihlah sahabat yang kuat pegangan agamanya kerana mereka akan mendorong adaik-adik ke jalan yang benar. Sabda Rasulullah SAW:"Perumpamaan teman yang soleh, dan teman yang jahat, adalah umpama orang yang menjual minyak wangi, dan tukang besi peniup api. Penjual minyak wangi,  sama ada dia memberi kau sedikit, atau kau membelinya, ataupun kau mencium daripadanya bau yang wangi. Sedang tukang besi peniup api, sama ada dia akan membakar pakaianmu, ataupun kau mencium bau yang busuk daripadanya."
Posted by Welcome To My Blog at 01:05 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 27 April 2012

HIKMAH CIPTAAN - Keunikan Ciptaan Alam

Jika adik-adik selalu menonton rancangan National Geographic di televisyen, adik-adik akan dapat melihat banyak perkara ajaib yang terdapat di bumi ciptaan Allah ini. dari situ, sepatutnya keyakinan adik-adik kepada kekuasaan dan kebesaran Allah SWT akan semakin mendalam.
   Allah menjadikan struktur bumi dengan keadaan yang sangat ajaib. Tiga perempat atau 75 peratus daripada muka bumi diliputi air. Dengan adanya air yang banyak meliputi muka bumi, maka bumi tempat tinggal kita akan terselamat daripada menjadi kering-kontang.
   Allah juga menjadikan laut, tasik dan sungai sebagai sumber bagi manusia mendapatkan makan dan minum dan keperluan lain. Ia menjadikan tempat manusia menangkap ikan, menggali minyak dan mencari mutiara sebagai perhiasan. Ia juga menjadikan tempat istirehat seperti untuk mandi-manda, menyelam dan bersiar-siar dengan kapal. Sungai pula menjadi saluran air hujan mengalir ke laut dan tidak membanjiri daratan.


Peranan Tarikan Graviti
Allah telah mewujudkan tarikan graviti di bumi yang menyebabkan air laut, tasik dan sungai tidak tumpah atau berserakan di uadara, sebaliknya bergenang di permukaan bumi yang bulat.
Andainya tidak ada tarikan graviti, tentulah air tidak dapat berkumpul di bumi.
   Allah juga tidak menjadikan permukaan bumi rata keseluruhannya. Sebaliknya berbukit dan bergunung-ganang di sesetengah tempat. Dengan adanya bukit dan gunung, bumi menjadi kawasan yang sesuai sebagai tempat kediaman manusia dan haiwan. Bukit dan gunung menahan angin kuat yang akan merosakkan muka bumi.
   Ia juga menahan hujan membanjiri muka bumi. Itu pun masih ada kawasan tertentu di muka bumi dilanda ribut taufan serta dilimpahi banjir.  Allah mengizinkan hal ini berlaku sebagai dugaan kepada manusia agar manusia mengingati-Nya.


Keindahan Pelbagai Tumbuhan
Alah juga telah menetapkan bumi diliputi tumbuh-tumbuhan yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Ada tumbuh-tumbuhan yang dapat dijadikan makanan, ada yang dibuat ubat, ada yang batangnya dibuat kertas, dijadikan bahan untuk membuat rumah dan sebagainya.
   Tumbuh-tumbuhan juga berperanan melindungi muka bumi daripada terhakis kerana akarnya yang kuat mencengkam bumi. Permukaan bumi juga tidak mudah terhakis dengan adanya batu-batan di dalamnya.
   Pendek kata, apa sahaja yang Allah jadikan di muka bumi ini tidak sia-sia. Semuanya mempunyai peranan tertentu dan berguna kepada kehidupan seluruh makhluk Allah termasuk manusia.
Posted by Welcome To My Blog at 06:26 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 26 April 2012

HIKMAH CIPTAAN Mari Kita Lihat Laut

Mungkin sesetengah kita merasakan laut merupakan ciptaan yang biasa. Tetapi tidak, laut sebenarnya ialah ciptaan Allah yang luar biasa. Ia merangkumi hampir tiga perempat daripada muka bumi. Cuma kerana sudah terbiasa kadang-kadang kita tidak berasa laut sangat luar biasa.
   Baiklah, sekarang kakak hendak datangkan satu perbandingan. Adik-adik pernah dengar cerita kapal yang sangat besar bernama Titanic. Semua orang kagum waktu kapal itu dibina. Kapal yang tidak mungkin tenggelam, begitulah dakwaan jurutera dan arkitek yang membinanya.
   Setelah Titanic dibina, ia pun dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan untuk belayar dari England menuju Amerika. Itu merupakan satu perjalanan yang jauh merentasi laut Atlantik. Seluruh dunia menumpukan perhatian kepada peristiwa yang sangat bersejarah itu. Tidak kurang yang rasa angkuh dan megah dengan kehebatan teknologi terkini pada waktu itu.


Titanic Tenggelam
   Malng, Titanic tenggelam setelah terlanggar dengan...cuba teka.  Dengan batu karang? Akibat ribut atau taufan? Tidak. Titanic tenggelam hanya terlanggar dengan air yang beku -'iceberg'.
   Pada waktu itu dunia terkejut. Kapal yang sebesar dan sehebat itu akhirnya tenggelam juga. Begitu hebat Titanic yang dibina manusia, tetapi hanya sekelumit bila dibandingkan dengan lautan yang dicipta Allah. Setelah lama tenggelam, saintis mengambil masa yang lama untuk menentukan lokasi di mana tragedi itu berlaku.
   Tempat Titanic tenggelam terlalu sukar dikesan justeru kapal yang besar itu hanya umpama sebilah jarum sahaja dibandingkan dengan lautan Atlantik yang sangat luas. Begitu kerdil ciptaan manusia, sedangkan Atlantik bukanlah lautan yang paling luas. Lautan Pasifik lebih luas lagi. Begitulah adik-adik, luar biasanya keluasan laut.
   Air laut sangat masin. Itu juga sangat luar biasa. Allah tidak ciptakan sia-sia. Kemasinan laut itulah yang menyerap bau seluruh sampah yang dialirkan kepadanya. Bayangkan, seluruh kotoran di dunia dialirkan ke laut melalui sungai. Sampah-sarap, bangkai dan najis dialirkan ke laut.


Tong Sampah Terbesar
   Tidak keterlaluan kalau dikatakan, laut ialah 'tong sampah' yang paling besar di dunia. Sejenak fikirkan... apa akan jadi kalau akan jadi air sungai yakni rasanya tawar? Tentu ia akan dicemari oleh bau yang sangat busuk. Kesihatan akan terjejas. Hidup tidak akan tenteram. Mujurlah air laut tidak tawar. Dengan kadar kemasinan yang tinggi, ia mapu menyerap bau yang amat busuk.
   Adik-adik akan faham akan proses saintifik ini jika bertanya kepada guru-guru di sekolah. Secara mudah, kakak boleh katakan itu samalah seperti peranan garam yang boleh mengawet isi ikan dalam proses membuat ikan masin.


Diharap adik-adik akan faham betapa hebatnya laut ciptaan Allah. Keluasan dan kemasinannya punya rahsia yang tersirat. Jadi, apabila adik-adik melihat laut, jangan lihat begitu sahaja.....sebaliknya renungkanlah kehebatannya, dan kemudiaan rasailah kehebatan Penciptanya....Allah.
Posted by Welcome To My Blog at 06:52 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 25 April 2012

TIRU NABI Adab Berdoa

Doa merupakan senjata setiap orang mukmin. Justeru, doa dan zikir adalah termasuk dalam ibadah khusus yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Oleh sebab itu, untuk menjadikan kedua-duanya sempurna dan diterima oleh Allah SWT, maka kita mestilah melakukannya dengan ikhlas dan mengikut cara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:"Doa adalah ibadah." (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Cara Berdoa Yang Betul
Adik-adik jangan lupa adab-adab ketika berdoa seperti yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana terdapat pelbagai cara orang yang menadah tangan ketika berdoa. Namun, kaedah yang baik dan tampak sopan ketika bermunajat kepada Allah SWT merupakan lambang kesungguhan yang penuh pengharapan kita kepada Yang Maha Esa.
   Sebenarnya, pada tapak tangan kita ada banyak lambang kebesaran dan kemuliaan Allah SWT termasuk 99 nama Allah. Berikut dikongsikan beberapa panduan tatacara berdoa yang diturunkan oleh Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah dan perunding motivasi:

1. Angkat Tangan Paras Dada
   "Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya dengan telapak tangan kamu, dan janganlah kamu meminta kepada-Nya dengan belakang tapak tangan."(Riwayat Abu Daud).

2. Rapatkan Kedua-dua Belah Tangan
   Kita akan nampak akan urat tangan kanan dan kiri bercantum seakan membentuk sampan. "Apabila urat tangan itu bertemu ia akan menjadi huruf 'ba'. Titik 'ba' letak di hati kita. Kedudukannya rendah dari tangan yang kita tadah. Setiap huruf hijaiah di dalam al-Quran Allah perintahkan satu malaikat menjaganya. Maka malaikat yang menjaga huruf 'ba' bernama 'Har Hayaail'. Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus mengadap Allah SWT tanpa sebarang perantara. Oleh itu, berdoalah bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan."

3. Cara Duduk
   Duduklah dalam keadaan iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul dan jangan menyandar.

4. Berzikir Dengan Nama Allah
  Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah SWT dan menyebut nama-nama Allah yang lain bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu, Sebagai contoh, jika berdoa mohon dipermudahkan rezeki, sebutlah nama Allah ar-Razaq dan disusuli juga dengan berselawat ke atas Nabi SAW.

5. Ikhlas Dalam Berdoa
   Menghadirkan diri kepada Allah dengan penuh kekhusyukkan keran Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai. Gunalah apa jua bahasa yang kita fahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami serta mendengar segala bicara tulus semua hamba-Nya. Allah SWT befirman:"Dan berzikirlah (sebutlah nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai."(Surah al-A'raf 205)

6. Didik Adab Berdoa Dari Kecil
   Ajarkanlah adab berdoa kepada seluruh anggota keluarga sejak usia kecil kerana insyaallah ia dapat membentuk peribadi baik dalam kehidupan.

7. Tidak Berdoa Untuk Tujuan Keburukan
   Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, khianat dan memutuskan silaturrahim.

8. Tidak Terburu-buru.
   Tidak terburu-buru dalam berdoa dan juga jangan sesekali memohon segera dimakbulkan doa tersebut.

9. Berdoa Dengan Suara Lemah Lembut
   Allah SWT berfirman:"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kalian berbuat kerosakan di muka bumi sesuadah (Allah) memperbaikinya, dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak diterima) dan penuh harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik."(Surah al-A'raf:55-56)

Doa Yang Makbul
1. Orang yang terdesak
2. Orang yang dizalimi
3. Anak yang berbuat baik terhadap kedua ibubapanya
4. Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim dan tidak memutuskan silaturrahim..
   Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Berdoa untuk diri sendiri, saudara-mara, jiran tetangga, ahli keluarga, rakan-rakan dan semua Muslimin dan Muslimat. Dengan berdoa kita akan mendapat ketenangan jiwa, dada menjadi lapang serta memiliki kesabaran di dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan.
Posted by Welcome To My Blog at 05:46 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 24 April 2012

FAHAM FIKAH Aurat di Hadapan al-Quran

Tidak menutup aurat semasa membaca al-Quran atau menyentuh al-Quran tanda orang itu tidak tahu menjaga adab dengan al-Quran. Islam amat menitikberatkan soal penjagaan adab (akhlak) dalam setiap perkara. Orang yang tidak beradab adalah orang yang sombong. Orang yang sombong akan jauh daripada rahmat Allah SWT.
Al-Quran adalah kitab suci yang sangat mulia. Diturunkan oleh Allah SWT Yang Maha Mulia dan diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, manusia yang paling mulia di kalangan seluruh makhluk. Siapa yang menerima ajaran al-Quran serta tidak ragu-ragu mengamalkannya, dialah orang yang mulia.
Oleh sebab itu, kita dituntut memuliakan al-Quran setaraf dengan kemuliaannya. Antaranya hendaklah berwuduk terlebih dahulu iaitu suci daripada hadas kecil dan hadas besar sebelum menyentuh al-Quran. Menutup aurat dan berada dalam suasana yang tenang dan tenteram agar hidayah yang terkandung di dalamnya dapat dihayati dan dirasai.
Posted by Welcome To My Blog at 06:29 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Monday, 23 April 2012

HIKMAH CIPTAAN-NYA - Bagaimana Ombak Terjadi?

Adik-adik tentu pernah pergi ke laut atau makan angin di tepi pantai. Ketika air pasang kita akan dapat melihat ombak menghempas ke pantai. Bagaimana ombak terjadi? Tiupan angin ke laut akan mewujudkan geseran antara angin dengan permukaan laut. Ini akan menghasilkan satu siri alunan gelombang bergerak ke hadapan permukaan laut yang dikenali sebagai ombak. Ada sesetengah pantai di luar negara contohnya panjang dan tinggi. Sebab itu kita lihat orang-orang barat gemar meluncur air. Keadaan cuaca di negara kita tidak menggalakkan pembentukan ombak yang panjang dan tinggi. Ombak yang menghempas ke pantai akan mengubah struktur pantai tersebut. Pepatah Melayu ada menyatakan,sekali air bah, sekali pantai berubah'. Begitu juga dalam hidup ini, kita perlukan pembaharuan dan perubahan mencari kebaikan dan keredhaan Allah SWT.
Posted by Welcome To My Blog at 07:06 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 22 April 2012

HIKMAH CIPTAAN - Seperti kapal dan Bot Penunda

Anak-anak pernah tengok bot tunda menarik kapal besar? Biasanya di pelabuhan atau di kawasan perairan tertentu. Ini kerana had kedalaman air atau keluasan perairan tersebut tidak membolehkan kapal besar bergerak sendiri. Pada situasi begitu, kapal perlu ditunda dengan bot penunda.
   Di satu tempat yang lain pula, ada sebuah kapal baru saja berlabuh agak jauh dari pantai. Di pantai itu tidak ada jeti atau dermaga seperti di pelabuhan. Pekerja-pekerja kapal menurunkan beberapa buah perahu atau bot kecil untuk membawa para penumpang serta anak-anak kapal ke pantai.
   Kenapa ya, anak-anak...mereka menggunakan perahu? Ya, kerana kapal besar yang cukup gagah membelah gelombang lautan rupa-rupanya tidak boleh bergerak sampai ke tepi pantai. Ia perlu bantuan perahu untuk',menyudahkan' tugasnya iaitu menghantar para penumpang ke daratan dengan selamat.


Tidak Ada Beza
   Baiklah, anak-anak. Mari kita sama-sama kita cungkil ilmu dan pengajaran daripada kedua-dua kejadian itu tadi. Apakah pengajarannya? Pengajarannya ialah sehebat mana sekalipun seseorang itu, tetap ada kelemahannya.
   Begitu jugalah, selemah mana sekalipun seseorang itu, telah Allah SWT bekalkan kepadanya dengan kelebihan yang tersendiri. Jadi, tidak ada bezanya sama ada kita ini hebat atau lemah. Sebab, kelebihan atau kekurangan itu lazim-melazimi dalam kehidupan.
   Walaupun hebat, akan ada masanya dia akan perlukan juga kepada yang lemah. Begitu jugalah yang lemah, memerlukan bantuan daripada yang hebat. Misalnya, anak-anak seorang yang hebat dalam pelajaran tetapi tidak mahir dalam semua mata pelajaran.
   Tentu ada pelajaran yang anak-anak kurang cekap dan kurang minat. Di kalangan rakan anak-anak pula, tentu ada yang menonjol dalam pelajaran yang anak-anak tidak kuasai itu.
   Jadi, di sinilah letaknya 'persamaan' itu. Sama yang bagaimanakah itu, anak-anak? Sama dalam erti kata saling memerlukan bantuan dan pertolongan. Atau dalam istilah yang lebih mudah iaitu saling perlu-memerlukan.


Kelebihan dan Kekurangan
   Kalau seseorang yang hebat dalam pelajaran, bantulah rakan-rakan lain yang kurang menyerlah. Percayalah, rakan anak-anak yang kurang hebat itu ada kebolehan atau hebat di bidang lain. Mungkin dia pandai melukis. atau mungkin dia mahir mengendalikan komputer. Atau mungkin juga dia berkebolehan dalam kerja-kerja kemahiran kraf tangan.
   Sebaliknya, jika anaka-anak pula yang kurang hebat, jangan malu meminta tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang lebih pintar atau lebih tahu. Tak perlu berasa rendah diri kerana soal kelemahan atau kelebihan adalah perkara biasa.


Jangan Sesali Nasib
   Sekiranya tidak menyerlah dalam bidang tertentu, mungkin bakat atau kemampuan anak-anak menyerlah di bidang yang lain. Allah SWT telah berikan kebolehan atau kepandaian lain kepada anak-anak. Di sebabkan kebolehan atau kepandaian itu, kemungkinan satu hari nanti anak-anak diperlukan oleh orang lain.
   Apa yang perlu anda lakukan ialah jangan menyesali nasib. Sebaliknya banyakkan bersyukur kepada Allah SWT kerana Allah memberi peluang untuk kita berbuat sesuatu yang sepadan dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.
   Seperti bot penunda atau sampan penumpang itu tadi tidak berupaya mengharungi gelombang ombak di tengah lautan, pastinya sangat 'bersyukur' kerana kerana dapat memberi khidmat kepada kapal besar tatkala sampai di kawasan pinggiran pantai.
   Ingat anak-anak, Allah SWT menjadikan manusia dengan kelebihan dan kelemahan tersendiri. Yang lebih jangan berbangga-bangga, dan yang lemah jangan berasa hina. Yang lebih harus selalu memberi mengikut kemampuan, dan yang lemah selain meminta bantuan hendaklah juga berusaha mengatasi kelemahan.
Posted by Welcome To My Blog at 07:17 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 21 April 2012

TIRU NABI - Minuman Kegemaran Nabi

Tahukah adik-adik , apakah minuman kesukaan Rasulullah SAW? Minuman yang sangat baginda suka adalah madu yang dicampur dengan air sejuk. Wah! Rasanya bukan sahaja sedap adik-adik, tetapi minuman ini juga memberi seribu penawar pada badan kita. Rasulullah SAW biasa minum madu pada waktu pagi. Ayuh adik-adik, kita lihat khasiat di sebalik amalan minum madu.
1. Hilangkan Kahak
Untuk menghilangkan balqham iaitu kahak atau lendir yang membuatkan kita tidak selesa, terutama ketika adik-adik sakit tekak, selesema mahupun batuk.
2. Cuci Perut
Boleh mencuci perut kita dari sesuatu yang tidak elok, sebab itu amat elok madu diminum waktu pagi mahupun sebelum tidur.
3. Buang Sisa Makanan
Membuang sisa-sisa makanan yang tertinggal di dalam perut yang tidak dicernakan dengan sempurna dan menolaknya terus ke usus besar kita.
4. Senak Perut
Apabila kita mengalami senak perut mahupun sedu, madu juga boleh dijadikan penawarnya. Insyaallah, sedu dan juga senak perut adik-adik akan hilang.
5. Baiki Organ Badan
Rupa-rupanya madu juga mampu memperbaiki fungsi buah pinggang, limpa dan hati kita. Organ ini merupakan organ penting dalam badan kita Jadi, adik-adik mesti menjaga setiap organ dalam badan agar tubuh badan kita sentiasa sihat demi menjalani kehidupan yang lebih indah.
   Subhanallah! Luar biasakan adik-adik. Begitu banyak rupanya khasiat madu ini. Jadi, sebab itulah Rasulullah sangat menyukai madu. Tetapi adik-adik mesti ingat, setiap penyakit memang ada penawarnya tetapi yang menyembuhkannya adalah Allah SAW! Jadi, kita hendaklah memilih makanan yang sihat dan baik untuk kesihatan tubuh badan kita.
   Firman Allah SWT bermaksud:" Hai orang-orang yang beriman, makanlah olehmu dari sesuatu yang baik yang telah Kami anugerahkan padamu." (Surah al-Baqarah:172)
Posted by Welcome To My Blog at 08:15 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 15 April 2012

TIRU NABI- Bertuturlah Dengan Baik

Lidah, sekeping daging yang tidak bertulang. Awas, andainya tak pandai menjaga nikmat pancaindera ini, kita akan terhumban dalam dosa dan mendapat murka dari Allah. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya sentiasa memberi pesan supaya kita sentiasa menjaga lidah dan tutur bicara. Ingat selalu adik-adik pada pesan Nabi kita. Berfikir sebelum berkata.


1. Bertutur dengan baik itu umpama bersedekah.
Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda;bermaksud:"Pahala tutur yang baik itu sama seperti bersedekah."(Riwayat Bukhari dan Muslim
2. Banyak bercakap banyak salahnya.
Kalau kita sedar kita asyik 'terbabas' dan banyak bercakap perkara sia-sia lebih baik kita kawal lidah dan diam sahaja.
Rasulullah SAW bersabda, bermaksud; "Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari akhirat, dia perlu bercakap yang baik-baik atau diam sahaja."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Jadi orang Islam yang terbaik.Pada suatu ketika sahabat Nabi bernama Abu Musa Asy'ari berkata; "Wahai Rasulullah SAW! Siapakah orang Islam yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW,'Orang yang menyebabkan semua orang Islam selamat daripada lidah dan tangannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga memberi amaran tentang bahaya lidah yang boleh menjadi sebab kita tergelincir dalam neraka. Hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dia pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda, bermaksud;"Hamba yang mengucapkan kata-kata tanpa berfikir baik buruknya boleh menyebabkan dia tergelincir ke arah neraka lebih jauh dari jarak antara timur dan barat."
5. Dalam satu Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Nabi SAW mengatakan tentang empat sifat yang jika ada pada seseorang, dia dianggap munafik sehingga dia meninggalkan sifat itu. Sifat  itu adalah, apabila diberi amanah dia khianat, apabila berjanji dia mungkir, apabila bertengkar dia membuat sumpah palsu.
6. Jangan suka 'busy body'
Sifat peka dan prihatin pada kawan-kawan itu sifat yang baik tetapi jangan pula kita asyik mencari kelemahan dan kekurangan mereka. Lebih teruk lagi kita mencanangkan pula pada orang lain. Itu mengumpat namanya.
Jika hendak tahu apa definisi sebenar tentang mengumpat, mari kita baca hadis di bawah.
Rasulullah SAW pernah bertanya sahabat-sahabat baginda,"Saudara-saudara tahu apa itu mengumpat."? Sahabat-sahabat menjawab; "Allah dan utusannya yang lebih tahu."
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, bermaksud; 'Mengumpat itu ialah saudara menyebut hal rakan saudara yang dia tidak suka."
Ada orang bertanya,"Apa pandangan tuan apabila saudara saya itu memang sifatnya seperti yang saya sebutkan?"
Rasulullah SAW menjawab;"Apabila dia memang begitu, maknanya saudara mengumpat kepadanya. Apabila dia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan, bererti saudara memfitnahnya."(Riwayat Tarmizi)
Posted by Welcome To My Blog at 06:30 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Saturday, 14 April 2012

TIRU NABI - Mulakan Dengan Basmalah

Sebelum makan hendaklah kita membaca Basmalah.
   Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Rasulullah SAW bersabda:"Makanlah dengan basmalah dan dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang berdekatan denganmu."

Kenapa Kita Disuruh Membaca Basmalah:
Kalimah basmalah adalah sebaik-baik perkataan yang perlu diucapkan bukan sahaja ketika hendak makan tetapi ketika kita hendak berbuat apa saja perbuatan. Jadikanlah ucapan basmalah satu kelaziman dalam kehidupan seharian. Bacalah ia ketika hendak mengulangkaji pelajaran,menunggang basikal, membaca buku dan sebagainya kerana amalan yang dimulai dengan basmalah akan diberkati Allah.
   Mengucap kalimah 'Bismillahirrahmanirrahim' juga bererti kita mengulang-ulangi tiga kalimah yang mulia iaitu kalimah 'Allah', 'Ar-Rahman (Maha Pengasih) dan 'Ar-Rahim'(Maha Penyayang)
   Insyaallah, apabila kita selalu mengucapkan nama-nama Allah yang terkandung dalam Asmaul Husna (99 nama Allah) diharap kita juga dapat mencontohi sifat-sifat Allah sebagai pakaian peribadi.

Makan Dengan Tangan Kanan
Apabila menggunakan tangan kanan secara tidak langsung kita membiasakan diri kita melakukan perkara yang baik dalam setiap amal perbuatan. Apabila sudah terlatih, insya-Allah lama kelamaan sifat baik itu akan terus menjadi  darah daging , Orang yang berakhlak mulia bukan sahaja dikasihi Allah tetapi semua makhluk sayang pada dirinya.

Berdisiplin Ketika Makan
Ambil Makanan Yang Paling Hampir
Apabila menatap aneka makanan yang lazat-lazat, nafsu kita mudah teransang. Tercicip air liur melihat enaknya makanan di hadapan kita. Tangan pula akan terus menjangkau ke arah makanan yang kita sukai itu walaupun jaraknya jauh dengan kita. Nabi SAW menyarankan kita supaya mengambil makanan yang paling hampir atau paling dekat dengan kita. Apa pula hikmahnya, ya adik-adik!

   Kita disurh ambil makan yang dekat dengan kita dahulu meskipun mungkin makanan itu tidak berapa kita gemar atau suka.
   Sebenarnya inilah indahnya ajaran yang dibawa oleh junjungan Nabi kita. Dalam satu sunah terkandung seribu hikmah iaitu didikan akhlak akan menjadi pedoman dalam hidup kita.
   Dalam menghadapi makanan, kita dilatih menjadi orang yang sabar. Apabila berdepan dengan perkara yang tidak suka, kita boleh menerimanya dengan tenang dan gembira. Sebaliknya jika kita berdepan dengan kejayaan, kita tidak akan menjadi orang yang tamak haloba dan sanggup ketepikan orang lain demi mendapatkan apa saja yang dihajati. Seperti makanan yang kita  hendak makan itu!
   Adab-adab makan yang diajari Nabi kita mengandungi hikmah yang tersirat di sebaliknya. Proses makan ibarat sebuah sekolah yang mendidik kita menjadi insan yang berjaya.
   Orang yang ingin mengecap kejayaan pasti menempuh berbagai dugaan. Kita akan mudah berjaya kerana kita dilatih untuk sabar dan tenang menghadapi apa juga cabaran dan halangan. Sebaliknya jika kita berjaya pula, kita tidak mudah bongkak dan lupa asal-usul diri kita.
Posted by Welcome To My Blog at 06:58 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Friday, 13 April 2012

SAHABAT

Jadilah Sahabat Yang Sejati


Adik-adik tentu ingin mempunyai seorang sahabat yang sejati. Sahabat yang sangat dipercayai untuk diajak berkongsi masalah. Sahabat yang sanggup bersama-sama baik ketika susah, sedih, takut mahupun ketika gembira. Sahabat yang sanggup menegur dan memperbetulkan sekiranya adik-adik melakukan kesalahan dan kesilapan. Sahabat yang menyanjung dan terus mendorong apabila adik-adik beroleh kejayaan dan kemenangan.
   Seharusnya adik-adik terlebih dahulu mesti berusaha meletakkan diri di tempat itu. Sepertimana yang adik-adik inginkan seorang sahabta yang sejati, kawan-kawan yang lain pun begitu juga. Mudah-mudahan dengan sikap, penampilan dan peribadi yang mulia yang adik-adik tunjukkan, mereka akan terpesona lalu mengambil adik-adik menjadi sahabat. Dari situ, tidak secara langsung adik sudah boleh menilai dan memilih sahabat untuk diri adik-adik pula.
   Perkara utama dalam berkawan ialah menjaga adb-adabnya. Misalnya, tidak menyinggung hati kawan-kawan sama ada dengan kata-kata atau perbuatan. Jangan cetuskan perkara yang boleh mengakibatkan krisis atau pertengkaran. Ingat pesanan nabi s.a.w.; "Tidak halal bagi seorang Muslim tidak menegur saudaranya (sesama Islam) lebih daripada tiga malam (hari). Kedua-duanya saling bertemu juga tetapi mereka saling tak acuh. Yang paling baik di antara keduanya  ialah yang lebih dahulu memberi salam." (Riwayat Muslim dari Abu Ayyub Al-Ansari r.a..)                                                                                                                          
   Hadis ini mengajar kita adab bergaul dan berkawan. Kita mesti selalu bertegur sapa dengan kawan-kawan. Salah satu cara untuk mengelakkan daripada tidak bertegur sapa atau bermasam muka ialah dengan membiasakan memberi salam.
Posted by Welcome To My Blog at 15:36 1 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

TIRU NABI - Amalan Bersugi





Islam amat mementingkan kebersihan sehinggakan Nabi Muhammad SAW menegaskan ia sebagai sebahagian daripada iman.  Penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani mahupun jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran. Begitu juga dengan penjagaan mulut yang dititikberatkan dalam Islam.


Apa Itu Bersugi?
Pernahkan adik-adik mendengar perkataan bersugi? Mmm... kalau adik-adik hendak tahu, bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan membersihkan mulut dan gigi. Ia merupakan amalan yang sentiasa dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW setiap kali baginda berwuduk.


Apakah Hukumnya? 


  • Hukumnya adalah sunat dan masanya, bila-bila masa. Namun, masa yang dituntut ialah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan solat, membaca al-Quran dan berubah bau mulut.
  • Walaubagaimanapun, makruh bersugi apabila telah gelincir matahari (masuk waktu zuhur)  bagi orang yang berpuasa, sebagaimana sabda Nabi SAW:"Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi Allah SWT lebih harum daripada kasturi."(Riwayat Muslim).
Alat Bersugi
Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi, siwak, rotan dan manggar kelapa.
Dari Aisyah r.a."Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya." (Riwayat Baihaqi).

Bagaimana Bersugi?
Cara bersugi adalah dengan tangan kanan, dimulakan disebelah kanan mulut dan terus dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.

Kelebihan Bersugi
  • Sabda Rasulullah SAW: "Dua rakaat solat dengan bersugi itu adalah lebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat solat dengan tidak bersugi."(Riwayat Muslim)
  • Menambahkan akal.
  • Mencerahkan mata
  • Melambatkan tumbuh uban.
  • Dapat menggandakan pahala.
  • Dapat mengucapkan kalimah Syahadah apabila ajal hampir tiba.
Oleh itu, adik-adik.... Apa kata mulai dari sekarang kita sama-sama jadikan bersugi sebagai satu amalan dalam kehidupan. Sekiranya kita tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntut, sekurang-kurangnya kita dapat bersugi sekali dalam sehari. 
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda"Kalau tidak menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk." (Riwayat Ahmad)
       Solat orang yang bersugi itu lebih afdal dan lebih besar fadilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk. Malah, secara tidak langsung ia dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa solat dengan bau mulut yang bersih dan harum.
Posted by Welcome To My Blog at 05:30 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Thursday, 12 April 2012

TIRU NABI - Sebarkan Salam


Adik-adik hukum memberi salam adalah sunat tetapi menjawabnya adalah wajib. Makna "Assalamualaikum" ialah semoga Allah menyelamatkan dan memberikan kesejahteraan kepada sahabat-sahabat kita. Oleh yang demikian marilah kita lihat apakah kelebihan menyebarkan salam serta hukumnya yang disarankan oleh Rasulullah SAW.


Panduan Memberi Salam:
 1. Orang yang naik kenderaan disunatkan beri salam kepada orang yang berjalan kaki. Orang muda beri salam kepada yang tua. Sabda Nabi saw, "Hendaklah memberi salam bagi yang berkenderaan kepada pejalan kaki, yang berjalan kaki kepada yang duduk, dan yang sedikit kepada yang ramai."(Riwayat Muslim)
2.Dahulukan ucapan salam. Contohnya, perlu dahulukan lafaz 'Assalamualaikum' dan diikuti dengan ucapan lain seperti 'Selamat Pagi' dan seumpamanya.
3. Beri salam sewaktu masuk ke rumah. Jika adik-adik nak tahu, berkat itu turun berserta salam. Bagaimana adab beri salam bagi rumah yang tidak berpenghuni? Jawapannya mudah adik-adik. Perhatikan hadis, "Dan jika tidak ada seorangpun di dalamnya, maka ucapkan 'Assalamu'alainaa'ibaadillahish shaalihin.' (Riwayat Muslim).
4. Sunat berjabat tangan ketika memberi salam.
5. Menunjukkan wajah yang ceria, bermanis muka dan senyum ketika salam. Sebagaimana sabda Nabi saw bersabda bermaksud;"Senyummu kepada saudaramu itu satu sedekah." (Riwayat Muslim)
6. Tidak boleh memberi salam kepada orang kafir.




Kelebihan Memberi Salam.
1. Akan timbul rasa kasih sayang sesama kita.
2. Memperolehi pahala.
3. Mengekalkan hubungan yang baikama manusia.
4. Darjatnya ditinggikan di hadapan Allah.
5. Menghilangkan rasa sombong dan bongkak dalam diri manusia.

Hukum Salam.
1. Disunatkan memberi salam ketika masuk ke rumah.
2. Sunat menjawab salam yang dikirimkan melalui orang lain tetapi wajib menjawab salam yang disampaikan secara langsung kepada kita.
3. Digalakkan berjabat tangan, kecuali dengan wanita atau lelaki yang bukan mahram.
4. Haram membongkokkan badan atau sujud sebagai tanda penghormatan sesama memberi salam.


Pengecualian Kewajipan Menjawab Salam.
1. Ketika sedang solat. Membalas ucapan salam ketika solat membatalkan solatnya.
2. Khatib, orang yang sedang membaca al-Quran, atau seseorang yang sedang mengumandangkan azan atau iqamah, atau sedang mengajarkan kitab-kitab Islam.
3. Ketika sedang buang air atau berada di bilik mandi.


Marilah kita sama-sama menyebarkan salam agar ukhuwah sesama kita semakin erat dan saling menyayangi. Semoga adik-adik tidak berat untuk mengucapkan salam meskipun dengan orang yang adik tidak kenali mahupun orang yang adik sudah kenali.


Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi saw bersabda bermaksud; "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan tidak sempurna iman kamu sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu hal yang apabila kalian mengerjakannya, maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu."(Riwayat Muslim).
Posted by Welcome To My Blog at 05:57 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

AL QURAN PENAWAR HATI

Al Quran merupakan kitab suci agama Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Sebagai seorang Islam, kita mesti selalu membaca al Quran. Ini adalah kerana al-Quran adalah sumber hukum yang pertama di dalam agama Islam. Di dalamnya terkandung pelbagai nasihat, teguran, pengajaran, amaran, kisah dan sebagainya untuk petunjuk dan panduan kita.
Posted by Welcome To My Blog at 00:24 0 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 11 April 2012

ADAKAH SEMUT MEMPUNYAI TULANG

Cuba anda teka, adakah semut mempunyai tulang?
Posted by Welcome To My Blog at 07:57 4 comments
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)
 Online Users

Followers

Blog Archive

  • ▼  2012 (66)
    • ►  December (4)
    • ►  November (6)
    • ►  October (3)
    • ►  September (3)
    • ►  August (1)
    • ►  July (5)
    • ►  June (10)
    • ►  May (18)
    • ▼  April (16)
      • KITA PERLU TAHU - Kenapa Kita Perlu Bersyukur?
      • KITA PERLU TAHU - Sahabat Sejati
      • HIKMAH CIPTAAN - Keunikan Ciptaan Alam
      • HIKMAH CIPTAAN Mari Kita Lihat Laut
      • TIRU NABI Adab Berdoa
      • FAHAM FIKAH Aurat di Hadapan al-Quran
      • HIKMAH CIPTAAN-NYA - Bagaimana Ombak Terjadi?
      • HIKMAH CIPTAAN - Seperti kapal dan Bot Penunda
      • TIRU NABI - Minuman Kegemaran Nabi
      • TIRU NABI- Bertuturlah Dengan Baik
      • TIRU NABI - Mulakan Dengan Basmalah
      • SAHABAT
      • TIRU NABI - Amalan Bersugi
      • TIRU NABI - Sebarkan Salam
      • AL QURAN PENAWAR HATI
      • ADAKAH SEMUT MEMPUNYAI TULANG
Cuteki greetings

Travel theme. Theme images by piskunov. Powered by Blogger.